ARKIB : 09/02/1999
SEKURANG-KURANGNYA tiga pemain
skuad bola sepak kebangsaan yang beraksi pada Piala Dunhill di Vietnam
baru-baru ini akan digugurkan dan digantikan dengan pemain baru yang lebih
berwibawa.
Pengurus pasukan, Datuk Raja
Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, pemain berkenaan digugurkan kerana gagal
beraksi pada tahap yang dikehendaki ketika kejohanan itu.
Bagaimanapun, Raja Ahmad tidak
mendedahkan nama-nama pemain terbabit tetapi berkata beliau sudah mengenal
pasti pemain berkenaan.
''Saya sudah mengenal pasti
mereka ini kerana jelas aksi mereka tidak menepati kehendak kami. Permainan
mereka masih di tahap rendah,'' katanya selepas majlis penyerahan cek berjumlah
RM50,000 sumbangan penaja, Puma kepada pasukan bola sepak Perak di Kuala
Lumpur, semalam.
Raja Ahmad menyatakan demikian
berdasarkan pemerhatiannya terhadap aksi hambar pemain berkenaan pada Piala
Dunhill, yang mana Malaysia gagal mara ke peringkat terbaik.
Skuad negara yang baru dibentuk
selepas dua tahun pasukan kebangsaan dibubarkan ekoran aib di Jakarta pada
Sukan SEA XIII, dan dibimbing jurulatih Abdul Rahman Ibrahim mempamerkan aksi
baik ketika seri 1-1 dengan pasukan Olimpik Bulgaria tetapi kecundang di tangan
Korea Selatan (0-3) dan China (1-7) dalam perlawanan kumpulan.
Menurut Raja Ahmad, pemain baru
akan dipilih semasa berlangsungnya kempen Liga Malaysia bermula Mac ini.
''Kita akan melihat aksi semua
pemain dari pasukan negeri-negeri semasa Liga Malaysia dan memilih mereka yang
sesuai untuk diserap dalam pasukan kebangsaan,'' katanya.
Dalam pada itu, Raja Ahmad
berkata pemain yang sedia ada dalam skuad kebangsaan harus mempamerkan aksi
yang lebih baik dalam Liga Malaysia.
''Kita harap mereka dapat
meningkatkan prestasi semasa ketika beraksi dalam Liga M sebelum dipanggil
semula untuk latihan pusat bagi menghadapi Sukan SEA di Brunei,'' katanya.
Kem latihan pusat negara akan
disambung pada April ini sebagai persediaan untuk Sukan SEA XX di Brunei, Ogos
ini.
Mengenai penyerang V. Saravanan
yang dikatakan dipanggil semula ke dalam skuad Olimpik 2000 kendalian jurulatih
Hatem Souissi, Raja Ahmad berkata pemain itu tidak akan dilepaskan kerana tidak
mahu mengganggu kelancaran skuad Olimpik.
Raja Ahmad turut memberitahu,
sebanyak 14 pemain akan dipilih semasa kempen Liga Malaysia untuk persiapan
skuad negara menghadapi pusingan kelayakan Asia Kejohanan Lima Sebelah Dunia
(Futsal) pada 5-10 Mac ini di Kuala Lumpur.
''Pasukan Futsal yang turut
dibimbing Abdul Rahman akan mula dikumpulkan pada 19 Februari ini untuk
latihan,'' katanya yang turut bertindak sebagai pengurus pasukan Futsal.
''Kita mungkin akan menggunakan
tenaga dua atau tiga pemain kebangsaan untuk Futsal ini, yang lain adalah
pemain-pemain dari negeri-negeri yang akan kita pilih nanti,'' tambah Raja
Ahmad.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Psk1VhP3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan