Sabtu, 3 Disember 2016

Hatem bimbang kecederaan Saravanan

ARKIB : 02/06/1999
KETIKA pusingan kelayakan hanya tinggal dua minggu lagi, skuad bola sepak Olimpik 2000 menerima khabar malang apabila penyerang V. Saravanan tercedera ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.

Perkembangan terbaru itu jelas memeningkan jurulatih Hatem Souissi kerana khidmat Saravanan amat diperlukan bagi memperkukuhkan jentera serangan pada pusingan kelayakan kumpulan enam Zon Asia di Hong Kong dan Jepun bermula 14 Jun ini.

''Apa yang menimpa Saravanan sebentar tadi menyulitkan kita untuk membentuk barisan yang mantap pada pusingan kelayakan nanti.

''Kita hanya tinggal lebih kurang dua minggu dan kecederaan ke atas satu-satu pemain dalam tempoh singkat ini menambahkan kesulitan bagi kita,'' katanya.

Hatem berkata, beliau tidak tahu sejauh mana seriusnya kecederaan yang dialami Saravanan tetapi meminta pasukan bersabar kerana kecederaan pemain itu mungkin boleh sembuh sebelum ke Hong Kong.

''Kita harus bersabar dan lihat dulu perkembangan pemain itu esok,'' katanya selepas sesi latihan, semalam.

Saravanan, anggota skuad Piala Dunia Belia 1997, sebelum ini mengalami kecederaan pangkal paha yang menghalangnya beraksi pada Kejohanan Empat Penjuru di Kuala Lumpur, April lalu dan tercicir dari siri lawatan ke China untuk tiga perlawanan persahabatan, bulan lalu.

Pemain Perak itu mengalami kecederaan di bahagian yang sama ketika latihan semalam. Selain Saravanan, skuad Olimpik 2000 mempunyai tiga lagi penyerang iaitu Khalid Jamlus, Akmal Rizal Rakhli dan Chow Chee Weng.

''Kita lihat dulu setakat mana kecederaan yang dialaminya dan kemudian barulah kita buat keputusan,'' katanya.

Hatem hanya akan membariskan 20 daripada 24 pemain skuad itu sebelum berlepas ke Hong Kong 11 Jun ini.

Malaysia diletakkan sekumpulan dengan Jepun, Hong Kong, Nepal dan Filipina pada pusingan kelayakan itu.

Mengenai perlawanan di China, Hatem berkata pasukannya telah mempamerkan permainan yang baik walaupun tewas dua daripada tiga perlawanan di sana.

''Pasukan Olimpik China memberi kesan baik bagi kita dan perlawanan kompetitif seperti itulah yang mematangkan kita,'' katanya.

Skuad negara tewas 2-5 kepada Olimpik China, kalah 1-5 kepada kelab Guangzhou Apollo tetapi menang 1-0 dengan Guangzhou Matsunichi.

''Kita memerlukan sekurang-kurangnya dua lagi perlawanan persahabatan seperti itu dalam tempoh dua minggu ini,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RpjmmEcV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan