Ahad, 11 Disember 2016

Abd. Rahman gugurkan lapan pemain

ARKIB : 10/11/1999
JAWATANKUASA Pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menamakan 26 pemain untuk skuad negara bagi menyertai latihan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia tahun depan dengan menggugurkan lapan pemain yang beraksi pada Sukan SEA Brunei yang lalu, lapor ISHAK SALLEH.

Mereka yang digugurkan ialah penjaga gol, Azmin Azram Aziz dan V. Murugan, pertahanan - V. Thinagaran, Khairul Anuar Baharom dan M. Karunakaran pemain tengah, Nazri Yunos, Asmawi Bakiri dan Yap Wai Loon.

Sementara empat penyerang yang telah membuktikan kemampuan dikekalkan ialah Rusdi Suparman, Wan Rohaimi Ismail, Azizul Kamaluddin dan Khalid Jamlus.

Pemain Negri Sembilan, Zami Mohd. Noor dan pemain Terengganu, Syamsol Saad yang juga tidak ke Brunei turut disenaraikan.

Penyerang skuad Olimpik 2000, V. Saravanan dari Perak yang dianggap kurang menyengat di peringkat antarabangsa dipilih menyertai senarai itu.

Kesemua pemain yang dipilih akan menjalani latihan pertama di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim bermula 17 November ini.

Bagaimanapun, pemain-pemain yang terlibat dalam persaingan Piala Malaysia diberi pengecualian.

Latihan seterusnya adakan diadakan pada 29 November dan 6 Disember, kata Abdul Rahman.

''Kita mahukan komitmen dalam skuad berwajah baru ini,'' kata beliau semasa dihubungi, semalam.

Jurulatih itu kini merangka perlawanan persahabatan di Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan Ramadan.

Pada peringkat kelayakan, Malaysia berada dalam kumpulan bersama Thailand, Korea Utara dan Taiwan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SaiUsT2M © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan