Ahad, 13 November 2016

Futsal tugas kedua Abdul Rahman

ARKIB : 07/02/1999
SELEPAS mengharungi keperitan pada Kejohanan Piala Dunhill di Vietnam, jurulatih bola sepak kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim kini mahu menumpukan perhatian bagi tugas keduanya - melayakkan skuad negara ke pusingan akhir Kejohanan Lima Sebelah Dunia (Futsal) FIFA, lapor JOHARI SHAWAL.

Untuk itu katanya, beliau kini sedang mencari pemain yang sesuai bagi pusingan kelayakan zon Asia yang bakal berlangsung 5-10 Mac ini di Kuala Lumpur.

Katanya, selepas persembahan agak mengecewakan skuad negara apabila tersingkir awal di Vietnam, beliau kini mahu menumpukan mencari pemain dari seluruh negara untuk Futsal dan melupakan aib di Bandaraya Ho Chi Minh itu.

''Buat masa ini, kita lupakan apa yang berlaku di Vietnam, biarlah FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) memutuskan apa yang harus dibuat selepas ini.

''Tugas saya sekarang ialah mencari pemain untuk Futsal. Program yang telah ditetapkan untuk saya ialah menjelajah ke seluruh negeri untuk mencari pemain bagi kejohanan ini.

''Saya akan menemui semua jurulatih pasukan Liga Malaysia dan meminta pandangan mereka dalam usaha mencari pemain yang sesuai,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Abdul Rahman, FAM telah memaklumkan tugas keduanya itu sebelum skuad negara berlepas ke Vietnam untuk Piala Dunhill.

''Futsal tidak memerlukan pemain yang berbadan besar. Kita cuma mencari pemain yang lincah dan berkemahiran tinggi mengawal bola selain bijak membuka ruang.

''Gelanggang Futsal adalah kecil dan ia memerlukan pemain yang mempunyai kepantasan berfikir dan bergerak.

''Kira-kira 10 atau 15 pemain akan dikumpulkan untuk latihan fasa pertama Futsal pada 19 Februari ini.

Ini adalah kali kedua Malaysia menyertai Futsal selepas kejayaan melayakkan diri ke pusingan akhir di Sepanyol pada Disember 1996.

Di Sepanyol bagaimanapun, skuad Futsal Malaysia yang dibimbing singkat jurulatih dari Belanda, Vic Hermans turut tidak dapat lari daripada ditimpa aib apabila tersingkir awal dengan tewas kesemua tiga perlawanan kumpulan.

Skuad negara yang diketuai bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan dan Zainal Abidin Hassan ketika itu, tewas teruk 1-10 di tangan Itali pada perlawanan pertama, kalah 1-4 kepada Uruguay pada perlawanan kedua dan menutup cabaran dengan kekalahan 2-10 kepada Amerika Syarikat.

Pada Piala Dunhill lalu, pasukan Malaysia yang baru dibentuk selepas skuad kebangsaan dibubarkan ekoran aib yang diterima pada Sukan SEA 1997 Jakarta, menerima nasib yang dianggap paling malang dalam dekad ini apabila kecundang besar 7-1 di tangan China pada perlawanan terakhir Kumpulan B yang sekali gus memaksa skuad negara pulang lebih awal.

Malaysia seri 1-1 dengan skuad Olimpik Bulgaria dan tewas 0-3 kepada skuad Olimpik Korea Selatan.

Menurut Abdul Rahman, kemungkinan besar pemain yang beraksi di Vietnam akan dipilih untuk Futsal tetapi beliau menambah: ''Semua pemain dari pasukan negeri-negeri mempunyai peluang tetapi saya mahu mencari mereka yang berbadan kecil, lincah, pantas dan bijak mengawal bola.''

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PsgIzBVz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan