Selasa, 6 Disember 2016

Titus James terima anugerah Milo-MSSM-MOM


 

ARKIB : 13/07/1999
TITUS dikerumuni bekas rakan-rakan sekolahnya di La Salle Brickfields selepas menerima anugerah kecemerlangan Milo-MSSM-MOM Sukan Komanwel '98, semalam. - Gambar Saharuddin Abdullah.

TITUS James meraih pengiktirafan atas kejayaan terpilih menyertai akademi bola sepak Perancis, Le Havre apabila menerima anugerah kecemerlangan Milo-MSSM-MOM Sukan Komanwel 1998 di Sekolah Kebangsaan La Salle Brickfields, Kuala Lumpur semalam.

Titus, 13, yang lebih dikenali sebagai Mr. Smile adalah antara 16 penerima anugerah berkenaan yang dilancar sempena penganjuran Sukan Komanwel XVI di Kuala Lumpur tahun lalu.

Bekas pelajar La Salle Brickfields itu dijadualkan berlepas ke Perancis pada Mac depan, lima bulan lebih awal sebelum sesi persekolahan sebenar bermula.

Titus, yang menjalani ujian pemilihan bersama kelab divisyen satu Perancis, Le Havre April lalu muncul pemain Asia tunggal terpilih menyertai akademi itu selepas menjuarai acara menimbang bola dengan rekod 1,524.

Kejayaan itu membolehkan Titus menerima cek sebanyak RM1000, pingat serta sijil istimewa yang ditandatangani Menteri Pendidikan, Datuk Sri Najib Tun Razak, Pengerusi Eksekutif Sukom '98, Tan Sri Hashim Ali dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Anugerah disampaikan oleh guru besar Sekolah Kebangsaan La Salle, Hajjah Mariam dan pengurus pemasaran sukan Nestle, Dina Rizal.

''Tujuan pelancaran anugerah ini adalah kerana mahu kanak-kanak cemerlang ini merasakan mereka adalah sebahagian daripada kejayaan Sukan Komanwel,'' kata Dina.

''Anugerah ini diharap mampu menjadi pendorong kepada mereka dan kanak-kanak lain untuk lebih cemerlang dalam bidang sukan,'' katanya lagi.

Bintang skuasy remaja dan pelajar Sekolah Kebangsaan Subang Jaya, Kapil Nesan merupakan penerima anugerah berkenaan, April lalu.

Anugerah seumpama ini pernah dilancarkan pada tahun berlangsungnya Sukan Olimpik seperti Olmpik Barcelona (1992) dan Olimpik Atlanta 1996.

Juara Skuasy Remaja Dunia, Ong Beng Hee dan bintang gimnastik artistik, Lim Wai Chin dan Au Li Yen pula adalah penerima anugerah istimewa KL '98, tahun lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S3aA4b92 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan