Isnin, 5 Disember 2016

Sultan Ahmad Shah kecewa keputusan FIFA

ARKIB : 27/06/1999
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah melahirkan rasa kecewanya dengan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendenda Malaysia akibat insiden pada perlawanan pra-Olimpik menentang Nepal di Hong Kong, 20 Jun lalu, lapor YUSWANDI MAJID.

Beliau menyifatkan keputusan itu amat mengecewakan kerana berdasarkan laporan yang diberikan oleh pesuruhjaya perlawanan, jelas sekali sebarang keputusan akan berpihak kepada Malaysia.

''Saya tidak pasti sama ada keputusan FIFA itu berdasarkan laporan berkenaan tetapi apa yang pasti melalui rakaman video, para pemain kita yang diserang,'' katanya ketika ditemui di Pekan, semalam.

Beliau berkata, adalah malang kepada Malaysia menerima hukuman itu atas alasan FIFA bahawa ada penyokong Malaysia yang bertindak liar sedangkan ketika itu tiada langsung penyokong dari negara ini kelihatan di padang.

''Apa yang jelas sekali ialah Hong Kong tidak memastikan aspek keselamatan ketika itu dan penonton Nepal juga telah bertindak liar bukan sahaja kepada pemain tetapi para pegawai Malaysia,'' katanya.

Apapun, Sultan Ahmad Shah berkata, beliau akan meneliti keputusan FIFA itu dan akan berbincang dengan pengerusi jawatankuasa penganjur pertandingan bola sepak Olimpik, Issa Hayatou di Los Angeles pada 9 Julai depan bagaimana keputusan itu dicapai.

Sebelum itu, beliau berkata, perkara itu juga akan dibangkitkan dalam mesyuarat Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) pada 8 Julai ini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan yang sepatutnya diambil terhadap penyokong Nepal kerana sebelum ini tindakan undang-undang pernah diambil terhadap penyokong yang merusuh.

''Pada Piala Dunia di Perancis lalu, penyokong England telah diambil tindakan undang-undang kerana mencetuskan pergaduhan kenapa tindakan serupa tidak diambil terhadap penyokong Nepal,'' katanya.

Sultan Ahmad Shah berkata, keputusan berkenaan adalah sesuatu yang menyedihkan kerana Malaysia pada masa yang sama diserang dan didenda.

Namun begitu beliau berharap, pada pemain dapat meneruskan aksi mereka dengan penuh semangat pada perlawanan pusingan kedua di Jepun.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RxRqWqac © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan