Selasa, 6 Disember 2016

Asmawi, Azizul benam Brunei

ARKIB : 07/08/1999
JARINGAN Asmawi Bakiri dan Azizul Kamaluddin menyelamatkan maruah Malaysia daripada terpalit apabila membenam Brunei 2-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA XX di Stadium Berakas, Bandar Seri Begawan, semalam.

Namun keputusan itu tidak membawa sebarang makna selepas Indonesia dan Singapura menempah tempat ke separuh akhir selepas seri 1-1.

Indonesia beroleh golnya menerusi Bima Sakti pada minit ke-36 tetapi Singapura membalas melalui Indra Shahdan Daud seminit sebelum tamat permainan.

Kedua-dua pasukan ini hanya mahu menentukan siapa juara kumpulan.

Malaysia mengumpul enam mata hasil dua kemenangan ke atas Kemboja 7-2 di samping kalah 1-2 dan 0-6 kepada Singapura dan Indonesia.

Gol pertama Malaysia semalam muncul pada minit ke-19 menerusi rembatan Asmawi hasil umpanan lintang Wan Rohaimi Ismail dari sebelah kanan kubu tuan rumah dan satu lagi menerusi Azizul Kamaluddin minit ke-82.

Jurulatih Abdul Rahman Ibrahim selepas perlawanan berkata, rombakan perlu dibuat terhadap pasukan kebangsaan.

''Mungkin hanya satu dua pemain patut diganti apabila ada yang tidak bermain pada kemampuan sebenar seperti dalam Liga Perdana. Mereka harus diberi peluang,'' kata Rahman. - Utusan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4S7hiXVvZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan