Khamis, 14 Julai 2016

Aidil, Safiq gantung but 
skuad kebangsaan

NURUL HUDA HASSAN DAN MOHAMMAD ROZAIDI ZULKFLI   13 Julai 2016 12:06 AM
JOHOR BAHRU 12 Julai - Selepas hampir sedekad menyarung jersi pasukan kebangsaan, dua tonggak pasukan Harimau Malaysia, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Safiq Rahim mengambil keputusan mengejut untuk bersara daripada arena bola sepak antarabangsa.
Dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, yang masing-masing telah bermain 68 dan 66 kali bersama skuad negara sejak 2007, mengumumkan keputusan mereka selang sejam petang semalam dengan alasan untuk memberi peluang kepada pemain muda mewakili pasukan negara.
“Saya cukup berbesar hati dapat membantu mencapai beberapa kejayaan yang diraih sewaktu bersama skuad kebangsaan yang antaranya memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, kelayakan Belia Bawah 20 AFC 2004, Sukan Olimpik 2008 serta perlawanan-perlawanan lain.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penyokong bola sepak tanahair, barisan kejurulatihan serta pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang selama ini menyokong karier saya sepanjang berkhidmat bersama skuad kebangsaan,” kata Aidil menerusi kenyataan di akaun Facebook Johor Southern Tigers di sini hari ini.
Selepas pengumuman Aidil bersara, sejam selepas itu ketua pasukan Safiq pula mengikut jejak langkah rakan sepasukannya dengan memberi alasan yang sama iaitu memberi peluang kepada pemain lain untuk menggalas tanggungjawab mewakili negara.
“Pencapaian-pencapaian yang pernah saya raih seperti membantu skuad kebangsaan Bawah 23 tahun memenangi pingat emas dalam Sukan SEA 2009 dan juara Piala AFF 2010 untuk skuad se­nior pastinya mampu menjadi pemangkin kepada pemain generasi baharu untuk memberikan keputusan dan idea yang lebih positif kepada skuad negara.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong kerjaya saya di dalam skuad kebangsaan terutama penyokong-penyokong bola sepak tanahair, barisan kejurulatihan serta pengurusan FAM,” ujarnya.
Pengumuman kedua-dua pemain itu bermakna Jelajah Oceania ke tiga negara untuk perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea, New Caledonia dan Fiji pada bulan lalu adalah penampilan terakhir mereka bersama skuad bimbi­ngan Datuk Ong Kim Swee.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/aidil-safiq-gantung-but-8232-skuad-kebangsaan-1.352660#sthash.MTTuAMyY.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan