Jumaat, 18 November 2016

Kim Swee kekal barisan jumpa Papua New Guinea

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2016 @ 9:27 PM
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my
 
JURULATIH skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee memberikan arahan kepada pemain pada sesi latihan di Stadium Aung San, petang tadi. - Foto Osman Adnan YANGON:

 Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, berkata beliau akan menggunakan kesebelasan utama yang hampir sama ketika perlawanan dengan Papua New Guinea, Isnin lalu pada perlawanan pertama Piala AFF Suzuki berdepan Kemboja, Ahad ini.

      Jurulatih kelahiran Melaka itu menjelaskan, beliau hanya akan melakukan dua atau tiga perubahan daripada senarai kesebelasan utama berdepan Papua New Guinea. "Semua pemain berada pada tahap terbaik tanpa sebarang kecederaan dan mereka berlatih seperti biasa. Saya harap keadaan ini terus kekal menjelang pertemuan dengan Kemboja nanti.

"Saya sudah lihat perlawanan dengan Papua New Guinea tempoh hari dan saya akan menilai mereka semua dalam tiga hari lagi latihan (termasuk semalam). "Apa yang pasti, tidak banyak perubahan, paling banyak pun tiga," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Aung San, petang tadi.

      Pada perlawanan persahabatan dengan Papua New Guinea itu, skuad Harimau Malaysia meraih kemenangan tipis 2-1 di Stadium Shah Alam. Harimau Malaysia akan memulakan saingan peringkat Kumpulan B, Piala AFF Suzuki berdepan Kemboja sebelum menentang Vietnam (pada Rabu) dan ujian terakhir melawan tuan rumah Myanmar (26 November). Apa yang lebih mencabar buat semua pemain Harimau Malaysia adalah apabila mereka terpaksa berdepan cuaca panas berdepan Kemboja dan Vietnam, yang akan berlangsung jam 3 petang dengan suhu di Yangon mencecah 32 hingga 34 darjah Celsius.

      Malah, usaha Kim Swee untuk pemain menyesuaikan dengan cuaca panas menerusi latihan jam 3 petang sejak minggu lalu sebelum ke Yangon tampak kurang berhasil berikutan cuaca di Malaysia kerap hujan. Bagaimanapun, Kim Swee yakin perkara itu bukan masalah besar buat semua pemain untuk tampil dengan permainan sebenar.

"Semalam, kami mulakan latihan walaupun kita tiba lewat dan hari ini kami memulakan latihan lebih insentif. "Cuaca jam 3 petang di sini memang panas, namun saya fikir ia bukan masalah besar," katanya.

SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/214068

Tiada ulasan:

Catat Ulasan