Sabtu, 12 November 2016

Misi penting Zami, Yusri

ARKIB : 03/02/1999
BANDARAYA HO CHI MINH - Zami Mohd. Noor dan Yusri Che Lah akan mengetuai barisan serangan Malaysia dalam perlawanan penting menentang China, yang akan menentukan satu lagi tempat ke separuh akhir dari Kumpulan B, pada Kejohanan Piala Dunhill Kedua, di sini malam ini.

Jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim memutuskan menurunkan semula gandingan ini yang bermain dengan baik semasa pasukan negara mengadakan tiga perlawanan persahabatan di Amiriah Arab Bersatu bulan lepas.

Malaysia memenangi dua daripada tiga perlawanan persahabatan di Dubai itu.

Abdul Rahman berkata gandingan Zami dan Yusri tidak diuji di sini kerana Zami demam dan terlepas perlawanan pembukaan dengan Bulgaria yang berkesudahan seri 1-1 Sabtu lepas.

Zami, seorang pemain pertahanan berpengalaman, turun bermain menentang Korea Selatan malam tadi, tetapi Yusri tidak diturunkan dan tempatnya diambil oleh V. Saravanan, seorang pemain lasak yang kurang pengalaman.

Malaysia amat berharap dapat merebut satu lagi tempat ke separuh akhir. Korea Selatan yang berada dalam satu kumpulan dengan Malaysia telah pun melayakkan diri apabila mengumpul enam mata penuh daripada dua kemenangan.

Untuk ke separuh akhir, Malaysia perlu menewaskan China dan berharap Korea Selatan mengalahkan Bulgaria dalam perlawanan terakhir kumpulan malam ini.

Selain Zami dan Yusri yang akan diletakkan pada barisan depan, Abdul Rahman berkata beliau akan menggunakan pemain bek Ghani Malik dan Anuar Jusoh serta pemain midfield K. Sanbagamaran, B. Rajnikandh dan Ahmad Shahrul Azhar membantu barisan serangan.

Barisan pertahanan akan dikemudi oleh Khairul Anuar Baharom dengan dibantu oleh Moey Kok Hong dan A. Ganesan, manakala penjaga gol Azmin Azram Aziz.

Kehadiran semula Rajnikandh dalam kesebelasan utama selepas digantung satu perlawanan dijangka akan memperkuatkan barisan pertahanan.

Sementara itu, ketika kedudukan Malaysia berada dalam keadaan tidak menentu untuk perlawanan penting menentang China, Abdul Rahman tidak sedikit pun bimbang, malah begitu yakin dengan keputusan perlawanan itu nanti.

Beliau yang kelihatan tenang, tidak seperti dua perlawanan Malaysia sebelum ini, yakin Malaysia mampu melakukan kejutan ke atas China.

Keyakinan beliau itu lahir selepas melihat corak permainan pasukan itu melalui dua perlawanan sebelum ini, di sini.

Pasukan itu kalah 1-3 kepada Korea Selatan pada perlawanan pembukaan Sabtu lepas dan semalam terpaksa berhempas pulas untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Bulgaria.

Malaysia dan China mempunyai peluang terbaik untuk menempah satu lagi tempat ke separuh akhir kejohanan ini dari Kumpulan B selepas Korea Selatan menjadi pasukan pertama layak.

Korea Selatan menewaskan China 3-1 dan Malaysia 3-0, manakala Malaysia meperoleh satu mata daripada kedudukan seri 1-1 dengan Bulgaria. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Ps3oVmR9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan