ARKIB : 29/03/2000
PENJAGA gol Korea Utara, Jang
Jong-hyok cuba menepis bola rembatan pemain negara, Mohd. Nizaruddin Yusof
(tiada dalam gambar) yang menerjah masuk ke gawangnya ketika Malaysia
menyamakan kedudukan 1-1 pada perlawanan bola sepak kelayakan Piala Asia di
Stadium Shah Alam, kelmarin.
RANJAU Korea Utara sudah
dilepasi, kini skuad bola sepak kebangsaan menghadapi tugas maha getir -
memastikan sekurang-kurangnya seri atau mencipta kejutan menewaskan pasukan
pilihan, Thailand pada perlawanan terakhir pusingan pertama kelayakan Piala
Asia di Stadium Shah Alam, malam ini.
Sesudah cemerlang mengikat
Korea Utara 1-1 kelmarin, anak buah Abdul Rahman Ibrahim pastinya tidak harus
melepaskan peluang terbaik beraksi di tempat sendiri untuk sekurang-kurangnya
mengekalkan kedudukan di tangga teratas sebelum berkunjung ke Bangkok untuk
pusingan kedua, minggu depan.
Dan barisan skuad negara yang
beraksi begitu bersemangat ketika menentang Korea Utara, seharusnya diteruskan
kerana sokongan padu penonton sendiri pasti diterima jika aksi yang dipamerkan
secemerlang kelmarin.
Mungkin berdasarkan ranking,
Malaysia bukan tandingan Thailand yang menduduki tangga ke-63 dunia sedang
Malaysia di tangga ke-122 dan pasukan negara Gajah Putih itu juga menduduki
ranking keempat Asia.
Tetapi jika dinilai dari segi
persembahan terkini skuad negara dan kepayahan yang dialami Thailand setelah
dua perlawanan diharungi, Malaysia mampu mencipta kejutan ke atas pasukan lawan
itu.
''Sebagai pasukan bukan pilihan
dalam kelayakan ini, misi kita adalah terus mencipta kejutan demi kejutan. Kita
sedang dalam pembikinan untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak kita.
''Keputusan ini (menang dengan
Taiwan dan seri dengan Korea Utara) adalah sesuatu yang menggembirakan tetapi
tugas kita belum selesai selagi tidak mampu menyaingi Thailand.
''Ia juga mungkin mampu
membantu kita mencatat sesuatu ke atas Thailand,'' kata Rahman mengenai
pertemuan skuad negara dengan Thailand di Shah Alam, malam ini.
Thailand, juara Sukan SEA lima
kali berturut-turut, kelihatan belum menampakkan kehebatan sebenar setelah dua
perlawanan diharungi setakat ini di Shah Alam.
Mereka diikat 0-0 oleh Korea
Utara pada perlawanan pertama dan terpaksa bekerja keras mengatasi Taiwan 2-0,
jaringan yang hanya hadir selepas satu jam permainan sesudah Taiwan kehilangan
pemain yang dibuang padang.
Manakala Malaysia bermula
cemerlang menumpaskan Taiwan 3-0 pada perlawanan pertama menerusi dua jaringan
Rusdi Suparman dan satu oleh Mohd. Noor Derus, walaupun aksi skuad negara agak
mengecewakan.
Tetapi menentang Korea Utara
menampakkan kematangan anak buah Rahman yang mampu menjanjikan keputusan baik
apabila turun menentang Thailand malam ini.
''Saya hanya berharap pemain
meneruskan komitmen tinggi seperti di samping sokongan penonton supaya kita
terus diberi nafas untuk terus maju,'' kata Rahman.
Pertemuan Malaysia dengan
Thailand ini adalah kali pertama dalam tempoh tiga tahun. Kali terakhir dua
pasukan berjiran ini bertemu ialah pada perlawanan akhir Piala Tiger di
Singapura pada 1997 dengan kemenangan memihak kepada Thailand.
Pada temasya Sukan SEA,
Malaysia tidak diundi bertemu Thailand dalam lima temasya berturut-turut.
Mengenai pertemuan penting ini,
Rahman berkata bek tengahnya, Abdul Ghani Malek mungkin tidak dapat diturunkan
akibat cedera celah kelangkang. Rusdi pula cedera belakang badan semasa
pertemuan dengan Korea Utara dan dia belum pasti dapat beraksi.
Keadaan itu mungkin memaksa
Rahman menurunkan barisan yang sama ketika menentang Korea Utara dengan B.
Rajinikandh mengambil tempat Ghani dan Idris Karim dibawa masuk membantu
bahagian tengah bersama Ahmad Shahrul Azhar Sofian dan Anuar Jusoh.
Kedudukan Zami Mohd. Noor yang
kurang aktif semasa menentang Korea juga tidak pasti tetapi tempat penyerang
muda, Mohd. Nizaruddin Yusof harus terus dikekalkan.
Oleh: JOHARI SHAWAL
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T9JE5TBR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan