Ahad, 18 Disember 2016

Malaysia kalah tanpa Rusdi

ARKIB : 05/04/2000
KOTA raya Bangkok terus memberikan khabar buruk buat skuad bola sepak kebangsaan apabila barisan pemain negara yang dilanda batuk dan selsema, tewas mengejut 3-2 kepada Taiwan pada perlawanan pembukaan pusingan kedua kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Supphachalasai, semalam.

Namun, segalanya bermula selepas penyerang, Rusdi Suparman dibuang padang pada awal babak kedua. Keadaan itu bijak diambil kesempatan oleh Taiwan untuk mengasak kubu skuad negara ketika kedudukan terikat 1-1 ketika itu.

Dalam keadaan cuaca panas terik, Malaysia lebih dulu membuka jaringan menerusi Rusdi pada minit ke-22 tetapi Taiwan menyamakan kedudukan minit terakhir babak pertama menerusi Sheu Sheau Bao.

Namun tindakan Rusdi sengaja menjatuhkan diri dalam kotak penalti Taiwan ketika seminit babak kedua bermula, membawa padah buat barisan negara.

Taiwan menggunakan kesempatan terbaik itu untuk menggandakan jaringan sekali lagi menerusi Sheau Bao minit ke-65 untuk mendahului 2-1 dan Hsu Jui Chen melebarkan kedudukan lima minit kemudian.

Biarpun Bobby Pian merapatkan kedudukan 3-2 menerusi tendangan jarak jauh minit ke-80, skuad negara terpaksa menerima hakikat kekalahan kepada skuad kerdil itu yang sekali gus menyempitkan peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya menekan Korea Utara dan Thailand.

Malaysia jelas berhadapan dengan permainan agresif Taiwan walaupun berusaha dengan asakan-asakan awal. Bobby Pian menerima hantaran B. Rajinikandh bermain satu dua dengan Rusdi yang sempat mencari ruang untuk melepaskan tendangan kencang ke sudut sebelah kanan gawang Taiwan, gagal dijangkau penjaga gol Taiwan, Yang Cheng Hsing.

Ketika itu Rusdi mendapat peluang terbaik untuk membuka jaringan yang juga gol keempat bagi penyerang Selangor itu dalam kempen kelayakan ini sebelum diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan dari Singapura, S. Kennedy.

Malaysia menguasai babak pertama permainan dan Rajinikandh memulakan ancaman ke kubu lawan dengan percubaan pertama minit ke-15 dan ketua pasukan itu mengulangi usahanya tiga minit kemudian, kedua-dua menerusi percubaan jarak jauh.

Rusdi turut memiliki dua peluang terbaik pada minit ke-20 dan 22 tetapi sepakannya tersasar jauh dari gawang Taiwan.

Ketika asakan hebat skuad negara, kelekaan pemain pertahanan, Bathiar Othman mengawal Sheau Bao akhirnya membawa padah.

Pemain lawan itu menerima hantaran jauh Hsu Te Ming dan menggunakan kesempatan terbaik itu mengatasi Mohd. Sany Fahmi untuk gol penyamaan.

Babak kedua mula merumitkan pergerakan skuad negara dengan ketiadaan seorang pemain dan perlawanan lebih banyak memihak kepada Taiwan yang melancarkan asakan-asakan berbahaya ke gawang Malaysia.

Sheau Bao hampir menambah jaringan pada minit ke-46 menerusi sudut yang sama, mujur Sany tangkas menyelamatkan bola sepakan pemain itu.

Namun pemain itu akhirnya berjaya merobek gawang Malaysia sekali lagi untuk mendahului 2-1. Pemain sayap, Chen Kun San melintangkan bola ke depan pintu gol dan Sheau Bao menghulurkan kepala menanduk masuk.

Mohd. Sany tertewas lagi lima minit kemudian walaupun berjaya menampan percubaan pertama Sheau Bao tetapi sepakan susulan Jui Chen menambah derita Malaysia sebelum Bobby merapatkan kedudukan.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TCYV3osn © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan