Aksi Harimau Malaysia kurang
memberangsangkan, gol pertama lawan pelik
21 November 2016 12:26 AM
MOHD. SYAZWAN ZAINON (kiri)
menjaringkan gol pembukaan Malaysia ketika menentang Kemboja dalam saingan
Kumpulan B Piala AFF di Stadium Thuwunna, Yangon semalam.
YANGON 20 Nov. - Datuk Ong Kim
Swee tidak pasti apakah status sebenar ‘gol pelik’ Kemboja, namun mengakui
pasukan itu memberi pengajaran buat Harimau Malaysia selepas memaksa skuad
negara mengharungi aksi mencemaskan sebelum menang 3-2 dalam perlawanan
pembukaan Kumpulan B Piala AFF, hari ini.
Dua jaringan mudah yang
dilepaskan nyata tidak menggembirakan pengendali Harimau Malaysia itu, namun
berjaya memulakan kempen dengan tiga mata yang diperlukan, berterima kasih
kepada dua gol Mohd. Amri Yahyah dan jaringan Mohd. Syazwan Zainon cukup
melegakannya.
Malah, kemenangan ini juga
membolehkan Malaysia menamatkan badi enam tahun tanpa kemenangan dalam aksi
pembukaan Piala AFF, sekali gus mencerahkan peluang ke separuh akhir.
“Saya tidak begitu pasti dengan
gol pertama Kemboja dan perlu menonton rakaman video terlebih dahulu.
“Penolong pengadil mengangkat
bendera untuk memberitahu ofsaid dan itu menyebabkan permainan terhenti
seketika. Bukan pemain Malaysia sahaja, malah pemain Kemboja turut keliru.
“Bagaimanapun pengadil
mengarahkan permainan diteruskan dan ini menimbulkan tanda tanya kepada pemain.
Ya, saya fikir perlawanan hari ini banyak memberi pengajaran dan pengalaman
berguna kepada pemain kita. Mereka perlu bermain mengikut wisel dan bukannya
melihat kepada penjaga garisan,” kata Kim Swee.
Dalam aksi di Stadium Thuwunna,
Kemboja mengejutkan Malaysia, yang turun dengan reputasi juara 2010 dan naib
juara tahun lalu apabila membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi gol
kontroversi Chan Vathanaka.
Vathanaka sudah berada dalam
kedudukan ofsaid, malah penjaga garisan telah mengangkat bendera dan itu
menyebabkan pemain negara memberhentikan permainan.
Namun, pengadil Abdul Baqi
Yaqoob Said Abdullah dari Oman tetap meneruskan perlawanan dan membenarkan jaringan
yang dihasilkan Vathanaka.
Jaringan itu bagaimanapun tidak
mematahkan semangat pemain negara.
Skuad Harimau Malaysia yang
tampil dengan imej baharu serba putih berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada
minit ke-37 selepas pemain sayap Kedah, Syazwan menyambut hantaran jauh Mohd.
Irfan Fazail, sebelum menggelecek pertahanan lawan dan menewaskan penjaga gol
mereka, Sou Yaty.
Walaupun Malaysia beroleh
banyak peluang di babak kedua, namun Kemboja terlebih dulu mengejutkan pasukan
negara dengan berada di depan pada minit ke-58, sekali lagi menerusi jaringan
Vathanaka.
Kegembiraan mereka tidak
bertahan lama apabila Amri menyamakan kedudukan pada minit ke-68, sebelum
memastikan kemenangan dalam minit ke-80.
“Secara keseluruhan, aksi
pasukan kurang memberangsangkan. Kami terpaksa bekerja keras untuk menang dan
melepaskan dua gol mudah. Gol pertama lawan mengubah permainan kami dan
pertahanan seperti hilang fokus,” kata Kim Swee lagi.
Kemenangan meletakkan Malaysia
sebagai pendahulu Kumpulan B, berkongsi mata bersama juara 2008, Vietnam yang
mengalahkan tuan rumah, Myanmar 2-1. – utusan
SUMBER-- See more at:
https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kemboja-bagi-pengajaran-1.410018#sthash.b9w8Pq7I.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan