Sabtu, 17 Disember 2016

Bola patut ikut hoki

ARKIB : 24/03/2000
KEJAYAAN skuad hoki negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Sydney, September ini seharusnya menjadi suntikan semangat kepada skuad bola sepak kebangsaan untuk melepasi pusingan kelayakan Piala Asia pusingan pertama yang akan bermula esok, lapor AMRAN MULUP.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah berkata, baginda yakin pemain negara mampu mengetepikan tanggapan buruk terhadap mereka untuk memastikan kejayaan ke pusingan akhir nanti.

''Saya tahu berdasarkan perlawanan persahabatan di luar negara keputusan kurang memberangsangkan tetapi ini bukan menjadi sebab mengapa kita tidak mampu menang.

''Pemain juga harus melihat kejayaan skuad hoki layak ke Sydney dan ini seharusnya menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk mengikut jejak langkah skuad hoki,'' ujar baginda.

Baginda menyatakan demikian ketika ditemui oleh Utusan di Pangkalan TUDM semalam sebelum berlepas pulang ke Kuantan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-185 di Istana Negara semalam.

Baginda berkata, dengan latihan serta beberapa siri perlawanan persahabatan di luar negara tidak mustahil skuad negara mampu membuat kejutan.

''Saya mempunyai harapan tinggi bahawa kita akan dapat menewaskan lawan dan saya mendoakan kejayaan mereka,'' ujarnya.

Sehubungan itu juga, baginda merayu seluruh peminat bola sepak agar datang beramai-ramai ke Stadium Shah Alam bagi memberikan sokongan moral kepada pemain.

''Pasukan kita akan berbangga dengan sokongan daripada peminat dan sudah tentu mereka akan berbangga mendapat sokongan padu bagi mempamerkan aksi paling menarik,''ujar baginda.

Skuad negara menghadapi tugas berat untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia di Lebanon, Oktober ini apabila diletakkan bersama-sama gergasi Asia Tenggara, Thailand, Korea Utara dan Taiwan. Kempen pusingan kedua pula akan berlangsung di Thailand dari 4 hingga 8 April ini.

Mengulas lanjut Sultan Ahmad Shah berkata, pemain negara sebenarnya mampu memberikan persembahan terbaik biarpun berdepan Thailand.

''Saya dah tengok perlawanan Thailand dengan Brazil, biarpun saya bukan jurulatih tetapi jika Thailand boleh berlari kita pun boleh juga,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4T6ylNKj4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan