Selasa, 6 Disember 2016

Perlawanan sukar hadapi Brunei

ARKIB : 06/08/1999
MALAYSIA turun beraksi menentang pasukan tuan rumah pada perlawanan terakhirnya dalam kumpulan B bola sepak Sukan SEA XX Brunei, hari ini tetapi perlawanan itu dianggap paling memeritkan.

Jurulatih Abdul Rahman Ibrahim berkata, perlawanan itu bakal disaksikan beribu-ribu peminat pasukan tuan rumah yang pastinya memberi kelebihan kepada skuad lawan itu

''Saya rasa inilah perlawanan yang paling sukar bagi kita. Kita berdepan dengan pasukan tuan rumah yang mahu mencatat keputusan terbaik di depan penyokong sendiri.

''Kita bakal menghadapi masalah jika pemain gagal menumpukan sepenuh perhatian semasa beraksi,'' kata Rahman.

Meskipun Malaysia sudah tersingkir daripada persaingan, kemenangan bagaimanapun harus dicari bagi memulihkan maruah skuad negara yang tercela akibat kekalahan terburuk 0-6 kepada pasukan Indonesia.

Walaupun menang besar 7-2 ke atas Kemboja kelmarin, tempat ke separuh akhir dari kumpulan B telah diisi oleh Indonesia dan Singapura.

''Tetapi kita akan tetap bermain habis-habisan untuk mengekalkan reputasi kita dengan Brunei,'' kata Rahman.

Malaysia di tangga ketiga dalam kumpulan B dengan tiga mata selepas tiga perlawanan dan kedudukan itu kekal jikapun skuad negara mencatat kemenangan ke atas Brunei, yang berkongsi satu mata dengan Kemboja.

Rahman berkata, beliau akan menurunkan barisan serupa ketika menentang Kemboja tetapi menasihatkan anak buahnya supaya lebih berhati-hati.

''Kita tidak boleh membuat kesilapan lagi. Biarlah kita akhiri penyertaan di sini dengan keadaan yang menggembirakan,'' katanya.

Sementara itu, peluang Myanmar untuk ke separuh akhir amat tipis apabila seri 0-0 dengan Laos dalam perlawanan kumpulan A di Kompleks Sukan Nasional Hassanal Bolkiah semalam.

Thailand dan Vietnam, yang seri tanpa jaringan semalam, hampir pasti menempah tempat ke separuh akhir.

Thailand dan Vietnam masing-masing mempunyai tujuh mata dan jaringan gol yang lebih besar sedangkan Myanmar yang berada di tempat ketiga dengan empat mata.

Vietnam pula dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengalahkan Filipina yang masih tidak mempunyai sebarang mata daripada tiga perlawanan. - Utusan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S7detwcZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan