ARKIB : 05/03/1999
Olimpik tunjuk peningkatan
PEMAIN skuad Olimpik 2000,
Jaafar Salleh (bawah) terjatuh ketika berebut bola dengan seorang pemain skuad
Olimpik Singapura pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Nasional,
Bukit Jalil, semalam. Olimpik 2000 menang 3-1. - Gambar HANAFI KHAMIS.
SKUAD Olimpik 2000 mencatat
kemenangan 3-1 ke atas pasukan Olimpik Singapura dalam perlawanan bola sepak
persahabatan menjelang siri kelayakan Sukan Olimpik Sydney 2000 di Stadium
Nasional Bukit Jalil, semalam, lapor SAADON JAAFAR.
Begitupun, benteng rapuh
menyaksikan skuad Olimpik negara gagal mengekalkan kedudukan selepas mendahului
3-0 pada babak pertama.
Malaysia membuka jaringan menerusi
Hairul Khaled Masron yang merembat masuk bola dari luar kotak penalti pada
minit ke-22 selepas menerima hantaran sudut.
Pada minit ke-31, skuad Olimpik
menghasilkan gol kedua menerusi R. Nanthakumar yang membolosi tiga pemain
pertahanan lawan untuk menolak masuk bola.
Gol ketiga negara diperoleh
hasil jaringan cantik Akmal Rizal yang melepaskan tendangan lencung dari dalam
kotak penalti pada minit ke-36.
Namun, jentera serangan
Singapura tidak mudah patah semangat apabila berjaya merapatkan jurang dengan
gol tunggal pada minit ke-41 menerusi Harun Jumaat akibat kecuaian barisan
pertahanan negara.
Harun yang berada dalam kotak
penalti tidak mempersia-siakan peluang menolak masuk bola selepas menerima bola
hantaran Indra Sahdan Daud dari sudut kiri gol.
Kedudukan 3-1 itu terikat
sehingga tamat permainan selepas Singapura memperkukuhkan lagi jentera
pertahanannya untuk menyukarkan lagi usaha barisan serangan Malaysia.
Begitupun, Malaysia hampir
menghasilkan gol keempat pada minit ke-87, tetapi tandukan yang dilakukan
Gilbert Cassidy melewati palang gol.
Jurulatih skuad Olimpik, Hatem
Souissi berkata, pertemuan itu sekadar untuk menguji gandingan pemain serta
memberi ruang buat mereka menunjukkan kebolehan.
''Tahap permainan semakin
meningkat dan hari ini (semalam) kita hanya menguji beberapa gandingan pemain,
termasuk meletakkan gandingan Hairul dan Akmal di posisi serangan.
''Chow (Chee Wen) juga melakukan
tugas cemerlang memberi tekanan kepada lawan di bahagian depan. Yang penting,
kita mahu mempelbagaikan gandingan yang ada. Itu sahaja,'' katanya.
Mengenai pusingan kelayakan
Sukan Olimpik dalam kumpulan 6 bermula Jun ini selepas diundi bersama Jepun, Hong
Kong dan Nepal, Hatem berkata, pendedahan yang diterima melalui penyertaan
skuad Olimpik dalam Liga Perdana sedikit sebanyak boleh membantu.
''Penyertaan kita masih kurang
pada kejohanan bertaraf tinggi, tetapi saya gembira dapat bersaing dalam Liga
Perdana. ia memberi pengalaman berharga.
''Jepun adalah pencabar terkuat
dalam pusingan kelayakan nanti dan kami harus membuat persiapan lebih rapi
untuk menghadapinya. Apa yang penting, skuad ini telah menunjukkan
peningkatan,'' ujarnya.
Malaysia akan menentang
Singapura sekali lagi pada Sabtu ini di stadium yang sama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Q4mhO6Oz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan