Khamis, 15 Disember 2016

Malaysia mampu bangkit - Rahman

ARKIB : 09/02/2000
SINGAPURA - Jurulatih bola sepak kebangsaan Abdul Rahman Ibrahim masih yakin dapat membentuk pasukan yang mantap bagi pusingan kelayakan Piala Asia walaupun tewas 1-3 kepada Singapura kelmarin.

Singapura menjuarai Piala Cabaran SingTel dan memenangi hadiah S$10,000 di hadapan 25,000 penonton di Stadium Nasional di sini. Perlawanan itu juga sebagai persiapan bagi kedua-dua pasukan untuk perlawanan kelayakan masing-masing bagi Piala Asia.

Singapura diundi bersama Brunei, Macau dan Jepun. Perlawanan akan berlangsung di Macau dari 13 hingga 20 Februari. Malaysia pula berada bersama juara Sukan SEA Thailand, Korea Utara dan Taiwan.

Kuala Lumpur akan menganjurkan perlawanan pusingan pertama dan Bangkok pula menjadi gelanggang bagi perlawanan kedua.

''Walaupun tewas 1-3 tetapi tidak mengecewakan. Saya puas hati dengan pencapaian mereka,'' kata beliau.

''Singapura telah bersama selama kira-kira dua tahun. Mereka semakin matang. Malaysia juga akan mencapai standard itu. Saya masih mencuba dengan pasukan itu kata Abdul Rahman.

''Pasukan itu masih muda dan belum cukup matang. Kecuali Zami (Mohd. Noor), pemain-pemainnya mungkin bermain untuk kali pertama di Stadium Nasional,'' kata beliau.

Abdul Rahman masih menaruh harapan bahawa pasukan itu akan menunjukkan persembahan yang baik dalam lapan perlawanan persahabatan yang selebihnya sebelum pusingan pertama pusingan kelayakan Piala Asia.

Dua perlawanan Malaysia yang berikut ialah menentang pasukan kebangsaan Maldives.

Malaysia tidak menurunkan ketua pasukan B. Rajnikandh dan penyerang Rusdi Suparman. Kedua-dua mereka tidak ke Singapura kerana mengalami kecederaan. Abdul Rahman tidak menyalahkan ketiadaan kedua-dua mereka bagi kekalahan itu.

Kekalahan Malaysia meletakkan Singapura mendahului sejak 1998. Singapura menewaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan Piala Tiger di Vietnam. Pada Sukan SEA di Brunei tahun lepas, Singapura menang dengan 2-1.

Sebelum perlawanan kelmarin, Malaysia menentang Singapura dalam satu perlawanan persahabatan di Dubai, Amiriah Arab Bersatu pada Disember dan menang 1-0.

Jurulatih Singapura Vincent Subramaniam memberi pujian kepada pasukannya kerana bermain cemerlang tetapi berkata Jepun masih pasukan yang perlu diawasi pusingan Piala Asia.

''Tetapi bagi Malaysia dan Singapura, perlawanan semacam ini amat baik. Ia membantu merapatkan jurang ke atas Thailand pada tahun-tahun akan datang,'' kata Subramaniam.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SuY8Tmj7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan