ARKIB : 03/03/1998
DUA tempat menjadi buruan untuk
ke Perdana Satu bakal mencetuskan persaingan sengit apabila memulakan cabaran
pusingan kelayakan Liga Malaysia bermula malam ini.
Enam pasukan iaitu Pulau
Pinang, Olimpik 2000, Melaka, Terengganu, Johor dan Kelantan akan bersaing
sesama sendiri untuk mengisi dua kekosongan melengkapkan 12 pasukan memulakan
cabaran Perdana Satu bulan depan.
Manakala pasukan yang gagal di
pusingan kelayakan ini akan bertanding dalam Perdana Dua.
Sukar untuk meramalkan peluang
enam pasukan untuk mengisi dua tempat yang ditawarkan.
Namun perjuangan kali ini akan
melihat ujian sebenar skuad Olimpik di bawah jurulatih dari Tunisia, Hatem
Souissi bersaing dengan pasukan yang lebih matang dan berpengalaman.
Ketika Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) tampak yakin dengan peluang Olimpik untuk menidakkan saingan
Pulau Pinang dan Melaka, namun ujian sebenar bakal diketahui malam ini.
Dua perlawanan malam ini
membuka tirai kempen pertama apabila skuad Olimpik menanti kunjungan naib juara
Piala FA, Pulau Pinang di Stadium Merdeka manakala Terengganu pula menanti
kedatangan Johor di Stadium Sultan Ismail Nasirudddin Shah.
Pulau Pinang yang turun dengan
gelaran selaku naib juara Piala FA tahun lalu memiliki segala kelebihan
berbanding lawannya Olimpik 2000 dalam pertemuan Kumpulan A.
Kehadiran pemain import,
Merzagua Abderrazzak yang diketepikan oleh Pulau Pinang pada pertengahan musim
lalu, menjadi suntikan semangat untuk mengutip kemenangan awal.
Kelincahan Merzagua yang bakal
digandingkan dengan bekas penyerang Perlis, Domi Che Non sudah pastinya menjadi
tumpuan benteng pertahanan Olimpik yang bakal diterajui oleh S. Jayaprakash.
Perlawanan malam ini juga akan
menguji kemampuan pemain import baru skuad Pulau Mutiara Fabio Fanticelle Da
Silva dari Brzil.
Begitupun kelibat pemain
Olimpik tidak boleh dinafikan selepas mengikat juara Piala Malaysia musim lalu,
Selangor 2-2 dalam perlawanan persahabatan minggu lalu.
Turut berada dalam kumpulan ini
ialah pasukan Melaka.
Dalam perlawanan kumpulan B
pula, Terengganu yang mendapat khidmat bekas jurulatih Perlis, Abdul Rahman
akan menerima cabaran Johor.
Sambil mengekalkan pemain
import musim lalu, Seidu Issifu serta mendapat khidmat Jean Jacques Nyima
(Cameroon) dan Konvesc Jozsef (Hungary) membuktikan penampilan baru Terengganu
mahu menebus kegagalan musim lalu.
Kembalinya Badrul Hisham
Abdullah, penjana bahagian tengah Perlis dua musim lalu bakal memantapkan
perjuangan Terengganu.
Kemampuan Johor di bawah
jurulatih K. Sukumaran bakal memberikan cabaran getir buat anak buah Abdul
Rahman.
Si Jengking tampak mantap
dengan mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu termasuk dua pemain
import Darren Stewart dan Milan Blagojevic.
Bagaimanapun agak menghampakan
buat Johor mungkin tidak dapat menurunkan pemain import baru Tuboly Frigyes
yang masih belum mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).
Kembalinya Azmi Mohamad, bekas
pemain kebangsaan dan Negeri Sembilan dijangka menghilangkan rasa gusar
ketumpulan jentera serangan musim lalu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Fc3f9g2c
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan