Sabtu, 3 Disember 2016

Skuad remaja dijangka mara ke perlawanan akhir

ARKIB : 19/05/1999
SKUAD remaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka tidak menghadapi masalah untuk untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Piala Nike Asia Pasifik yang akan berlangsung di padang Institut Teknologi Mara (ITM) dari 28 hingga 30 Mei ini, lapor AMRAN MULUP.

Skuad itu yang mewakili Malaysia turun untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu diletakan dalam Kumpulan A bersama-sama Korea Selatan, Filipina dan Singapura.

Manakala dalam Kumpulan B menampakkan saingan sengit apabila naib juara tahun lalu, Thailand bakal bersaing bersama-sama Jepun dan China.

Skuad Remaja FAM yang muncul juara Piala Nike peringkat kebangsaan baru-baru ini, dijangka mendapat saingan sengit daripada Korea Selatan.

Jurulatihnya, Aminuddin Hussin mengakui Korea Selatan bakal menjadi halangan utama berbanding dua saingan lain Filipina dan Singapura.

''Biarpun reputasi Korea tidak menentu sejak menyertai kejohanan ini, namun kehadiran mereka tidak boleh dianggap mudah,'' katanya.

Mengulas pertemuan dengan dua pasukan lain iaitu Filipina dan Singapura, Aminuddin berkata, skuadnya dijangka tidak menghadapi masalah untuk meraih kemenangan dan seterusnya mara ke separuh akhir.

''Reputasi kedua-dua pasukan itu tidak begitu membimbangkan tetapi kita tetap akan berhati-hati dan tidak menganggap mudah perlawanan tersebut,'' jelasnya.

Tahun lalu, skuad negara yang dibimbing oleh bekas pemain kebangsaan, Lim Teong Kim tidak menghadapi masalah untuk muncul juara selepas menewaskan Thailand 4-0 dalam perlawanan akhir.

Kejayaan itu memastikan kemaraan skuad negara bertanding di pusingan akhir di Perancis bersama-sama Thailand dan Korea Selatan sewaktu berlangsungnya Kejohanan Piala Dunia.

Menurut beliau, skuad seramai 23 pemain kini giat menjalani latihan sebelum senarai akhir 16 pemain akan diumumkan minggu depan.

Esok, skuad bimbingan Aminuddin akan mendapat suntikan semangat apabila diberi peluang menimba pengalaman menerusi klinik bersama pemain kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris, Arsenal di padang FAM.

Skuad negara akan membuka tirai perlawanan pertama menentang Filipina pada sebelah pagi 28 Mei sebelum turun untuk perlawanan kedua pada sebelah petang bertemu Korea Selatan.

Perlawanan terakhir skuad negara pada 29 Mei pula menentang Singapura.

Tiga pasukan teratas akan layak mewakili Asia di pusingan akhir Piala Antarabangsa Nike yang akan berlangsung di Barcelona, Sepanyol pertengahan Julai ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RlKx3ygj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan