Jumaat, 18 November 2016

Mahu menang perlawanan pembukaan

18 NOVEMBER 2016
 Mahu menang perlawanan pembukaan
Mahu menang perlawanan pembukaan Skuad Bolasepak Kebangsaan bergambar dengan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (duduk,tujuh,kanan) dan Jurulatih Kebangsaan Datuk Ong Kim Swee (duduk,enam,kanan) dengan menggunakan jersi baharu sebelum menjalani latihan di Stadium Thuwunna hari ini. - Foto Bernama
HARIMAU Malaysia berazam mengakhiri kemarau kemenangan perlawanan pembukaan kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki apabila menentang Kemboja dalam kumpulan B di Stadium Thuwunna di sini, Ahad ini.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee mahu mengubah rekod buruk Malaysia dalam perlawanan pembukaan sejak tiga edisi lepas bermula pada 2010, 2012 dan 2014.

Kemenangan ke atas Kemboja amat ditagih oleh Kim Swee kerana ia nyata mampu menyuntik semangat dan meningkatkan motivasi pemain untuk memburu keputusan positif apabila menentang Vienam dan Myanmar dalam saingan peringkat kumpulan.

Selepas pertemuan dengan Kemboja, skuad negara akan berdepan dengan Vietnam pada 23 November dan melengkapkan jadual pusingan awal menentang tuan rumah, Myanmar, pada 26 November ini.

"Kita mesti kurang melakukan kesilapan dan bijak memanfaatkan setiap peluang bagi meraih mata penuh Ahad ini kerana ia mampu menyuntik lebih keyakinan untuk mengahadapi dua perlawanan seterusnya," kata Kim Swee sebelum sesi latihan di stadium berkenaan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, mereka sudah pasti tidak akan memandang mudah cabaran Kemboja kerana pasukan itu sudah mengharungi 13 perlawanan antarabangsa sebelum ini.

"Jika kita memandang mudah Kemboja, sudah tentu kita akan menerima padah nanti....Saya percaya pemain faham situasi ini dan mereka bersedia melakukan kejutan juga," jelas pengendali kelahiran Melaka itu.

Beliau juga menuntut pemain supaya melupakan seketika soal perpindahan ke pasukan lain dalam Liga Malaysia musim baharu tahun depan dan menumpukan perhatian penuh dalam membantu skuad negara melakarkan keputusan positif pada kejohanan edisi ke-10 itu.

Mengulas mengenai keadaan cuaca panas sehingga mencecah 32 darjah Celcius serta keadaan padang yang agak teruk di sini, Kim Swee menegaskan ia tidak menjadi masalah kerana mereka pernah beraksi di venue yang sama ketika seri tanpa jaringan dengan Myanmar pada aksi persahabatan antarabangsa, 28 Mei lepas.

Juara bertahan, Thailand, yang memburu kejuaraan kelima pada kali ini mengetuai cabaran kumpulan A bersama Singapura, Indonesia dan tuan rumah bersama, Filipina, yang bermula esok sehingga 25 November ini.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada kumpulan A dan B mara ke separuh akhir yang diadakan mengikut format timbal balik pada 3 dan 4 Disember serta 7 dan 8 Disember ini. –Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE  18 NOVEMBER 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan