Ahad, 4 Disember 2016

Azizul antara 4 dipanggil

ARKIB : 15/06/1999
HONG KONG - Empat pemain termasuk penyerang Pahang, Azizul Kamaluddin dan penjaga gol Perak, V. Murugan dipanggil semula menjalani latihan skuad kebangsaan ke Sukan SEA di Brunei, bulan depan.

Jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim memberitahu, dua lagi pemain yang turut disenaraikan sebagai pelatih pasukan tersebut ialah Khairul Anuar Baharum (Negeri Sembilan) dan S. Saravanan (Kuala Lumpur).

''Mereka adalah pemain baru dipanggil untuk menyertai 21 lagi pelatih yang terdiri tonggak skuad kebangsaan sebelum ini,'' kata beliau di Hong Kong, semalam.

Abdul Rahman berada di Hong Kong sebagai anggota kumpulan kajian teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kejohanan pusingan pertama kelayakan Olimpik 2000 kumpulan enam (Zon Asia) menjelaskan, pemilihan tersebut berdasarkan prestasi semasa pemain dalam Liga Malaysia.

''Murugan dipanggil kerana seorang penjaga gol, Muadzar Mohamad tidak dapat menjalani latihan kerana kecederaan lutut.

''Khairul Anuar dan Azizul membuktikan kemampuan dalam pusingan kedua Perdana Satu, begitu juga Saravanan yang menunjukkan kematangan sewaktu beraksi dengan Kuala Lumpur,'' tambah beliau.

Sementara itu, kata Abdul Rahman, selain Muadzar, lain-lain pemain digugurkan ialah Adrian Jurad Chamrong (Kedah), Azmil Azali (Johor), Azrul Amri Burhan, Chan Wing Hoong (Perak) dan Ching Hong Aik (N. Sembilan).

Beliau berkata, kesemua pemain akan melaporkan diri bagi menjalani latihan tersebut pada 22 Jun ini kecuali mereka yang terbabit dengan separuh akhir dan perlawanan akhir Piala FA.

''Pemain daripada pasukan yang tewas dalam separuh akhir Piala FA akan melaporkan diri pada 28 Jun manakala mereka beraksi dalam perlawanan akhir pula perlu berbuat demikian pada 4 Julai,'' kata beliau.

Ditanya sama ada pemain skuad Olimpik 2000 yang beraksi di Hong Kong akan turut dipanggil, Abdul Rahman berkata, keputusan tersebut bergantung kepada pertandingan antara Malaysia dengan Jepun.

''Saya perlu melihat aksi pemain dalam dua perlawanan terlebih dahulu iaitu menentang Hong Kong dan Jepun sebelum keputusan diambil,'' kata beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RsfCtPdT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan