Rabu, 27 Julai 2016

Skuad Olimpik bersemangat baru

ARKIB : 23/02/1998
SETELAH berehat panjang selepas Kejohanan Piala Dunia Remaja tahun lepas, skuad remaja negara iaitu skuad Olimpik kembali dengan azam dan semangat baru.

Kali ini mereka lebih mempamerkan kematangan baik daripada segi fizikal mahupun kemahiran taktikal.

Apa yang penting, skuad bimbingan jurulatih dari Tunisia, Hatem Souissi itu terus mendapat kepercayaan serta pendedahan secukupnya terutama dengan kelab-kelab profesional yang boleh membantu peningkatan mereka.

Hakikat ini dinyatakan sendiri oleh pengurusnya, Tan Sri Elyas Omar selepas perlawanan persahabatan dengan kelab Pogon FC dari Poland di Stadium Merdeka kelmarin yang menyaksikan skuad Olimpik tewas 1-2.

''Menang atau kalah tidak boleh dijadikan persoalan...apa yang penting ialah kita dapat mengesan kelemahan dan pemain pula boleh belajar daripada lawan mereka yang lebih profesional,'' katanya.

Menurut Elyas, beliau lebih suka skuad berkenaan mengadakan lebih banyak perlawanan dengan kelab-kelab profesional kerana ia boleh membantu meningkatkan daya saing serta kemahiran mereka.

Mengulas mengenai penyertaan mereka dalam Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) tahun ini, Elyas menyatakan bahawa ia merupakan persediaan terbaik kerana para pemain akan mendapat pendedahan yang lebih kompetitif sepanjang tahun sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

Matlamat kita ialah untuk merebut salah satu tempat dalam PerdanaSatu kerana ia terdiri daripada pasukan yang kuat dan terbaik di negara.

''Kita perlu berlawan dengan pasukan yang kuat kerana dari situ boleh melihat sejauh mana kewibawaan serta kesediaan para pemain memberi cabaran kepada lawan yang lebih kuat,'' katanya.

Pada keseluruhanya, Elyas berpuas hati dengan persembahan skuad remaja itu menentang Pogon FC malam kelmarin dan cuma kesilapan kecil sahaja menafikan mereka menyamai persembahan pasukan pelawat itu.

''Sasaran utama kita ialah Sukan Olimpik pada tahun 2000. Liga Malaysia adalah satu titik tolak untuk menempa kecemerlangan tanpa mengira keputusan yang akan kita dapat. Tapi semua pemain-pemain diingatkan untuk mencapai kejayaan yang tertinggi dalam setiap kejohanan yang disertai,'' kata beliau lagi. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Fb0tnR3i © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan