ARKIB : 29/07/1999
PENYERANG negara, Wan Rohaimi
Ismail mengetuai skuad bola sepak Malaysia, menerima sekuntum bunga daripada
seorang kakitangan ITM Shah Alam sejurus sebelum berlepas ke KLIA, Sepang,
semalam.
B. RAJINIKANDH terus meraih
kepercayaan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim dengan dilantik sebagai ketua
pasukan negara apabila Malaysia memulakan kempen bola sepaknya pada Sukan SEA
XX Brunei, Sabtu ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Penamaan Rajinikandh selaku
'penghulu padang' itu diumumkan oleh pengurus pasukan, Datuk Raja Zainuddin
Omar pada majlis makan malam meraikan skuad negara di Institut Teknologi MARA,
Shah Alam, kelmarin.
Rahman ternyata membuat pilihan
yang tepat berdasarkan persembahan meyakinkan pemain tengah Negeri Sembilan itu
sejak memimpin pasukan mengharungi ledakan gergasi England, Arsenal di Kuala
Lumpur, Mei lalu.
Bahkan peranan yang
dimainkannya turut memikat pengurus Arsenal, Arsene Wenger sekalipun skuad
negara akur 0-2 pada perlawanan persahabatan pertama Malaysia sepanjang tahun
ini.
Rajinikandh beberapa kali sudah
membuktikan karismanya selepas itu termasuk ketika menentang Olimpik Iraq, New
Zealand, Uzbekistan dan Myanmar.
''Bila penampilan sulung di
Jakarta 1997 menerima kecaman teruk, sudah pasti tugas lebih berat untuk
menebusnya, menanti kami di Brunei.
''Namun itu sudah pun saya
lupakan. Yang penting kini ialah melepasi Singapura dan Indonesia _ dua
pencabar terkuat kumpulan B,'' kata Rajinikandh yang bersama-sama Khairul Anuar
Baharom, Yap Wai Loon dan Azmin Azram Aziz dalam barisan 1997.
Rajinikandh juga tidak
mengetepikan saingan Kemboja dan Brunei _ dua lagi lawan yang mampu mencipta
igauan ngeri sebagaimana Laos lakukan di Jakarta jika Malaysia tidak
berwaspada.
Ikrar untuk memastikan kemaraan
Malaysia mencapai sasaran separuh akhir turut terpikul di bahu penyerang
Selangor, Rusdi Suparman bersama gandingannya, Azizul Kamaluddin dari Pahang.
''Berbanding dengan Wan Rohaimi
(Ismail), Rahman lebih kerap menggandingkan saya bersama Azizul.
''Selepas bermain menentang
Uzbekistan, Myanmar dan New Zealand, saya mula berasa serasi dengannya,'' kata
Rusdi, penjaring terbanyak Liga Perdana Dua dengan 15 gol.
Tanpa Azman Adnan yang
diketepikan akibat kecederaan, Rusdi mempunyai peluang terbaik untuk mencipta
nama di peringkat antarabangsa setelah kerap digugurkan daripada barisan ke
Jakarta, dua tahun lalu.
Skuad negara yang bertolak
semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, membuka
tirai aksi dengan menentang Singapura di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah,
Bandar Seri Begawan, Sabtu ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4S44XBKvb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan