Khamis, 8 Disember 2016

FAM tubuh suruhanjaya siasat kekalahan skuad negara


 

ARKIB : 02/09/1999
AHMAD RITHAUDDEEN.

JAWATANKUASA Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat Isnin lalu mengambil keputusan membentuk satu suruhanjaya bebas bagi mengenal pasti punca skuad kebangsaan mencatat persembahan buruk pada Sukan SEA XX Brunei, bulan lalu.

Suruhanjaya itu turut diberi kuasa untuk bersemuka dan menyoal mana-mana dan setiap anggota skuad kebangsaan serta individu-individu tertentu yang dirasakan perlu.

Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, keputusan itu diambil selepas FAM diarahkan mencari dan mengenal pasti punca kegagalan pasukan kebangsaan pada temasya dwitahunan itu.

''Suruhanjaya ini akan menyiasat dan mengenal pasti dari semua aspek kegagalan pasukan kita di Brunei sebelum tindakan lanjut diambil kemudian.

''Sekretariat FAM juga telah diarahkan supaya mendapatkan kepastian sama ada mereka juga perlu berada dalam suruhanjaya itu.

''Jika anggota FAM diperlukan dalam suruhanjaya itu, kami akan memberitahu anda (media) selewat-lewatnya Isnin depan,'' kata Tengku Ahmad Rithauddeen yang juga Timbalan Presiden FAM, semalam.

Semua anggota Jawatankuasa Eksekutif hadir pada mesyuarat itu kecuali Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan timbalannya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Malaysia gagal buat kali kelima berturut-turut untuk mara ke separuh akhir Sukan SEA sejak 1991 di Manila, Filipina.

Malah, pada temasya di Brunei itu, skuad kebangsaan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim dipalit aib besar apabila dibelasah 6-0 oleh Indonesia dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Kegagalan itu mencetuskan kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan sehingga ada yang meminta pengurusan FAM ketika ini ditukar.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SF76UfmA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan