ARKIB : 06/08/1999
MENTERI Belia dan Sukan, Tan
Sri Muhyiddin Yassin menegur sikap seorang pemain pasukan bola sepak negara
yang menunjukkan isyarat lucah kepada sekumpulan wartawan Malaysia selepas
perlawanan Malaysia menentang Laos, kelmarin.
Kejadian yang amat memalukan
itu berlaku ketika wartawan-wartawan berkenaan dalam perjalanan keluar daripada
Stadium Padang dan Balapan bersama-sama wartawan dari negara lain.
Beliau yang menganggap sikap
Khairol Anuar Baharom, pemain dari Negeri Sembilan sebagai tidak wajar dan amat
memalukan pemain itu sendiri dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
''Saya berharap pegawai-pegawai
yang ada di sana akan memberi nasihat kepada pemain itu supaya hal seperti itu
tidak berulang sekali lagi,'' katanya.
Apa yang pasti kelakuan pemain
itu telah memalukan seluruh kontinjen serta wartawan Malaysia yang akan berada
di sana sehingga 15 Ogos ini.
Sikapnya mencerminkan seorang
pemain yang tidak dapat menerima kritikan daripada pihak media walaupun
pendapat itu ada kebenarannya.
Kemungkinan pemain pertahanan
itu tidak berpuas hati dengan sebuah artikel yang ditulis oleh wartawan
tersebut kelmarin yang mengecam corak permainan tiga pemain negara ketika
dibelasah Indonesia 6-0 tiga hari lalu.
Pemain tersebut telah melaungkan
nama dan mengugut wartawan berkenaan dari dalam bas yang membawa semua pemain
MaLaysia menuju pulang ke Perkampungan Sukan.
Tambah beliau, pihak media
mempunyai peranan yang cukup penting.
''Mereka (media)
bertanggungjawab untuk memberikan maklumat yang tepat dan memberi gambaran yang
jelas tentang apa yang berlaku kepada pasukan bola sepak kita di sana untuk
tatapan rakyat negara ini,'' katanya ketika ditemui selepas merasmikan
Kejohanan Seni Mempertahankan diri Hari Kebangsaan '99 di Stadium Titiwangsa,
Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir pada majlis
tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mahamad Zabri Min.
Sebanyak 14 disiplin
mempertahankan diri yang melibatkan lebih daripada 2000 peserta daripada 15
negeri menyertai kejohanan yang bermula dari 5 hingga 8 Ogos ini.
Ketika ditanya mengenai hasrat
Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang sedia mengundurkan
diri daripada pengurusan badan induk bola sepak itu jika perubahan diperlukan.
Muhyiddin memuji hasrat
Presiden dan Timbalan Presiden FAM yang menyatakan rasa tanggungjawab atas apa
yang berlaku.
''Saya letakkan atas budi
bicara majlis Teringgi FAM untuk memutuskan apa yang patut dilakukan.
''Dan oleh sebab itu saya kira
yang penting sekarang adalah apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk
membaiki keadaan, membetulkan kelemahan yang ada serta mengambil tindakan
drastik supaya kemerosotan mutu bola sepak negara tidak terus merundum ''macam
nasib orang malang'' katanya.
Menurut Muhyiddin,FAM mempunyai
tugas yang cukup mencabar untuk mencari jawapan mengenai apa yang berlaku.
''Saya yakin selepas seminar
bolasepak yang diadakan di Shah Alam dua bulan lalu, ia akan dilakukan seberapa
segera yang boleh,'' katanya.
Beliau berharap pelan tindakan
untuk membaiki kelemahan dan rancangan untuk membentuk skuad kebangsaan perlu
dilakukan secepat mungkin.
Oleh: DALLIA DUNSTAN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4S7cpqYAJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan