Jumaat, 29 Julai 2016

Olimpik lepas peluang

ARKIB : 05/04/1998
KELEBIHAN bermain di gelanggang sendiri kali ini tidak memihak kepada Olimpik 2000 apabila seri 0-0 dengan Brunei pada perlawanan pembukaan bola sepak Perdana Satu di Stadium Merdeka, malam tadi, lapor AMRAN MULUP.

Keputusan itu meneruskan episod malang Olimpik yang tewas pada dua perlawanan di gelanggang sendiri kepada Pulau Pinang dan Melaka dengan 1-0 pada pusingan kelayakan ke Perdana Satu, bulan lepas

Namun, perlawanan malam tadi sepatutnya menjadi milik mutlak Olimpik tetapi nasib sahaja tidak memihak dengan empat peluang yang pastinya menggegar gawang lawan.

Chow Chee Weng terlepas dua peluang pada minit ke-49 dan 57 manakala setiap satu menerusi Azmir Nor Hakim Burhan (19) dan Hairun Haled Masrom (70).

Bagaimanapun, perlawanan dicemari aksi kasar pemain Brunei ke atas Olimpik sehingga memaksa pemain pertahanan, Yuzaiman Zahari diusung keluar padang akibat kecederaan di hidung.

Brunei memulakan rentak dengan garang tetapi penjaga gol Olimpik, Jamsari Sabian bijak menangkap kemas tandukan kencang Mohd. Brian Bothwell Abdullah mini ke-7 dan Rafael Patron Akapo (12).

Pada minit ke-19, tuan rumah bangkit cuba mengimbangi lawan, namun Azmir terlepas peluang terbaik mencipta jaringan awal.

Bermula dengan tipu helah ke atas Suni Mat Jerah, Azmir tangkas berlari berseorangan tetapi dia gopoh bila melakukan sepakan liar ke gawang lawan.

Pada minit ke-27, Gilbert Cassedy nyaris-nyaris meletakkan Olimpik di depan apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti sekadar menyinggahi palang gol.

Empat minit selepas babak kedua bermula Olimpik 2000 sekali lagi dihampakan dengan sepakan lemah Chow Chee Weng mudah ke dakapan Mohamad Yunus selepas mendapat umpanan cantik Azmir.

Chee Weng hampa buat kali kedua pada minit ke-57 biarpun berjaya melepasi kawalan Zannoun Farouk Al-Hassan tetapi dia melakukan rembatan liar melewati palang gol.

Pada minit ke-66, kesilapan pemain pertahanan S. Jayaprakash gagal menanduk kemas bola hantaran ke belakang nyaris membawa padah tetapi lega kegopohan penyerang veteran pelawat, Rosanan Samak menyepak liar dalam keadaan pintu gol tidak dikawal.

OLIMPIK 2000: Jamsari Sabian, Nik Ahmad Fadly Nik Leh, Johnny Joseph, Chia Ching Kar, S. Jayaprakash, Azmir Nor Hakim, Chow Chee Weng (Hairuddin Omar), Lim Chan Yew, Gilbert Cassedy (M. Gopalan), Tengku Hazman Raja Hassan, Yuzaiman Zahari (Hairun Haled Masrom).

BRUNEI: Mohamad Yunus Yusof, Martilu Mohamad (Awangku Sallehuddin), Rosli Liman, Liew Chuan Yew, Md Brian Abdullah Bothwell, Azmanuddin Gillen, Rosanan Samak (Johan Jinin), Rafael Patron Akapo, Suni Mat Jerah (Nordin Tujoh), Irwan Mohamad, Zannoun Farouk Al-Hassan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FrTFU5r6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Olimpik 2000 main Jumaat

ARKIB : 04/04/1998
SKUAD Olimpik 2000 akan mengharungi perlawanan Liga Perdana Satu pada hari Jumaat dan bukannya pada hari Sabtu, mulai minggu hadapan lapor AMRAN MULUP.

Menurut penolong pengurus pasukan, Datuk Syed Ahmad Syed Kuning perubahan jadual itu hanya membabitkan perlawanan Olimpik di gelanggang sendiri iaitu di Stadium Merdeka.

Katanya, bagi perlawanan membabitkan Olimpik di tempat lawan kekal seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata perubahan itu dibuat atas permintaan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

''KLFA bimbang masalah kutipan tiket kerana perlawanan di sekitar gelanggang sendiri membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Olimpik dijalankan pada satu masa.

''Ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan kutipan tiket jika tiga perlawanan dijalankan serentak,'' kata Syed Ahmad.

Mengikut jadual asal Sabtu ini dalam Perdana Satu, Selangor akan menentang Brunei di Stadium Shah Alam, Kuala Lumpur bertemu Negeri Sembilan di Stadium KLFA dan Olimpik menentang Perak di Stadium Merdeka.

Ini bermakna perlawanan kedua Olimpik di gelanggang sendiri menentang Perak akan diadakan pada Jumaat.

Sehubungan dengan perubahan itu, jadual dalam Perdana Dua yang bermula minggu depan juga turut dipinda.

Katanya, perubahan itu hanya membabitkan perlawanan Polis yang menggunakan Stadium Merdeka sebagai gelanggang sendiri.

Perubahan jadual itu akan menyaksikan Polis akan bermain pada hari Ahad. Polis akan menghadapi perlawanan pertama Perdana Dua menentang Melaka.

Sementara itu dua perlawanan membabitkan Johor FC dan Johor di gelanggang sendiri dalam Perdana Dua di Stadium Larkin turut dipinda.

Dua perlawanan itu di mana Johor FC menentang Kelantan yang sepatutnya di Larkin akan ditukar bermain di tempat lawan.

Manakala perlawanan kedua antara Johor menentang NS Chempaka yang juga di Larkin juga diubah yang akan bermain di Stadium Paroi.

Pindaan dua perlawanan itu kerana Stadium Larkin menjalani kerja baik pulih

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4FrOC947f © Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 04/04/1998
Kedah akan cuba kikis 'badi' - Radhi
KEDAH akan cuba mengikis 'badi' dalam cabaran sulungnya menentang Kuala Lumpur pada pertandingan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini, lapor MARZUKI MOHAMAD.

''Badi yang dialami ketika bertemu Kuala Lumpur pada tiga perlawanan akhir Piala Malaysia, berturut-turut iaitu tahun 1987, 1988 dan 1989, masih menghantui Kedah,'' kata ketua pasukan, Radhi Mat Din.

Bagaimanapun, katanya, seluruh jentera pasukan termasuk dirinya sendiri sudah menguatkan azam bukan sahaja untuk mengikis badi tetapi juga mencari kemenangan pertama bila bertemu Kuala Lumpur.

Secara kebetulan, Kuala Lumpur yang menjuarai Piala Malaysia pada ketiga-tiga tahun itu, kini masih di bawah asuhan jurulatih, Chow Kwai Lam.

Sementara bagi Radhi pula, menjadi pemain tunggal dalam skuad berkenaan yang masih meneruskan penglibatannya memimpin hijau kuning.

Selepas itu, katanya, pertemuan Kuala Lumpur - Kedah, sentiasa memberi kelebihan kepada pasukan kota raya itu, bagaimanapun, ada kalanya hijau kuning juga berjaya menjinakkan pencabarnya itu.

Mengenai percaturan pemain yang bakal diturunkan, ketua pasukan itu memberitahu kesemua pemain utama mungkin dapat beraksi pada perlawanan pembuka tirai itu.

''Ini termasuk striker kita, Che Zambil Ahmad, bagaimanapun keputusan terakhir sama ada Zambil boleh turun atau tidak, bergantung atas nasihat Dr. Sarwan, ''katanya.

Dalam hubungan ini, Kedah tidak menghadapi masalah di barisan serangan kerana tunggaknya menjadi pilihan antara Zambil dan Zulfatah Dzulkarnain yang bergandingan dengan Carlos Roberio.

Peranan membantu kelancaran barisan serangan turut dipikul bersama Andre Luis Almeida Do Nascimento, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff, Radhi Mat Din dan Mohamad Feriza Ismail, walaupun sebagai pemain midfeild.

Sementara barisan pertahanan, terdiri Khamal Idris Ali, Kane Mamadau Diallo dan Mohamad Farouk Ismail, termasuk penjaga gol, S. Suresh, seharusnya lebih berhati-hati.

Ini kerana pertahanan hijau kuning sejak dua tiga tahun ini cukup rapuh, tidak semantap zaman Lee Kin Hong, Mohamad Ramli, Ng Chew Beng dan K. Ravichandran.

Biar apa pun, kata Radhi, hijau kuning kini sudah bersedia dan seluruh pasukan berada dalam keadaan dan sausana ceria di bawah pengurusan baru, Datuk Mohd. Shariff Abu Samah.

Di samping itu, katanya, pasukan juga berjaya mengwujudkan persefahaman baik di kalangan pemain import, lama dan muka- muka baru.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4FrMGTXEi © Utusan Melayu (M) Bhd

Olimpik 2000 menanti kunjungan Brunei

ARKIB : 03/04/1998
SELEPAS menyingkirkan Johor, kini skuad Olimpik 2000 mengidam mahu meneruskan persembahan cemerlang apabila menanti kunjungan Brunei dalam kempen pertama Perdana Satu di Stadium Merdeka malam esok, lapor AMRAN MULUP.

Berbekalkan kejayaan di pusingan kelayakan, Olimpik mahu memahatkan satu lagi episod paling menarik dengan memburu kemenangan pertama ke atas Brunei.

Walaupun menghormati lawan yang memiliki segala kelebihan, ini tidak bermakna pelawat bakal memperolehi kemenangan mudah membawa pulang tiga mata penuh.

Berdasarkan prestasi ketika mengharungi pusingan kelayakan Hatem Souissi membayangkan anak buahnya mampu mengimbangi setiap kekuatan yang ada pada Brunei.

Hatem jelas tidak membayangkan rasa gusar kelibat anak didiknya bakal menjadi mangsa buruan Brunei yang mengidam mahu memahat kemenangan awal.

''Brunei sebuah pasukan yang kuat dan memiliki segala kelebihan tetapi ini tidak bermakna laluan mudah bakal dilalui.

''Lagipun pemain saya sudah bersedia berdepan apa jua rintangan dalam Perdana Satu. Prestasi pemain saya pula semakin menunjukkan peningkatan,'' ujar Hatem.

Beliau melihat satu persatu pemain yang menjadi kekuatan Brunei khususnya trio import selain keupayaan lawan mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia sebelum disekat oleh Pahang musim lalu.

Hatem menjelaskan betapa halangan getir untuk melepasi halangan pusingan kelayakan ke Perdana Satu dilepasi, hanya kempen Perdana Satu buat menimba pengalaman selain mematangkan pemain.

''Pemain saya sudah membuktikan kemampuan sebenar mereka dan saya tidak begitu gusar berdepan dengan lawan yang lebih sengit dalam Perdana Satu.

''Dan berdepan dengan Brunei mereka sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik,'' katanya.

Biarpun tanpa tiga pemain utama Muhamad Khalid Jamlus, V. Saravanan dan M. Elanggo yang digantung sebulan, Hatem jelas tidak merasakan tempang khususnya di bahagian serangan.

Katanya, sandaran ke atas Azmir Nor Hakim Burhan bergandingan dengan Chow Chee Weng mampu mengembalikan kekuatan jentera serangan.

''Saya yakin dengan kewibawan Azmir. Dia mampu melaksanakan tugas dengan baik,'' kata Hatem.

Azmir menjadi hero membenam Johor dengan dua gol satu darinya membantu kemenangan tipis 1-0 di Larkin dan keputusan seri 1-1 di Stadium Merdeka buat Olimpik layak ke Perdana Satu.

Dengan perkhabaran gembira tiada seorangpun pemain ditimpa kecederaan, Hatem dijangka membariskan tenaga utama melayani kehebatan Brunei.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4FrH3LLQk © Utusan Melayu (M) Bhd

Olimpik 2000 belum mampu pergi jauh

ARKIB : 30/03/1998
KEJAYAAN skuad Olimpik 2000 melayakkan diri ke Perdana Satu memberi nafas lega kepada jurulatihnya, Hatem Soussi selepas kewibawaannya diragui setelah persembahan kurang konsisten pasukan bimbingannya.

Sememangnya, pasukan berkenaan kini menjadi tumpuan berdasarkan kepada sokongan padu yang diberikan oleh semua pihak bagi melihat skuad berkenaan bertambah mantap.

Namun keupayaan skuad berkenaan layak ke Perdana Satu bukanlah satu tiket yang boleh diandaikan sebagai sudah melepasi tahap kemajuan yang diunjurkan.

Ini adalah kerana kemampuan skuad berkenaan masih belum mencapai ke tahap membanggakan terutama dalam melahirkan pemain yang benar-benar mempunyai kemahiran individu.

Adalah menjadi satu kerugian kepada skuad berkenaan kerana setelah tiga tahun pasukan berkenaan dibentuk masih belum menonjolkan kemahiran pemain berkemahiran tinggi.

Berdasarkan kepada perkembangan berkenaan skuad Olimpik 2000 masih belum mampu pergi jauh sekiranya kemampuan jurulatih melahirkan pemain dalam kategori berkenaan tidak berhasil.

Tidak dapat dinafikan skuad berkenaan mempunyai tahap permainan secara berpasukan secara total dan sudah menepati ciri-ciri sebagai sebuah pasukan mantap.

Kemampuan skuad berkenaan melepasi halangan dalam kelayakan ke Perdana Satu harus disambut dengan melakukan persediaan mantap memandangkan lawan mereka nanti adalah pasukan yang lebih hebat.

Pasukan Olimpik 2000 sepatutnya mempunyai beberapa pemain tonggak yang boleh memberi semangat juang kepada rakan sepasukan.

Setiap pasukan seharusnya melahirkan pemain tonggak kerana mereka boleh menjana semangat serta memberi tekanan kepada pasukan lawan.

Adalah kurang berkesan sekiranya hanya jurulatih yang diberi tanggungjawab hanya mampu melahirkan pasukan seimbang dalam semua posisi tetapi gagal melahirkan pemain berbisa untuk menggerunkan pihak lawan.

Aspek taktikal serta kemahiran individu merupakan elemen penting untuk dikembangkan dalam permainan sebenar terutama apabila beraksi dalam Perdana Satu.

Umum pasti menunggu kemunculan skuad Olimpik 2000 memberi cabaran getir menjelang aksi mereka dalam Perdana Satu.

Biarlah cabaran pasukan berkenaan dalam Perdana Satu akan dapat melahirkan pemain yang boleh menggegarkan pihak lawan kelak.

Tanpa melahirkan pemain yang digeruni lawan samalah seperti menuju ke destinasi tanpa penghulu kerana meskipun semangat berpasukan ada tetapi tidak mampu bergerak dengan lebih berkesan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FoPqYSNW © Utusan Melayu (M) Bhd

Olimpik 2000, PP layak ke Perdana Satu

ARKIB : 29/03/1998
SKUAD Olimpik 2000 mencipta kejayaan cemerlang apabila layak bertanding dalam Liga Bola Sepak Perdana Satu selepas seri 1-1 menentang Johor pada separuh akhir kedua di Stadium Merdeka, malam tadi.

Pasukan bimbingan jurulatih dari Tunisia, Hatem Souisi itu layak menerusi agregat 2-1.

Johor yang berhasrat menebus kehampaan di Stadium Larkin Johor Bahru, Selasa lalu berikutan kekalahan 0-1 bangkit menyamakan agregat menerusi jaringan bekas penyerang kebangsaan, Azmi Mohamed pada minit ke-43.

Bagaimanapun kegembiraan pasukan pelawat itu tidak bertahan lama apabila Azmi Nor Hakim Burhan mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-55 untuk menjadikan agregat 2-1.

Dengan keputusan itu bermakna, Johor terpaksa bertanding dalam Perdana Dua musim ini.

Pulau Pinang turut layak meskipun tewas 0-1 kepada Kelantan dalam satu lagi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamad ke-VI, Kota Bharu. Gol tunggal Kelantan dijaringkan oleh Hashim Mustapha.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4FoLwOiLL © Utusan Melayu (M) Bhd


Indra sedia kerah kudrat demi Harimau Malaysia

 Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kelantan Indra Putra Mahayuddin sedia menyahut seruan pasukan Harimau Malaysia seandainya khidmatnya ditagih pengendali negara Datuk Ong Kim Swee susulan persaraan empat tonggak utama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) minggu lalu.

Ketika usianya bakal menjangkau 35 tahun pada 2 September ini, Indra dilihat begitu bersemangat untuk membantu skuad kebangsaan dengan tonggak yang sarat pengalaman itu mahu menjadikan pentas Piala AFF kali ini sebagai penampilan terakhir bersama negara.

“Jika diberi peluang jurulatih (Kim Swee) saya pasti akan melakukan yang terbaik kerana anggap ia panggilan harus disahut.


“Mungkin saingan AFF ini berpotensi menjadi kejohanan yang terakhir sebelum memikirkan sebarang kemungkinan bersara daripada pasukan kebangsaan.

“Namun buat masa sekarang, saya sentiasa terbuka kerana selagi masih ada kudrat, saya bersedia berjuang demi tanah air tercinta dan berkhidmat bersama pasukan negara,” katanya yang turut beraksi pada Piala AFF 2014 yang menyaksikan pasukan negara mara ke perlawanan akhir namun terpaksa akur kepada kehebatan anak buah Kiatisuk Senamuang apabila tewas 3-4 secara agregat.

Malah, dalam aksi final dua tahun lalu itu juga menyaksikan pemain kelahiran Ipoh, Perak itu berjaya menyumbangkan satu gol menerusi tandukan kemas sekali gus menggembirakan ribuan penyokong negara di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai persaraan empat pemain Johor DT daripada pentas antarabangsa hingga menimbulkan pelbagai kontroversi, dia menjawab: “Itu pilihan mereka.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut, tapi apa yang mereka buat kita kena terima dan hormati.”

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 6:42 AM

Hatem resah serangan tumpul

ARKIB : 23/03/1998
MASALAH ketumpulan barisan serangan mula meresahkan jurulatih skuad Olimpik 2000, Hatem Souissi menjelang pertemuan separuh akhir pusingan pertama menentang Johor di Larkin, malam esok.

Hatem tidak menolak kelemahan di posisi itu semakin ketara sewaktu pasukannya tewas 0-1 kepada Melaka kelmarin.

Sekalipun menguasai pentas saingan berbanding lawan namun tindakan penyudah menerusi gandingan Hairuddin Omar dan Chow Chee Weng jelas menggagalkan segala usaha mencari gol penyamaan.

''Pada 15 minit awal pemain saya tenggelam dengan gol pendahuluan Melaka namun pada babak kedua kita banyak mencipta peluang.

''Melaka mendapat satu peluang dan berjaya menjaringkan gol sedangkan pasukan saya mencipta banyak peluang pada babak kedua tetapi digagalkan dengan tindakan penyudah yang kurang berkesan,'' kata Hatem.

Biarpun menurunkan Chan Wing Hoong dan Yuzaiman Zahari pada babak kedua bagi membantu barisan serangan namun segalanya turut dihampakan dengan percubaan liar yang tidak menepati sasaran.

Yang jelas, jurulatih dari Tunisia itu tidak mempunyai banyak pilihan selepas menggantung dua penyerang utama Muhamad Khalid Jamlus dan V. Saravanan.

Namun bagi Hatem tempoh dua hari menjelang pertemuan esok masih membolehkan dia mencatur strategi terbaik bagi memperkukuhkan kembali jentera serangan.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Johor esok, Hatem tetap yakin sesuatu dapat dilakukan oleh pemainnya untuk menyekat Johor daripada mengutip kemenangan pertama.

''Yang saya harapkan pemain saya dapat bekerja keras sebagai sebuah pasukan tanpa mempedulikan kekuatan sebenar Johor,'' katanya.

Menurutnya, biarpun atas kertas Johor disifatkan sebagai pasukan yang cukup matang dan berpengalaman tetapi tempoh 90 minit akan menjadi penentu.

Tambahnya, pemainnya semakin menunjukkan peningkatan selepas mengharungi empat perlawanan di pusingan kelayakan.

Ini sekaligus mencetuskan rasa yakin Hatem kemampuan anak buahnya mampu memberikan saingan kepada pemain Johor biarpun bertandang di tempat lawan.

''Johor memang pasukan yang cukup matang dan berpengalaman berbanding pasukan saya tetapi ini tidak menghalang bagi mereka mempamerkan aksi paling menarik,'' katanya.

Kekalahan kelmarin adalah bagi kali kedua di gelanggang sendiri dialami oleh Olimpik 2000 selepas mencatat dua kemenangan di tempat lawan ke atas Pulau Pinang (1-0) dan Melaka (1-0).

Skuad Olimpik sekadar mengutip enam mata untuk muncul naib juara di belakang naib juara Piala FA tahun lalu, Pulau Pinang selaku juara Kumpulan A dengan sembilan mata.

Johor pula muncul juara Kumpulan B dengan tujuh mata selepas saingan terdekat Kelantan tewas 1-2 kepada jiran Terengganu kelmarin.

Dalam perlawanan separuh akhir yang lain Pulau Pinang akan menanti kunjungan Kelantan di gelanggang sendiri malam esok.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FmX9hcRn © Utusan Melayu (M) Bhd


Khamis, 28 Julai 2016

Skuad Olimpik cukup bertenaga

ARKIB : 16/03/1998
WALAUPUN skuad Olimpik 2000 hanya mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang, jurulatih Hatem Souissi tidak akan membuat rombakan besar-besaran bagi menghadapi Melaka dalam perlawanan kumpulan A, pusingan kelayakan Perdana Satu, di Stadium Merdeka, Sabtu ini.

Ini bermakna Hatem tidak bercadang untuk memanggil semula tiga tonggak skuad Olimpik 2000 yang digantung kerana masalah disiplin, M. Elango, V. Saravanan dan Khalid Jamlus sekalipun sedar lawan bakal memberi saingan sengit.

Ternyata, kemenangan ke atas skuad Harimau Kumbang belum dapat ''mengubat'' kebimbangan jurulatih kelahiran Tunisia itu sekalipun pasukan bimbingannya sudah mencerahkan peluang ke separuh akhir Perdana Satu sebaik berakhir perlawanan dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, kelmarin.

Bagaimanapun, Hatem berkata, rombakan besar-besaran tidak perlu kerana skuad Olimpik 2000 sebenarnya beraksi di atas kemampuan pemain yang bergerak sebagai sebuah pasukan.

''Kita sekarang bermain sebagai sebuah pasukan, memang kelazimannya terdapat kelemahan apabila menghadapi sesuatu perlawanan,'' tambah beliau.

Sehubungan itu, kata Hatem, beliau tidak perlu menanggil semula ketiga-tiga pemain tersebut yang sebelum ini sudah diberi peluang bermain.

Kemenangan ke atas skuad Harimau Kumbang menyaksikan skuad Olimpik 2000 berkongsi enam mata dengan Pulau Pinang untuk kembali menjadikan persaingan kian getir.

''Saya gembira kerana pasukan Olimpik 2000 menang untuk mencerahkan laluan ke separuh akhir kelayakan Perdana Satu tetapi persaingan sebenarnya masih terbuka,'' kata Hatem.

Ternyata ada kebenarannya Hatem menaruh kebimbangan kerana skuad bimbingannya perlu mencari kemenangan ke atas Melaka yang sudah tentu ingin membalas dendam ke atas skuad Olimpik dan Pulau Pinang selepas tewas 0-1.

Melaka yang sudah dua kali tewas akan berhempas pulas mencari kemenangan apabila bertemu skuad Olimpik 2000 dan Pulau Pinang untuk melangkah ke separuh akhir kelayakan Perdana Satu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Fi12TPkR © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 27 Julai 2016

Skuad Olimpik 2000 belum cukup mantap

ARKIB : 05/03/1998
 
TUMPUL... Dua pemain Pulau Pinang, Chee Wan Hoe dan Fabio De Silva nyata lebih tangkas dalam perebutan bola dengan pemain skuad Olimpik 2000, M. Gopalan pada pertemuan kelayakan Perdana Satu di Stadium Merdeka, kelmarin. Pulau Pinang menang 1-0.

PERSEMBAHAN hambar skuad Olimpik 2000 yang tewas 0-1 di tangan Pulau Pinang dalam pusingan kelayakan Perdana Satu kelmarin membayangkan bahawa pasukan remaja itu masih belum mantap, lapor AMRAN MULUP.

Permainan kelmarin jelas membayangkan sasaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa pasukan itu - yang dibentuk sejak tiga tahun lalu - mampu menggegar, nampaknya kini jauh meleset.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengilhamkan skuad itu sambil memenuhi apa sahaja tuntutan jurulatihnya Hatem Souissi, menyaksikan sendiri aksi kurang bertenaga dipamerkan oleh kesebelasan utama.

Malah Tengku Abdullah sering kali menggeleng-geleng kepala sepanjang babak berlawanan berlangsung hingga beliau tangkas pulang sebelum perlawanan berakhir, membayangkan betapa hampanya menyaksikan pemain Olimpik beraksi seperti 'anak ayam kehilangan ibu'.

Soal kalah atau menang adalah adat pertandingan namun apa yang dipamerkan oleh anak didik Hatem jelas pincang di setiap posisi.

Hantaran-hantaran yang tidak tepat dan sering memihak kepada lawan selain tiada sebarang gerakan menarik mampu mencabar kewibawaan penjaga gol veteran Ahmad Sobri sepanjang babak, menjelaskan betapa pemain yang mula dibentuk sejak 3 Januari 1995 itu masih terkial-kial mencari rentak.

Persembahan kelmarin jauh dari aksi sebenar skuad Olimpik sewaktu menggalas cabaran pada Kejohanan Piala Belia Dunia Jun tahun lalu menyaksikan pemain negara tewas semua perlawanan kepada Maghribi (3-1), Uruguay (3-1) dan Belgium (3-0).

Barisan yang ditampilkan oleh Hatem tidak banyak bezanya dengan skuad sama mengharungi kempen Piala Belia Dunia melainkan lima pemain. Mereka ialah Jamsari Sabian, Johnny Joseph, Lim Chan Yew, S. Jayaprakash dan Muhamad Khalid Jamlus.

Hanya Johnny Joseph adalah muka baru yang dipanggil Disember tahun lalu manakala empat lagi pemain adalah anggota asal pasukan yang dulunya dikenali skuad Projek FAM/Coca-Cola '97 yang terpaksa diketepikan dalam senarai Piala Belia Dunia akibat kecederaan.

Namun Hatem tangkas menyangkal bahawa peluang pasukan bimbingannya tidak mampu memberikan saingan sengit untuk layak ke Perdana Satu.

Mengulas mengenai persembahan itu beliau mengakui anak buahnya gementar sejak babak pertama bermula hingga menyebabkan segala gerakan mudah dipintas pihak lawan.

''Saya juga turut kecewa dengan komitmen mereka yang nampaknya tidak bersungguh. Bagi saya biasanya perlawanan pertama selalunya terjadi begini,'' jelas Hatem.

Katanya, aksi pada babak pertama nampak kurang bertenaga tetapi sebaliknya pada babak kedua meyakinkan sekalipun gagal menjaringkan gol.

''Ini adalah kekalahan pertama. Ini tidak bermakna peluang pasukan saya sudah berakhir kerana masih ada baki tiga perlawanan.

''Cuma sekarang saya perlu memikirkan perlawanan menentang Melaka Selasa depan,'' ujarnya lagi.

Berdasarkan persembahan itu beliau tidak merancang untuk melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama sekali pun sedar ada sebahagian daripada pemain bermain di luar keupayaan sebenar.

Hatem mampu menghela nafas lega menyaksikan kemantapan benteng pertahanan yang dikemudi oleh S. Jayaprakash menyekat gerakan Merzagua Abderrazzak dan G. Shanmugam.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Fcon9QO9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Ujian getir Olimpik 2000

ARKIB : 03/03/1998
DUA tempat menjadi buruan untuk ke Perdana Satu bakal mencetuskan persaingan sengit apabila memulakan cabaran pusingan kelayakan Liga Malaysia bermula malam ini.

Enam pasukan iaitu Pulau Pinang, Olimpik 2000, Melaka, Terengganu, Johor dan Kelantan akan bersaing sesama sendiri untuk mengisi dua kekosongan melengkapkan 12 pasukan memulakan cabaran Perdana Satu bulan depan.

Manakala pasukan yang gagal di pusingan kelayakan ini akan bertanding dalam Perdana Dua.

Sukar untuk meramalkan peluang enam pasukan untuk mengisi dua tempat yang ditawarkan.

Namun perjuangan kali ini akan melihat ujian sebenar skuad Olimpik di bawah jurulatih dari Tunisia, Hatem Souissi bersaing dengan pasukan yang lebih matang dan berpengalaman.

Ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampak yakin dengan peluang Olimpik untuk menidakkan saingan Pulau Pinang dan Melaka, namun ujian sebenar bakal diketahui malam ini.

Dua perlawanan malam ini membuka tirai kempen pertama apabila skuad Olimpik menanti kunjungan naib juara Piala FA, Pulau Pinang di Stadium Merdeka manakala Terengganu pula menanti kedatangan Johor di Stadium Sultan Ismail Nasirudddin Shah.

Pulau Pinang yang turun dengan gelaran selaku naib juara Piala FA tahun lalu memiliki segala kelebihan berbanding lawannya Olimpik 2000 dalam pertemuan Kumpulan A.

Kehadiran pemain import, Merzagua Abderrazzak yang diketepikan oleh Pulau Pinang pada pertengahan musim lalu, menjadi suntikan semangat untuk mengutip kemenangan awal.

Kelincahan Merzagua yang bakal digandingkan dengan bekas penyerang Perlis, Domi Che Non sudah pastinya menjadi tumpuan benteng pertahanan Olimpik yang bakal diterajui oleh S. Jayaprakash.

Perlawanan malam ini juga akan menguji kemampuan pemain import baru skuad Pulau Mutiara Fabio Fanticelle Da Silva dari Brzil.

Begitupun kelibat pemain Olimpik tidak boleh dinafikan selepas mengikat juara Piala Malaysia musim lalu, Selangor 2-2 dalam perlawanan persahabatan minggu lalu.

Turut berada dalam kumpulan ini ialah pasukan Melaka.

Dalam perlawanan kumpulan B pula, Terengganu yang mendapat khidmat bekas jurulatih Perlis, Abdul Rahman akan menerima cabaran Johor.

Sambil mengekalkan pemain import musim lalu, Seidu Issifu serta mendapat khidmat Jean Jacques Nyima (Cameroon) dan Konvesc Jozsef (Hungary) membuktikan penampilan baru Terengganu mahu menebus kegagalan musim lalu.

Kembalinya Badrul Hisham Abdullah, penjana bahagian tengah Perlis dua musim lalu bakal memantapkan perjuangan Terengganu.

Kemampuan Johor di bawah jurulatih K. Sukumaran bakal memberikan cabaran getir buat anak buah Abdul Rahman.

Si Jengking tampak mantap dengan mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu termasuk dua pemain import Darren Stewart dan Milan Blagojevic.

Bagaimanapun agak menghampakan buat Johor mungkin tidak dapat menurunkan pemain import baru Tuboly Frigyes yang masih belum mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

Kembalinya Azmi Mohamad, bekas pemain kebangsaan dan Negeri Sembilan dijangka menghilangkan rasa gusar ketumpulan jentera serangan musim lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Fc3f9g2c © Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad Olimpik bersemangat baru

ARKIB : 23/02/1998
SETELAH berehat panjang selepas Kejohanan Piala Dunia Remaja tahun lepas, skuad remaja negara iaitu skuad Olimpik kembali dengan azam dan semangat baru.

Kali ini mereka lebih mempamerkan kematangan baik daripada segi fizikal mahupun kemahiran taktikal.

Apa yang penting, skuad bimbingan jurulatih dari Tunisia, Hatem Souissi itu terus mendapat kepercayaan serta pendedahan secukupnya terutama dengan kelab-kelab profesional yang boleh membantu peningkatan mereka.

Hakikat ini dinyatakan sendiri oleh pengurusnya, Tan Sri Elyas Omar selepas perlawanan persahabatan dengan kelab Pogon FC dari Poland di Stadium Merdeka kelmarin yang menyaksikan skuad Olimpik tewas 1-2.

''Menang atau kalah tidak boleh dijadikan persoalan...apa yang penting ialah kita dapat mengesan kelemahan dan pemain pula boleh belajar daripada lawan mereka yang lebih profesional,'' katanya.

Menurut Elyas, beliau lebih suka skuad berkenaan mengadakan lebih banyak perlawanan dengan kelab-kelab profesional kerana ia boleh membantu meningkatkan daya saing serta kemahiran mereka.

Mengulas mengenai penyertaan mereka dalam Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) tahun ini, Elyas menyatakan bahawa ia merupakan persediaan terbaik kerana para pemain akan mendapat pendedahan yang lebih kompetitif sepanjang tahun sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

Matlamat kita ialah untuk merebut salah satu tempat dalam PerdanaSatu kerana ia terdiri daripada pasukan yang kuat dan terbaik di negara.

''Kita perlu berlawan dengan pasukan yang kuat kerana dari situ boleh melihat sejauh mana kewibawaan serta kesediaan para pemain memberi cabaran kepada lawan yang lebih kuat,'' katanya.

Pada keseluruhanya, Elyas berpuas hati dengan persembahan skuad remaja itu menentang Pogon FC malam kelmarin dan cuma kesilapan kecil sahaja menafikan mereka menyamai persembahan pasukan pelawat itu.

''Sasaran utama kita ialah Sukan Olimpik pada tahun 2000. Liga Malaysia adalah satu titik tolak untuk menempa kecemerlangan tanpa mengira keputusan yang akan kita dapat. Tapi semua pemain-pemain diingatkan untuk mencapai kejayaan yang tertinggi dalam setiap kejohanan yang disertai,'' kata beliau lagi. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Fb0tnR3i © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 26 Julai 2016

Khalid Jamlus sudah sedia

ARKIB : 15/02/1998
SELEPAS tersisih menggalas cabaran pada Kejohanan Belia Dunia Jun tahun lalu akibat keretakan di bahagian lutut, penyerang utama skuad Olimpik 2000, Khalid Jamlus kini sudah bersedia membuktikan kehebatan sebenar dirinya, lapor AMRAN MULUP.

Enam gol yang dicipta oleh Khalid sewaktu dia kembali semula beraksi dengan Skuad Olimpik September lalu meletakkan dirinya antara pemain yang perlu diawasi lawan apabila mengharungi pusingan kelayakan Liga Malaysia, 3 Mac ini.

Dua gol dicipta oleh ayam tambatan Perak itu pada Kejohanan Jemputan Antarabangsa Haiphong, Vietnam selain kunjungan ke Australia dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) Disember lalu, menjelaskan betapa kehadirannya melegakan jurulatih Hatem Souissi.

Sejak September tahun lalu, Khalid tidak pernah tersisih dalam kesebelasan utama menjurus dirinya menjadi sandaran utama untuk membolosi gawang lawan.

Buat Khalid, dia sedar betapa tugas berat yang sedang menantinya dengan ujian sebenar buat Skuad Olimpik diletakan dalam Kumpulan A bersama-sama naib juara Piala FA tahun lalu, Pulau Pinang dan Melaka dalam pusingan kelayakan bulan depan.

''Saya sudah cukup bersedia kali ini untuk membantu skuad Olimpik layak ke Perdana Satu. Sekalipun saya sedar akan berdepan dengan lawan yang lebih berpengalaman tetapi ini sama sekali tidak menakutkan saya,'' ujar Khalid.

Sebaliknya dia menyifatkan penampilan Skuad Olimpik dalam kancah saingan Liga Malaysia musim ini menjadi pentas untuk membuktikan kehebatan sebenar memikul tugas selaku penggempur.

Semalam Khalid turut menyumbang satu daripada dua gol kemenangan Skuad Olimpik menewaskan pasukan Liga Simpanan Selangor 2-0 dalam perlawanan persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam. Satu gol lagi dijaringkan oleh M. Elanggo. Kedua-dua gol dicipta pada babak pertama.

Menurutnya, skuad Olimpik sudah cukup bersedia untuk mengharungi cabaran sengit pada pusingan kelayakan.

''Saya tidak berani meramalkan peluang untuk layak ke Perdana Satu tetapi yang pasti kita akan memberikan persembahan terbaik,'' katanya lagi.

Hatem terpikat dengan aksi Khalid sewaktu pemain berusia 21 tahun itu menyarung jersi Perak pada Liga Malaysia 1996.

Bagaimanapun, hajat Khalid untuk beraksi dalam Kejohanan Piala Belia Dunia tidak kesampaian akibat kecederaan yang menimpanya sewaktu skuad remaja negara mengadakan sesi latihan di Perancis.

Selepas ini Skuad Olimpik akan mengharungi dua lagi perlawanan persahabatan menentang kelab profesional Pogon dan Selangor minggu depan.

Dalam persaingan pusingan kelayakan nanti, skuad Olimpik akan memulakan cabaran awal menentang Pulau Pinang di tempat lawan sebelum menanti kunjungan Melaka.

Pada pusingan kelayakan yang lain menyaksikan Terengganu, Kelantan dan Johor diletakan dalam Kumpulan B.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FVURZ1x5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 25 Julai 2016

Skuad Hatem kian matang


 

ARKIB : 15/01/1998
KHALID JAMLUS.

SKUAD Olimpik 2000 negara semakin matang walaupun keputusan perlawanan persahabatan kurang memberangsangkan sewaktu mengadakan sesi latihan di Amiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, AMRAN MULUP melaporkan.

Ketua jurulatihnya, Hatem Souissi tetap mempertahankan keupayaan barisan pemainnya sudah cukup bersedia untuk mengharungi cabaran getir pada kancah persaingan Liga Perdana Mac ini.

Beliau berkata walaupun skuad negara gagal meraih kemenangan dari empat perlawanan persahabatan yang diharungi, tetapi sesi latihan di UAE tetap menghadirkan perkhabaran gembira.

''Perlawanan di UAE memberi kesan yang cukup baik kepada pemain. Kita mengharungi perlawanan yang berkualiti berdepan dengan kelab-kelab yang cukup kuat.

''Kita mampu memberikan saingan hanya tidak ada sebarang kemenangan yang diraih. Namun keseluruhannya saya puashati dengan tahap pencapaian pemain dan dapat saya rumuskan mereka sudah bersedia mengharungi kempen kelayakan ke Premier Satu atau Premier Dua Mac ini,'' ujar Hatem ketika ditemui sebelum berangkat ke Tunisia semalam.

Skuad remaja negara yang pulang ke tanah air Selasa lalu tewas sekali 0-1 kepada kelab Al-Ahli dan seri tiga perlawanan ketika menentang Al-Shaab (2-2), Al-Fujairah (1-1) dan Al-Shabab (1-1).

Keputusan ini mengulangi pencapaian kurang memberangsangkan ketika menyertai Kejohanan Jemputan Hai Phong di Vietnam tahun lalu apabila pasukan negara tersingkir di peringkat awal.

Pasukan bimbingan jurulatih dari Tunisia, Hatem Souissi hanya seri 1-1 ketika bertemu Polis Hai Phong dan Polis Ho Chih Minh dan tewas 1-3 kepada Estonia.

Bagaimanapun latihan di Perth Australia tahun lalu pemain negara menunjukkan persembahan membanggakan apabila mencapai dua kemenangan, satu kalah dan satu seri.

Dua kemenangan dicapai ketika menewaskan Perth Italia (2-1), West Coast Youth (4-0) sebelum tewas 1-2 kepada Pilihan Western Australia dan seri 1-1 dengan Freemantle City.

Menurut Hatem, pendedahan di UAE tampak meyakinkan kebolehan pemain walaupun terpaksa berdepan dengan kelab-kelab terkemuka UAE yang membariskan antara empat atau lima pemain kebangsaan negara itu yang muncul naib juara Piala Asia tahun lalu.

''Yang penting, saya sudah dapat mengenal pasti kesebelasan utama untuk mengharungi pusingan kelayakan untuk ke Premier Satu ataupun Dua Mac ini.

''Saya tetap menyifatkan cabaran awal ini amat mustahak kepada pemain saya. Saya tidak kisah sama ada bermain di Premier Satu ataupun Premier Dua yang penting pemain saya cuba untuk memberikan yang terbaik,'' jelas Hatem lagi.

Lebih melega jurulatih itu adalah kombinasi serangan menerusi gandingan Khalid Jamlus dan Chow Chee Weng yang kian menunjukkan peningkatan apabila masing-masing menjaringkan dua gol.

''Bolah saya katakan, jentera serangan tampak meyakinkan selain posisi tengah dan pertahanan turut membawa perkhabaran gembira,'' katanya.

Skuad Olimpik negara akan bersaing dengan lima pasukan terdiri dari Johor, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Pulau Pinang bagi mengharungi peringkat kelayakan bagi menentukan dua pasukan yang akan layak ke Premier Satu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FPmdSV9U © Utusan Melayu (M) Bhd