Pemain Harimau Malaysia,
Matthew Davies (kanan) diasak pemain Vietnam Nguyen Trong Hoang. FOTO HM/OSMAN
ADNAN
Aziman Rosdi di Yangon
(Myanmar)
aziman@hmetro.com.my
Yangon: Skuad Harimau Malaysia
menempah laluan sukar untuk mencari tempat ke separuh akhir apabila tumpas 0-1
kepada Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF 2016 di Stadium
Thuwunna, Yangon, hari ini.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim
Swee yang diselubungi isu gesaan menarik diri daripada kejohanan sebagai
bantahan kepada kerajaan Myanmar berhubung penindasan etnik Rohingnya perlu
menang perlawanan terakhir kumpulan menentang tuan rumah Sabtu ini bagi
meneruskan cabaran.
Ia aksi kedua Harimau Malaysia
dalam cuaca panas selepas menundukkan Kemboja 2-1 di stadium sama Ahad lalu.
Berbeza ketika menentang
Kemboja, Kim Swee melakukan perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan
memasukkan Ahmad Fakri Saarani dan Ronny Harun dan mengeluarkan Darren Lok dan
Irfan Fazail untuk lebih bertahan.
Ternyata percaturan itu menjadi
pada babak pertama apabila Vietnam juara 2008 gagal mencari jalan memecah
benteng pertahanan negara yang mengawal pergerakan penyerang prolifik Le Cong
Vinh.
Walaupun lebih banyak bertahan
Harimau Malaysia berjaya juga melakukan percubaan tepat ke pintu gol menerusi
rembatan kapten Mohd Amri Yahyah dan Ahmad Hazwan Bakri di hujung permainan
tapi berjaya diselamatkan penjaga gol Tran Nguyen Manh.
Permainan lebih rancak dengan
Malaysia semakin berani ke depan dan hampir meraih gol namun sepakan pemain
terbaik perlawanan menentang Kemboja Syazwan Zainon di minit ke-51 tepat ke
dakapan Nguyen Manh.
Masalah kecederaan menyebabkan
Kim Swee terpaksa mengeluarkan Fakri dan Baddrol Bakhtiar sekali gus memberi
peluang buat S Veenod dan Darren Lok beraksi.
Bagaimanapun kegagalan
pertahanan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya mengundang padah apabila
Vietnam menerusi pemain tengah Nguyen Trong Hoang melepaskan rembatan dari
jarak dekat menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat di minit ke-79.
Dengan kekalahan ini, Malaysia
hanya mengumpul tiga mata manakala Vietnam enam mata sekali gus muncul
pendahulu kumpulan.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 23 November 2016 @ 6:38 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan