Khamis, 17 November 2016

Darren mahu cetus impak positi

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas mencetuskan inspirasi kemenangan skuad Harimau Malaysia ke atas Papua New Guinea 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Isnin lalu, penyerang Darren Lok kini mula mengimpikan tugas sebagai penggempur utama pada kempen Piala AFF 2016 di Yangon, Myanmar.

Pemain kelahiran England yang mendapat taraf kerakyatan September lalu sebelum ini dikritik hebat kerana mendapat tempat bersama skuad kebangsaan meskipun hanya bermain satu perlawanan Liga Perdana bersama Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II).


Keputusan jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee itu kemudian terus dipertikaikan apabila Darren beraksi hambar apabila masuk sebagai pemain gantian ketika Malaysia seri 0-0 dengan Singapura pada aksi persahabatan.

Bagaimanapun bekas pemain kelab Divisyen Tiga England, Eastbourne Borough itu membalas kepercayaan Kim Swee dengan aksi terbaik dengan dua gerakan yang menghasilkan gol untuk Malaysia menang ke atas Papua New Guinea di Stadium Shah Alam.

Aksi itu bukan saja mendapat pujian peminat tempatan malah membolehkannya mendapat tempat dalam skuad akhir 23 pemain biarpun pada awalnya dia antara calon digugurkan ke Yangon.

Menurut Darren, dia amat berbangga dapat bersama pasukan buat kali pertama di Piala AFF dan percaya semua peminat masih belum melihat potensi sebenar dirinya.

“Saya fikir saya masih boleh beraksi dengan lebih baik dalam pertemuan menentang Papua New Guinea. Saya masih bekerja keras untuk mencari keserasian bersama rakan sepasukan saya.

“Saya gembira kerana berjaya tersenarai dalam skuad akhir Piala AFF Suzuki tapi saya fikir masih perlukan lebih banyak masa bermain untuk lebih yakin,” katanya.

Darren dilihat serasi bergandingan bersama Ahmad Hazwan Bakri namun dia mengakui kedudukannya dalam skuad utama belum terjamin kerana perlu bersaing dengan penyerang berpengalaman Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.

“Kesemua pemain ada kelebihan tersendiri. Saya gembira bersama dengan skuad Malaysia yang rata-rata mempunyai pemain serba boleh dan berbakat.

“Apapun, saya tetap mahu bermain dalam kesebelasan utama jika diberikan peluang jurulatih dan percaya masih boleh berikan prestasi lebih positif selepas ini,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 9:11 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan