Rabu, 30 November 2016

Persahabatan Malaysia, NZ

ARKIB : 12/04/1999
SELAIN perlawanan persahabatan menentang Arsenal di Kuala Lumpur bulan depan, skuad bola sepak negara bakal menentang pasukan kebangsaan New Zealand Julai ini _ satu lagi siri pemanas badan skuad negara di peringkat antarabangsa sebelum Sukan SEA XX Brunei, sebulan kemudian.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengatur dua perlawanan persahabatan dengan skuad Kiwi itu yang dijadual berlangsung pada 1 dan 3 Julai di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Yap Nyim Keong memberitahu, perlawanan itu adalah sebagai lanjutan pendedahan skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.

''New Zealand juga telah mengesahkan kehadiran mereka untuk menentang skuad negara kerana mereka juga dalam persiapan menyertai Piala Konfederasi di Mexico.

''Kita harap kehadiran mereka dapat memberikan pengalaman berguna buat skuad negara sebelum ke Brunei,'' katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Yap memberitahu, pasukan bimbingan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim kemudian akan mengadakan lawatan ke Uzbekistan untuk perlawanan-perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab di negara itu.

''Mereka dijangka ke Uzbekistan sebaik semua perlawanan Liga Perdana selesai,'' katanya.

Perlawanan Liga Perdana dijangka berakhir pada 26 Jun dan pasukan negara akan berlepas ke Uzbekistan selepas itu.

Dalam pada itu Yap memberitahu, pasukan Olimpik 2000 yang bakal mengharungi pusingan kelayakan ke temasya Sukan Olimpik Sydney di Hong Kong dan Jepun pada Jun ini, akan menyertai Kejohanan Empat Negara, akhir bulan ini.

Selain Malaysia, tiga lagi negara - pasukan Olimpik Indonesia, Vietnam dan Thailand mengesahkan penyertaan pada kejohanan 26-30 April itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

''Jadual perlawanan akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Penganjur, Isnin ini,'' kata Yap.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RTjqT3K5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan