ARKIB : 03/04/2000
BANGKOK - Jurulatih skuad bola
sepak kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim akan menggandingkan penyerang Rusdi
Suparman dengan Bobby Pian untuk perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan
Piala Asia menentang Taiwan di Stadium Suphachalasai di sini, esok.
Ketiadaan Mohd. Nizaruddin
Yusof yang digantung satu perlawanan setelah tamat pusingan pertama di Kuala
Lumpur minggu lalu, dan kecergasan Zami Mohd. Noor yang belum memuaskan selepas
ditimpa kecederaan, memaksa Rahman menurunkan penyerang Sarawak itu dalam
kesebelasan utama.
''Untuk perlawanan dengan Taiwan,
Rusdi akan digandingkan dengan Bobby di barisan serangan. Bobby menjadi pilihan
kerana lagipun dia kerap saya turunkan semasa pusingan pertama minggu lalu,''
kata Rahman di sini, semalam.
Menurut jurulatih itu, Abdul
Ghani Malek yang direhatkan pada dua perlawanan pertama di Kuala Lumpur, akan
kembali memperkukuhkan barisan pertahanan bersama Shamsul Amri Abu Bakar,
Hairul Nizam Haniff dan Bahtiar Othman.
B. Rajinikandh pula akan
kembali memegang teraju jentera tengah bersama Ahmad Shahrul Azhar Sofian,
Anuar Jusoh dan Mohd. Noor Derus.
Nizaruddin yang menjaringkan
gol penyamaan ketika Malaysia mengikat Korea Utara 1-1 di Kuala Lumpur,
menerima dua kad kuning semasa pusingan pertama dan tidak dapat beraksi pada
perlawanan pembukaan pusingan kedua menentang Taiwan.
Penyerang Kuala Lumpur itu akan
kembali memperkukuhkan pasukan untuk perlawanan menentang Korea Utara pada
perlawanan kedua dan Thailand pada aksi terakhir kempen kelayakan.
Rusdi, penjaring terbanyak
Malaysia setakat ini dengan tiga gol, terus diberi kepercayaan menerajui
bahagian serangan skuad negara.
Manakala kedudukan penjaga gol
utama negara, Mohd. Sany Fahmi yang mengalami kecederaan hidung akibat berlaga
dengan pemain Thailand pada perlawanan terakhir pusingan pertama, belum pasti
diturunkan.
Rahman memiliki dua lagi
penjaga gol iaitu Zuraimi Hassan dan Mohd. Yazid Yassin.
''Bagaimanapun ia belum pasti
lagi dan kita akan ketahui keadaan semua pemain sesudah latihan,'' kata Rahman.
Skuad negara menjalani latihan
ringan di Stadium Suphachalasai semalam sebaik tiba dari Kuala Lumpur untuk
mengekalkan kecergasan sesudah diberi rehat sehari sebelum berlepas ke Bangkok.
- Utusan
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TCJaejQc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan