Sabtu, 19 November 2016

Jangan pilih jalan sukar: Safee

 
SAFEE (tengah) mahu rakan buru kemenangan pertama.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Penyerang Harimau Malaysia Mohd Safee Sali mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak mencari jalan sukar untuk mencapai misi layak ke separuh akhir Piala AFF 2016 dengan meraih kemenangan ke atas Kemboja pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Thuwunna esok.

Dalam tiga edisi kejohanan ini, biarpun berjaya melepasi halangan peringkat kumpulan, skuad kebangsaan sentiasa bergelut pada perlawanan pembukaan - kalah di tangan Indonesia 1-5 pada 2010, Singapura 0-3 (2012) dan Myanmar seri 0-0 (2014).

Safee, 32, yang sudah tampil di pentas AFF sejak 2008 dan menjadi wira Malaysia pada 2010, berharap mereka tidak mengulangi kesilapan sebelum ini.

“Berdasarkan pengalaman saya, kita kena menang perlawanan pertama kerana insya-Allah selepas itu, jalan kita ke separuh akhir senang. Kalau kalah kita akan ditimpa kesusahan dan kerisauan di perlawanan terakhir.

“Sebelum ini kita jarang mendapat keputusan baik pada perlawanan pertama, jadi saya harap kali ini berbeza apabila berdepan Kemboja,” katanya kepada Arena Metro selepas sesi latihan semalam.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee akan memulakan kempen menentang Kemboja jam 3 petang (4.30 petang waktu Malaysia) sebelum berdepan Vietnam dan Myanmar pada perlawanan terakhir.

Safee mencetuskan fenomena baru tanah air selepas memenangi Kasut Emas dengan ledakan lima gol pada Piala AFF 2010 sehingga bergelar jutawan baru bola sepak apabila ditawarkan kontrak lumayan dengan kelab Indonesia Pelita Jaya.

Bagaimanapun, bintang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu yang dianggap ramai pihak sudah di penghujung karier kembali dipanggil menyertai Harimau Malaysia oleh Kim Swee selepas setahun tidak beraksi di pentas antarabangsa.

Safee yang hanya meledak satu gol dalam kejohanan sama dua tahun lalu percaya masih mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan biarpun kehadiran penyerang muda Ahmad Hazwan Bakri, Darren Lok dan gandingannya sebelum ini Norshahrul Idlan Talaha menyaksikan peluangnya untuk berada dalam kesebelasan utama semakin mengecil.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:11 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan