Khamis, 8 Disember 2016

FAM lantik 5 anggota suruhanjaya bebas menyiasat

ARKIB : 08/09/1999
DUA tokoh bola sepak Malaysia dan seorang pegawai berpangkat Ketua Polis Negeri merupakan antara lima yang dilantik menganggotai suruhanjaya bebas bagi menyiasat persembahan buruk skuad negara pada Sukan SEA XX Brunei, bulan lalu.

Dua tokoh yang dimaksudkan itu ialah pengurus pasukan yang membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik Munich 1972, Datuk Harun Idris dan Raja Bola sekitar 50-an, Abdul Ghani Minhat.

Penolong Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Yap Nyim Keong berkata, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Hamid Mustapha juga akan menganggotai suruhanjaya bebas itu.

''Dua lagi anggota yang dilantik termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohd. Noor Rahim dan wakil Majlis Sukan Negara (MSN), Zaiton Osman.

''Suruhanjaya ini akan bersidang sedikit masa lagi untuk membincangkan bidang tugas masing-masing ketika menjalankan bedah siasat persembahan skuad kebangsaan ketika Sukan SEA di Brunei lalu,'' kata Yap.

Penubuhan suruhanjaya bebas ini dibuat hasil mesyuarat Lembaga Eksekutif (Exco) FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presidennya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen pada 30 Ogos lalu.

Suruhanjaya ini turut diberikan kuasa penuh untuk berhubung dengan semua anggota skuad kebangsaan yang mencipta persembahan terburuk pada Sukan SEA di Brunei, bulan lalu.

Tengku Rithauddeen dalam kenyataan akhbarnya selepas mesyuarat Exco lalu, turut membenarkan suruhanjaya ini untuk mendapatkan sebarang makluman daripada orang perseorangan lain mengenai skuad negara jika difikirkan perlu.

Yap turut membayangkan bahawa mesyuarat pertama suruhanjaya bebas siasatan itu mungkin dilangsungkan selewat-lewatnya sebelum mesyuarat majlis FAM pada Ahad ini.

Malaysia di bawah bimbingan Abdul Rahman Ibrahim, dibelasah 0-6 oleh Indonesia dalam perlawanan kumpulan B sekali gus tersingkir ke separuh akhir Sukan SEA buat kali kelima berturut-turut sejak 1991.

Beberapa pemain turut dikaitkan sebagai terlibat dalam menjual perlawanan hingga mengakibatkan skuad negara ditimpa bencana terbaru yang mengatasi keaiban tersungkur di kaki Laos 0-1 ketika Sukan SEA Jakarta 1997.

Sementara itu, Zaiton yang juga Pegawai Psikologi Sukan MSN ketika dihubungi berkata, beliau belum lagi memberikan sebarang jawapan sama ada untuk menerima atau tidak, pelantikannya dalam suruhanjaya itu.

''Saya baru terima surat tawaran FAM itu. Tarikh yang tercatat padanya lebih awal (Ogos) berbanding tarikh sampai, 3 September,'' katanya yang menyumbangkan khidmat nasihat membantu skuad sepak takraw negara mempertahankan pingat emas pada Sukan Asia di Hiroshima 1994.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SFjvtF9w © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan