ARKIB : 26/08/1999
FADZLI Saari (kiri), Holger
Obermann dan Rudie Ramli menunjukkan isyarat bagus dan trofi penghargaan
sekembalinya daripada menjalani latihan pendedahan lima minggu di Jerman, dalam
sidang media di Kelana Jaya, semalam.
MASA depan bola sepak Malaysia
bakal kembali cerah sekembalinya dua pemain remaja, Rudie Ramli dan Fadzli
Saari daripada latihan pendedahan selama lima minggu di Jerman, semalam.
Penasihat Teknikal Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM), Holger Obermann berkata, Rudie dan Fadzli
menjanjikan harapan baru buat bola sepak negara di sebalik prestasi buruk skuad
negara dan Olimpik 2000 kebelakangan ini.
Rudie menimba pengalaman di
kelab gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich manakala Fadzli diletakkan di
bawah kelab bahagian tiga, SV Wehen dekat Frankfurt.
Ini merupakan penghantaran
pemain remaja Malaysia kali kedua atas usaha Obermann selepas Akmal Rizal
Rakhili dan Rafiz Abu Bakar sejak empat tahun lalu.
Rudie dari Selangor
bagaimanapun tidak dapat menunjukkan bakat sepenuhnya akibat masih terasa kesan
kecederaan lutut yang baru dibedah enam bulan lalu.
Namun Fadzli, pemain berbakat
Pahang, mulai memikat kelab separuh profesional Wehen yang turut membuat tawaran
kepadanya untuk melanjutkan tempoh latihan di sana.
''Latihan di Jerman memberikan
petanda baru bahawa pemain remaja Malaysia menjanjikan harapan cerah apabila
mengambil alih tanggungjawab dalam pasukan kebangsaan,'' kata Obermann lagi.
Bagaimanapun katanya, Rudie dan
Fadzli belum boleh diberikan tawaran menandatangani kontrak dengan sebarang
kelab di Jerman selagi tidak memenuhi keperluan pendidikan di sana.
''Tidak mudah bagi sebarang
kelab di Jerman membuat tawaran sedemikian. Pemain muda seperti mereka perlukan
pendidikan akademik terlebih dulu sebelum diberi peluang menjadi pemain
profesional sepenuhnya.
''Di Jerman, pendidikan masih
menjadi keutamaan, lebih daripada segala-galanya termasuk bola sepak,'' katanya
pada sidang media menyambut kepulangan Rudie dan Fadzli di Yayasan Persatuan
Bola Sepak Selangor (FAS), Kelana Jaya, semalam.
Katanya lagi, Jerman amat
berwaspada tentang itu kerana mahukan pemain mampu menyediakan diri dengan
sesuatu ilmu untuk digunakan sebaik sahaja kerjaya bola sepak berada di
penghujung.
Penghantaran Rudie dan Fadzli
turut mendapat sokongan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) malah Penolong
Setiausaha Agungnya turut berharap mereka mampu memanfaatkan pengalaman yang
ditimba itu untuk bola sepak negara.
''Saya puji daya usaha Pahang
dan Selangor ini yang sanggup mengeluarkan belanja untuk mengetengahkan bakat
baru di Jerman.
''Begitupun, kita ada banyak
masa untuk membimbing mereka dan tidak perlu terburu-buru mengikat mereka
dengan kontrak bersama pasukan negeri dalam Liga Perdana,'' kata Yap lagi.
Dalam pada itu, Rudie berkata,
dia masih berminat untuk menyambung sesi pendedahan di Jerman pada masa akan
datang jika beroleh peluang lagi.
Bagaimanapun, Fadzli lebih
cenderung untuk kembali menabur bakti di Pahang sekiranya diberi pilihan untuk
meneruskan kerjaya bola sepaknya.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S9d3aZ8v
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan