Selasa, 15 November 2016

Olimpik 2000 tiada penyerang tinggi


 

ARKIB : 07/03/1999
Olimpik 2000 tiada penyerang tinggi
PEMAIN Olimpik 2000, Shawal Johari (tengah) gagal menyambar bola yang berjaya ditangkap penjaga gol Olimpik Singapura pada perlawanan persahabatan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam yang berkesudahan seri 3-3. - Gambar BAIZURA HARUN.

KETIADAAN penyerang bertubuh tinggi dalam skuad bola sepak Olimpik 2000 merupakan faktor utama kegagalan mereka mencipta jaringan, kata jurulatih Hatem Souissi, lapor JOHARI SHAWAL.

Tidak hairanlah walaupun banyak peluang dicipta di depan gol, pemain yang tidak mempunyai ciri fizikal itu sukar menyambut hantaran-hantaran silang.

''Apabila hantaran silang dibuat, pemain kita tidak dapat menyambut atau menanduknya menyebabkan kita terlepas peluang begitu sahaja,'' katanya selepas perlawanan persahabatan dengan Olimpik Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Olimpik 2000 seri 3-3 dengan skuad negara jiran itu dalam perlawanan kedua selepas menang 3-1 pada perlawanan pertama, Khamis lalu.

Skuad remaja negara mendahului 3-1 pada babak pertama menerusi jaringan penyerang Akmal Rizal seawal minit kelapan dan Chow Chee Weng melebarkannya empat minit kemudian.

Singapura merapatkan jurang empat minit kemudian sebelum Shawal Johari menyumbat masuk gol ketiga Olimpik 2000 tiga minit sebelum waktu rehat.

Pasukan negara yang tidak menurunkan playmaker Tengku Hazman Raja Hassan akibat kecederaan jelas goyah di barisan tengah dan tindakan Hatem yang mengeluarkan Akmal sebaik babak kedua bermula 10 minit menumpulkan lagi barisan serangan.

Olimpik gagal menggugat benteng Singapura pada babak kedua, sebaliknya kecuaian di barisan pertahanan menyebabkan pasukan lawan berjaya mencuri dua gol untuk menyamakan kedudukan, kedua-duanya menerusi penyerang lincah, Indera Sodoman.

''Tengku Hazman cedera ringan sahaja tetapi saya tidak turunkannya kerana tidak mahu mengambil risiko,'' kata Hatem.

Begitu pun, perlawanan kedua ini jelas digunakan oleh jurulatih itu menguji kesemua pemain di setiap posisi dan merehatkan sebahagian besar pemain-pemain utama.

''Cuma kita masih lagi melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan yang menyebabkan pasukan lawan berjaya menyumbat gol.

''Saya memuji barisan serangan kita yang berjaya mencipta banyak peluang terutama pada babak pertama,'' katanya.

Dalam pada itu Hatem berkata, skuad Olimpik 2000 harus memerlukan lawan yang lebih kuat untuk terus menguji barisan skuad negara.

''Memang kita perlukan pasukan lawan yang kuat kerana dari situ kita dapat ketahui kemampuan skuad kita,'' katanya.

Olimpik 2000 bakal mengharungi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Sydney pada 2000.

Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan 6 Zon Asia bersama Jepun, Hong Kong dan Nepal. Perlawanan pusingan pertama akan dilangsungkan di Hong Kong dan pusingan kedua di Jepun.

Sebagai pendedahan seterusnya menjelang pusingan kelayakan itu, skuad remaja negara akan menentang pasukan Liga Perdana Terengganu di Kuala Terengganu pada 12 Mac ini selain Kejohanan Empat Negara pada April di Kuala Lumpur.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Q5LXveUE © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan