Ahad, 27 November 2016

Amri minta maaf 
kepada peminat

FADHILUL IZMEL ISHAK MELAPORKAN DARI YANGON  |  28 November 2016 12:04
 Amri YAHYAH bercakap kepada wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa
AMRI YAHYAH bercakap kepada wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sekembalinya dari Yangon semalam.
YANGON 27 Nov. – Ketua pasukan Mohd. Amri Yahyah meminta maaf kepada peminat Harimau Malaysia dan meluahkan rasa kecewanya dengan kegagalan mereka mara ke separuh akhir kejohanan Piala AFF tetapi me­negaskan kegagalan itu tidak akan memaksanya untuk bersara.
Ini kali pertama Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan dalam kejohanan dwitahunan tersebut selepas kalah kepada Myan­mar 1-0 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B yang berlangsung di sini.
Prestasi Harimau Malaysia dalam kejohanan kali ini nampak goyah sejak perlawanan pertama menentang Kemboja yang menyaksikan Malaysia ketinggalan sebelum akhirnya menang tipis 3-2. Malaysia kemudian tewas 1-0 kepada Vietnam dalam perlawanan kedua.
“Saya mewakili semua pemain mengucapkan terima kasih ba­nyak-banyak kepada peminat yang sudi hadir untuk menyaksikan perlawanan kami sepanjang kejohanan ini berlangsung.
“Jujurnya kami terharu dengan sokongan yang diberikan kerana jarang melihat penyokong hadir ke tempat seperti ini dengan jumlah yang ramai semata-mata mahu menyaksikan persembahan Harimau Malaysia.
“Saya juga mewakili semua pemain ingin memohon maaf kepada penyokong dengan apa yang berlaku sepanjang kejohanan ini berlangsung. Saya berharap peminat dapat mengharunginya dengan hati yang tabah. Kami akan perbaiki lagi corak permainan pada masa depan,” katanya kepada pemberita di hotel penginapan skuad negara.
Amri berkata walaupun kecewa dengan kegagalan mereka tetapi menegaskan keseluruhan anggota pasukan telah berusaha bersungguh-sungguh dan memberikan yang terbaik dalam semua perlawanan yang mereka harungi di sini.
“Saya terharu dengan komitmen semua rakan sepasukan. Mereka tetap tabah dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi,” katanya.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), yang diuar-uarkan akan kembali menyarung jersi pasukan negerinya Selangor dalam kempen Liga Malaysia tahun depan, merupakan pemain paling tua dalam pasukan pada usia 35 tahun namun kegagalan di Yangon tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyarung jersi negara selagi khidmatnya diperlukan. – UTUSAN
SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-minta-maaf-8232-kepada-peminat-1.413124#sthash.wrp7n9SL.dpuf


Tiada ulasan:

Catat Ulasan