Jumaat, 18 November 2016

Bola Shebby: Selamat berjuang!

 
Serbegeth Singh
Akhirnya, sudah tiba masa untuk pasukan bola sepak Malaysia menumpukan penuh perhatian terhadap tugasan mencabar. Dan tugas ini adalah untuk mengharumkan nama negara dalam arena bola sepak. Sudah tiba masanya untuk kita memandang ke depan. Apa yang akan berlaku di Myanmar mulai esok begitu penting.

Pemain yang disenaraikan adalah yang terbaik untuk memikul tanggungjawab masa kini. Mereka pemain kebangsaan yang dipilih berdasarkan merit. Mereka dipilih kerana mempunyai kelebihan memegang tanggungjawab di posisi tertentu.

Sekiranya, Khairul Azhan Khalid dipilih menjadi penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat pula diperlukan untuk berkongsi pengalaman serta suka dan duka menjadi juara Piala AFF.


Ini bukan masa untuk merasa kecewa malah perlu menyokong rakan seposisi. Permusuhan merebut tempat utama biar sewaktu latihan saja.

Kepada Rizal Ghazali pula, tugas utama adalah untuk menentukan sayap kanan dikuasai penuh sebagai pemain pertahanan. Jangan ghairah ingin menyerang setiap kali kita menguasai bola kerana disiplin bertahan memerlukan lebih konsentrasi.

Posisi bek kanan mungkin juga diisi Matthew Davies dan nasihat yang sama turut perlu diingati. Kedua-dua pemain ini agak tegap serta agresif dan kini sudah tiba masanya untuk mempamerkan keagresifan terkawal. Jangan mudah tewas dalam situasi satu lawan satu.

Kita kelihatan stabil di posisi bek kiri dengan Nazirul Naim Che Hashim seorang pemain yang bijak. Kepakaran sebagai pakar bola mati menjadi senjata tambahannya.

Di posisi bek tengah, kita kekurangan kepantasan dan oleh itu, teramat penting bagi pemain seperti Shahrom Kalam, Shahrul Saad, Fadhli Shas, Ronny Harun serta Khairul Helmi Johari (gambar) supaya sentiasa waspada agar tiada ruang terlampau besar di antara bahagian tengah.

Apa jua taktik atau strategi untuk perlawanan semasa, jangan abaikan transisi dari menyerang ke bertahan.

Di bahagian tengah pula sudah tiba masanya untuk Baddrol Bakhtiar menjadi lebih Xabi Alonso berbanding Steven Gerrard. Hantaran kemas dan deras ke kaki kawan dan bukannya hantaran lintang pukang yang hanya menyusahkan budak pengutip bola.

Sebagai pemain tengah yang memegang bola berbanding pemain tengah bertahan, Baddrol mempunyai keupayaan minda tinggi untuk memahami dan melaksanakan tugas terbaik.

Seorang lagi pemain tengah Irfan Fazail sudah mula melangkah ke tahap antarabangsa selepas menghabiskan masa dalam Liga Perdana. Kelihatan Irfan seperti sudah mula mendapat rentak dan kita berharap dia akan mencapai kemuncak persembahan di Myanmar.

Di bahagian serangan pula, Amri Yahyah akan memberi sajian semangat serta kreativiti. Dia mempunyai keistimewaan walaupun usia menjadi halangan.

Bersama Amri, saya menganggap Safee Sali serta Ahmad Hazwan Bakri sebagai pemain berkualiti untuk perlawanan besar. Walaupun lebih muda daripada Amri serta Safee, Hazwan kelihatan lebih menyerlah ketika menghadapi perlawanan yang mempunyai pertaruhan tinggi.

Di bangku simpanan pula kita mempunyai pelbagai pilihan seperti S Veenod yang mempamerkan corak kerja tinggi. Pemain sayap seperti Hadin Azman dan Syazwan Zainon juga boleh memberikan impak.

Kita mempunyai barisan pemain yang memberangsangkan dan berupaya memberi tekanan kepada pasukan lawan. Selamat berjuang demi negara.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:10 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan