Jumaat, 30 November 2018

Harimau Muda balas dendam


ARKIB : 05/10/2009
KUALA LUMPUR - Skuad bawah 20 tahun negara, Harimau Muda menebus dua kekalahan pada Ogos lalu ke atas Vietnam dengan menewaskan lawan 3-1 dalam perlawanan kedua Kejohanan Bola Sepak Empat Negara di Vientiane, Laos, semalam.

Anak buah Ong Kim Swee yang diikat Thailand 2-2 dalam perlawanan sulung Jumaat lalu, mencapai kemenangan itu menerusi jaringan hatrik penjaring terbanyaknya ketika menjuarai Liga Perdana musim ini, Ahmad Shakir Mohd. Ali.

Dua bulan lalu, skuad belia Malaysia ini kalah 2-0 dan 3-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan dan penentuan tempat ketiga Kejohanan Bawah AFF di Ho Chi Minh, Vietnam.

Kejohanan ini bertujuan menguji persediaan dan kesesuaian gelanggang khususnya bagi acara bola sepak dan upacara pembukaan serta penutupan Sukan SEA Ke-25 di Laos, Disember ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5YM3wjVog
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau muda terlepas peluang


ARKIB : 03/10/2009
KUALA LUMPUR - Pasukan Harimau Muda melepaskan peluang terbaik untuk memenangi perlawanan pembukaan pada Kejohanan Bola Sepak Undangan Empat Negara di Laos semalam, apabila membenarkan Thailand menyamakan kedudukan pada saat akhir untuk sekadar seri 2-2.

Skuad bawah 19 negara itu mendahului 2-1 ketika perlawanan tinggal lagi seminit untuk ditamatkan, namun kesilapan penjaga gol yang terkeluar dari posisi menyebabkan Thailand berjaya menyumbat gol penyamaan lewat minit.

Walaupun seri, anak-anak buah Ong Kim Swee mempamer aksi pantas dan menghiburkan sepanjang 90 minit permainan, malah mencipta beberapa peluang cantik, termasuk rembatan yang terkena palang pada masa kecederaan.

Terdahulu, Malaysia memperoleh kedua-dua jaringannya menerusi penyerang, Mohd. Khairul Izuan Rosli dan pemain tengah, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Perlawanan kedua negara adalah bertemu Vietnam, Ahad ini, diikuti pertemuan dengan tuan rumah Selasa depan.

Kejohanan Empat Negara, yang turut menampilkan Vietnam dan tuan rumah, Laos merupakan pertandingan Pra-Sukan SEA 2009 yang bertujuan menguji persiapan Laos untuk menganjurkan Sukan SEA, Disember ini.

Ini merupakan perlawanan pertama yang diadakan di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YM0qarGp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Amar pikul dua misi berbeza


ARKIB : 23/09/2009
KUALA LUMPUR – Tidak ada siapa yang mengenalinya sebelum ini, tetapi selepas tersenarai sebagai pemain kesebelasan utama skuad negara menentang Manchester United, namanya mula menjadi sebutan.

Bagaimanapun, perjalanan Amar Rohidan yang beraksi untuk skuad Perlis itu masih lagi jauh dan ada matlamat yang tersendiri menjelang akhir musim Liga Malaysia serta hujung tahun ini.

Menurut Amar, impiannya kali ini adalah membantu Singa Utara menjulang Piala Malaysia dan skuad bawah 23 tahun negara beraksi cemerlang di Sukan SEA Laos Disember ini.

“Mengikut perlawanan persahabatan pasukan Perlis saya rasa kami mempunyai peluang untuk terus konsisten dalam saingan Piala Malaysia seperti mana Liga Super sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Jelasnya, ketika berlatih bersama skuad kebangsaan dan tidak mempunyai peluang bersama rakan-rakan sepasukan di Kangar, Amar mendapat maklum balas bahawa pasukannya sudah bersedia untuk memulakan saingan Piala Malaysia bermula 26 September ini.

“Jika tidak ada sebarang masalah dan kami berjaya mengekalkan rentak seperti sebelum ini sudah tentu peluang untuk beraksi sehingga ke perlawanan akhir amat cerah,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan corak latihan, jurulatih Rajagobal dan Irfan Bakti Abu Salim, Amar berkata, kedua-dua jurulatih tersebut menggunakan pendekatan yang sama.

“Apa yang penting ialah pemain perlu mengikut segala arahan mereka dengan betul dan bagi saya ia tidak ada sebarang masalah atau bebanan berada di bawah dua jurulatih dalam masa yang hampir sama.

“Perancangan taktikal antara kedua-dua jurulatih ini juga tidak ada perbezaan yang ketara, saya serasi dengan cara mereka setakat ini,” katanya.

Amar juga mengakui skuad bawah 23 tahun negara, sentiasa berada dalam keadaan bersemangat dan mantap selepas menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan baru-baru ini.

“Walaupun ada antara pemain muka baru termasuk saya tetapi persefahaman antara kami semua tetap ada,” kata pemain kelahiran Perlis itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YLqC3hNK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia belasah Lesotho


 
ARKIB : 12/09/2009
Mohd. Zaquan Adha Radzak (kiri) diasak oleh pemain Lesotho, Moitheri Ntiobo (bawah) dalam perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Lesotho di Stadium MBPJ, malam tadi. Malaysia menang 5-0. - UTUSAN/Asmaruddin Jamaluddin

PETALING JAYA - Skuad bawah 23 Malaysia mengakhiri fasa kedua persediaan ke Sukan SEA Laos dengan membelasah Lesotho 5-0 dalam satu perlawanan persahabatan semalam.

Mohd. Zaquan Adha Razak, Norshahrul Idlan Talaha, Abd. Manaf Mamat (2) dan Amirul Hadi Zainal memastikan kemenangan di Stadium Petaling Jaya itu dengan gol pada minit ke-40, 44, 83, 87 dan 90.

Kemenangan besar itu diperoleh selepas skuad negara pulang daripada Jelajah Asia Barat yang menyaksikan mereka dikalahkan Arab Saudi 1-2, Kelab Al-Qadisiyah 0-1 dan mengikat Jordan 0-0.

Malaysia bagaimanapun dipaksa menunggu hingga ke penghujung babak pertama untuk membuka jaringan menerusi tolakan Zaquan hasil kesilapan bek kiri pelawat dan penjaga golnya.

Gol kedua pula hadir menerusi tolakan mudah Norshahrul selepas hanya cuma berdepan dengan penjaga gol lawan.

Abd. Manaf turut merobek gawang Lesotho yang berpunca hasil sepakan jauh penjaga gol negara, Syed Adni Syed Hussien sebelum disambung dengan umpanan Baddrul Bakhtiar dari sebelah kiri.

Amirul Hadi turut tidak mahu ketinggalan menambah derita pelawat dengan gerakan solo pada minit ke-87.

Manaf sekali lagi mencatat nama selaku penjaring Malaysia setelah memperdayakan beberapa pemain lawan pada minit-minit terakhir permainan.

"Saya amat gembira kerana pemain berjaya mencapai kemenangan besar walaupun ia tidak membayangkan kekuatan sebenar pasukan lawan.

"Saya tidak fikir ranking lawan yang lebih bawah menjanjikan kemenangan besar ini kerana lawan turut bermain dengan baik pada babak pertama khususnya bahagian pertahanan.

"Kita telah bermain dengan Jordan, China , Kenya dan Arab Saudi yang lebih baik rankingnya tetapi mereka tidak mampu menjadikan kita pasukan belasahan," kata ketua jurulatih negara, K. Rajagobal.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YLfykacG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bola sepak Malaysia kekal ranking ke-152 dunia


ARKIB : 03/09/2009
KUALA LUMPUR - Kedudukan bola sepak Malaysia kekal di ranking ke-152 dunia walaupun pasukan negara mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang China dan Kenya bulan lepas.

Menurut ranking terbaru yang dipaparkan laman web Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia kini mengumpul 123 mata, tambahan tiga mata hasil daripada dua keputusan seri itu.

Kedudukan terbaik Malaysia di dalam ranking FIFA adalah kedudukan di tempat ke-75, tetapi itu adalah pada 1993.

Di kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia berada di tempat keenam di belakang Thailand (115), Singapura (127), Indonesia (133), Myanmar (145) dan Vietnam (146). - BERNAMA
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5YLG6dCKr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad bawah 23 kebangsaan fokus aksi bola sepak persahabatan


ARKIB : 02/09/2009
PETALING JAYA - Skuad bawah 23 tahun kebangsaan akan memberi fokus kepada perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persiapan akhir bagi menghadapi Sukan SEA di Laos yang akan berlangsung dari 9 hingga 18 Disember ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, sehubungan itu, skuad itu tidak akan menyertai sebarang kejohanan berbentuk pertandingan dalam baki tiga bulan ini.

"Ia merupakan permintaan jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal setelah mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa teknikal untuk tidak mendedahkan keupayaan skuad itu seperti menyertai kejohanan pra-Sukan SEA di Laos pada bulan depan," katanya di sini, semalam.

Selain itu, situasi berkenaan juga berlaku kerana beberapa masalah teknikal seperti penularan wabak influenza A (H1N1) yang menyebabkan beberapa kejohanan yang dirancang terpaksa dibatalkan seperti Pestabola Merdeka dan Piala Antara Benua.

"Kita juga sebenarnya seboleh-bolehnya mahu memberikan pendedahan dalam kejohanan berbentuk pertandingan kerana ia merupakan satu pendedahan yang baik untuk menguji ketahanan dan kebolehan sebenar tapi terpaksa akur dengan situasi semasa," katanya.

Untuk rekod, sejak Rajagobal mengambil alih jawatan jurulatih kebangsaan pada April lepas, skuad bawah 23 tahun kebangsaan mahu pun skuad kebangsaan tidak pernah menyertai sebarang pertandingan dan hanya mengadakan perlawanan persahabatan.

Azzuddin bagaimanapun berkata, daripada beberapa perlawanan persahabatan yang telah diharungi kini telah terdapat tanda-tanda dan harapan untuk menebus maruah negara pada Sukan SEA.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan SEA ialah pada 1989.

"Cuma sekarang Rajagobal perlu diberi masa dan ruang yang cukup membentuk satu pasukan yang mantap sebab itu kita tidak meletakkan sebarang sasaran untuk beliau di Laos," katanya.

Mengenai kekalahan tipis 1-2 skuad bawah 23 tahun kebangsaan kepada Arab Saudi di Riyadh semalam, Azzuddin berkata, berdasarkan keputusan itu jurang defisit semakin kurang.

"Walaupun kita pada ranking ke-152 berbanding Arab Saudi yang berada di tangga ke-64, keputusan itu boleh mengukur keupayaan kita.

Lagi pun perlawanan itu merupakan 'pemanas badan' terakhir tuan rumah sebelum bertemu Bahrain pada kelayakan Piala Dunia 2010," katanya.

Skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu akan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan di Arab Saudi menentang kelab Al-Qadisyah awal pagi esok sebelum berangkat ke Jordan untuk menentang skuad kebangsaan negara itu pada Sabtu ini. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5YLB0e1va
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kita kalah kepada Arab Saudi


ARKIB : 01/09/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Ibarat dirangsang semangat Hari Kebangsaan, skuad bawah 23 tahun negara mempamerkan kebangkitan dan tentangan habis-habisan sebelum menyerah 1-2 kepada Arab Saudi dalam perlawanan bola sepak persahabatan dekat Riyadh, kelmarin.

Anak buah K. Rajagopal itu yang baru dihimpunkan sejak Jun lalu, beroleh gol sagu hati menerusi penyerang Harimau Muda, Ahmad Shakir Ali, di sebalik penguasaan nama besar bintang tuan rumah dan Asia di Stadium Putra Fahd, Dammam, Riyadh itu.

Gol tunggal Malaysia itu dijaringkan pada minit ke-85 untuk membalas dua jaringan pasukan yang berkedudukan ke-64 dunia ini masing-masing menerusi Malek Maaz (36) dan Abdullatif Al Ghannam (52).

"Saya tidak boleh mengharapkan lebih daripada persembahan pasukan kita itu kerana tuan rumah jelas sudah berada di kelas tersendiri dari segi teknikal dan kemahiran pemainnya.

"Bayangkan kami mampu mengejar daripada ketinggalan 2-0 dan menentang lawan yang turut jauh lebih baik fizikalnya hinggakan tiga pemain - Bunyamin Umar, Aidil Zafuan Radzak dan Safiq Rahim tercedera.

"Yang jelas, perlawanan ini cukup tepat sebagai sebahagian proses membina pasukan menjelang ke Sukan SEA," katanya yang turut memuji kecekapan penjaga gol Farizal Marlias menyelamatkan banyak percubaan berbahaya Saudi.

Pemain Perlis itu bagaimanapun digantikan oleh penjaga gol UPB-MyTeam, Syed Adney Syed Hussein pada beberapa minit terakhir perlawanan yang turut menguji kemampuan skuad negara bermain pada sebelah malam di bulan puasa.

Skuad belia negara yang menjadikan perlawanan ini sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA Ke-25 di Laos, Disember ini, menentang kelab Al Qadisyah (kira-kira pukul 2 pagi esok waktu Malaysia) dalam perlawanan kedua siri jelajah ke Asia Barat.

Mereka akan menamatkannya dengan menentang Jordan di Amman pada Sabtu depan.

Siri persahabatan di tanah air sebelum ini menyaksikan skuad belia negara menewaskan Zimbabwe 4-0 dan 1-0, dikalahkan Manchester United 3-2 dan 2-0 serta mengikat Kenya dan China seri tanpa jaringan.

Arab Saudi pula masih berjuang merebut tiket ke pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan 2010 menerusi dua perlawanan kelayakan penentuan timbal balik menentang Bahrain pada 5 dan 9 September ini dengan pemenangnya akan menghadapi juara Oceania, New Zealand.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YL9tgSqN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia ikat China


ARKIB : 16/08/2009
SHAH ALAM - Mengikat China 0-0 di Stadium Shah Alam, semalam amat menggembirakan jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara, K. Rajagobal sekali gus memadam kekalahan buruk skuad kebangsaan 5-1 dalam Piala Asia 2007.

Katanya, dia memang menjangkakan saingan sengit daripada pasukan tembok besar itu tetapi pemainnya sentiasa bekerja keras sepanjang perlawanan dan mengikut segala dirancang.

"Kali ini kita bukan sahaja berjaya bertahan dengan baik tetapi mencipta peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama dan kedua," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Menurut Rajagobal, penjaga gol, Farizal Marlias bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya rangkaian serangan China.

"Saya harus memberi pujian kepada Farizal di atas ketangkasannya terutama apabila China beraksi seperti biasa mencuba pelbagai taktik serangan.

"Kita sudah bertindak agresif pada separuh masa pertama dan mungkin China sedikit letih," katanya.

Malaysia tidak menunggu lama untuk membuat serangan apabila Baddrol Bakhtiar membuat percubaan pertama dari luar petak penalti seawal minit pertama, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol China, Zeng Cheng.

Baddrol sekali lagi memperoleh peluang untuk membolos gawang China minit kesembilan apabila S. Kunanlan melakukan gerakan solo menembusi petak penalti sebelum melakukan hantaran ke belakang, tetapi cubaan Baddrol ditepis keluar.

Skuad Rajagobal terus ghairah melakukan serangan kali ini menerusi Safiq Rahim yang menerima hantaran lambung Zaquan Adha Abd. Radzak pada minit ke-30, namun percubaan pemain KL Plus itu tersasar.

Pada akhir saingan separuh masa pertama China memperoleh peluang keemasan untuk menjaringkan gol, namun percubaan Yang Hao dalam petak penalti tidak menepati sasaran.

Separuh masa kedua menyaksikan China mengasak skuad negara bertubi-tubi tetapi gagal menembusi benteng kebal Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YKcvpMrE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia mahu tebus aib menentang China hari ini


ARKIB : 15/08/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
PETALING JAYA - Dua tahun lalu, skuad kebangsaan dimalukan oleh China 1-5 pada perlawanan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mungkinkah memori hitam diaibkan China pada 2007 mampu ditebus oleh skuad bawah 23 kebangsaan bimbingan K. Rajagobal apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam hari ini?

Berdasarkan prestasi semasa yang memberangsangkan, misi menebus aib kepada China bukan mustahil walaupun ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), memihak kepada negara Tembok Besar itu.

China di ranking 108 manakala Malaysia pada kedudukan 152 ranking FIFA.

Apa yang pasti, keputusan dimalukan 5-1 dua tahun lalu tidak seharusnya berulang ketika China menghamburkan pujian terhadap kemampuan skuad muda negara.

Pengurus pasukan China, Wei Shao Hui berkata, Malaysia mencatat peningkatan ketara sejak kebelakangan ini khususnya dari segi taktikal dan teknikal permainan.

''Kami menghormati skuad Malaysia. Skuad Malaysia mencatat peningkatan ketara sejak kebelakangan ini, peningkatan yang seiring dengan trend bola sepak dunia, sama seperti pasukan China.

''Pertembungan terakhir dengan Malaysia (Piala Asia 2007), tuah menyebelahi kami.

''Dalam acara sukan, Malaysia mampu menyaingi China hanya dalam dua acara iaitu bola sepak dan badminton,'' katanya.

China mengekalkan tiga pemain dari skuad Piala Asia 2007 yang akan beraksi hari ini iaitu pemain pertahanan, Du Wei, pemain tengah, Qu Bo dan penyerang yang menjaringkan dua gol ketika menundukkan Malaysia 5-1 pada pusingan akhir Piala Asia pada 2007, Han Peng.

''Kami tidak menyenaraikan pemain yang beraksi di liga Eropah. Namun, inilah skuad terbaik kerana kami sedang dalam persediaan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2011,'' katanya.

Kelmarin, skuad Malaysia mengikat pasukan kebangsaan Kenya tanpa jaringan dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, Rajagobal berkata, dia kehilangan tiga pemain, Khyril Muhymeen Abd. Zambri, Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Shakir Mohd. Ali untuk perlawanan hari ini.

Menurutnya, mereka terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Kenya tempoh hari.

Namun, katanya, dia tidak bercadang untuk membuat rombakan drastik untuk aksi persahabatan hari ini.

''Kesebelasan utama akan saya tentukan selepas latihan hari ini namun saya mungkin akan menurunkan skuad yang hampir sama ketika menentang Kenya.

''Mengenai China, kita terpaksa akui mereka satu pasukan yang sangat baik.

''Berdasarkan pengalaman ketika melihat aksi mereka di luar negara baru-baru ini, China satu pasukan yang hebat, permainan mereka laju.

''Namun, saya harap peminat memberikan sokongan kepada pasukan muda negara yang telah mempamer peningkatan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YKbaCWFN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tetap bagus walau seri - Rajagobal


 
ARKIB : 13/08/2009
Tetap bagus walau seri - Rajagobal
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Pemain Malaysia, Mohd. Zaquan Adha (tengah) diasak dua pemain Kenya dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam.
 SHAH ALAM - Walaupun pasukan bawah 23 tahun negara sekadar mencatat keputusan seri 0-0 menentang Kenya di Stadium Shah Alam semalam, jurulatih, K. Rajagobal tetap berpuas hati dengan tahap permainan anak buahnya.

Menurut Rajagobal, pemainnya terutama di bahagian pertahanan berjaya mengekang pemain Kenya yang mempunyai kelebihan fizikal, malah mampu mengheret perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

"Semua pemain bermain dengan baik secara keseluruhannya seperti saya beritahu sebelum ini mereka masih lagi perlu banyak belajar," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Jelasnya, menentang sebuah pasukan yang kuat memberi peluang kepada pemain untuk belajar menghadapi perlawanan yang lebih kompetitif.

"Saya berasa gembira kerana Kenya sudi datang bertemu dengan Malaysia sekali gus memberi ruang kepada pemain saya menimba pengalaman sebanyak mungkin," katanya.

Kenya yang berkedudukan ranking ke-105 dunia menguasai perlawanan pada 10 minit awal separuh masa pertama, namun mereka gagal menembusi gawang yang dikawal, Farizal Marlias.

Pada minit ke-19, Kenya memperoleh sepakan percuma di sebelah kiri pintu gol Malaysia, namun sepakan yang diambil Julius Owina menuju tepat ke dakapan Farizal.

Seminit kemudian Malaysia pula mendapat sepakan percuma bagaimanapun tendangan yang diambil Safiq Rahim berjaya ditumbuk keluar penjaga gol Kenya, Wilson Oburu.

Malaysia sekali lagi memperoleh peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-39 apabila Zaquan Adha Abd. Radzak melakukan hantaran lambung kepada Norshahrul Idlan Talaha yang tidak dikawal, bagaimanapun penyerang UPB-MyTeam itu gagal melakukan rembatan kemas.

Rajagobal cuba menukar rentak permainan pada separuh masa sambil mengharapkan hantaran lintang dari sebelah kanan dan kiri, bagaimanapun tugas yang dipikul oleh S. Kunanlan dan Khyril Muhymeen Abd. Zambri itu tidak dilaksanakan dengan berkesan.

Malaysia hampir menjaringkan gol pada minit ke-81 apabila hantaran lintang pemain gantian, Amirul Hadi Zainal dari sebelah kanan menuju tepat ke Ahmad Fakri Saarani, namun tandukannya di dalam petak penalti tersasar keluar.


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YKFSFPfn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kenya 'asli' uji Malaysia


ARKIB : 11/08/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan bahawa lawan Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam esok, Kenya akan membawa skuad kebangsaan sebenar mereka.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, ia turut disahkan oleh persatuan bola sepak negara Afrika itu sekali gus menyangkal kemungkinan pihaknya 'diperdayakan lagi' seperti oleh sebuah kelab Manotapa yang mendakwa merekalah skuad Zimbabwe pada 12 dan 14 Julai lalu.

"Kami telah berhubung dan diberikan jaminan bahawa inilah skuad kebangsaan mereka. Tidak perlu untuk diselidik lagi," katanya kepada Utusan Malaysia mengenai skuad K. Rajagopal yang menentang Kenya jam 8.45 malam esok.

Kenya merupakan lawan sulung antarabangsa skuad negara yang kini dibarisi sebahagian besar pemain Harimau Muda dan pemain bawah 23 tahun yang dibentuk bagi menghadapi Sukan SEA XXV di Laos, Disember ini.

Selain Kenya yang berkedudukan ke-105 dunia, Malaysia (No. 152) turut akan menghadapi pasukan kebangsaan China pada 15 Ogos, juga di Shah Alam pada 5.30 petang dan mengunjungi Arab Saudi tanggal 30 Ogos.

Sebarang keputusan dalam ketiga-tiga perlawanan persahabatan ini akan turut mempengaruhi ranking dunia skuad negara memandangkan sudah tersenarai dalam jadual Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai perlawanan kelas 'A'.

Kali terakhir China menentang Malaysia berkesudahan mereka menang 5-1 pada perlawanan Kumpulan C pusingan akhir Piala Asia 2007 di Stadium Nasional, Bukit Jalil manakala Arab Saudi kini di tangga ke-64 dunia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YKCEMqZS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 29 November 2018

Malaysia belasah Timor Leste, intai ke separuh akhir


ARKIB : 07/08/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Skuad negara hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan aksi separuh akhir Kejohanan Bawah 19 AFF selepas membelasah Timor Leste 7-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Ho Chi Minh City Vietnam, semalam.

Peluang untuk ke separuh akhir masih terbuka selepas lawan skuad kebangsaan seterusnya esok, Myanmar tunduk 1-3 kepada Vietnam pada perlawanan kedua semalam.

Kemenangan semalam membolehkan Malaysia berkongsi tiga mata dengan Myanmar dalam Kumpulan B yang diterajui Vietnam, namun kelebihan jaringan memihak kepada skuad negara.

A. Thamil Arasu menjaringkan lima gol menerusi penalti pada minit ke-18, ke-33, ke-73, ke-84 dan ke-87.

Muhamad Fandi Othman dan Mohd. Fadhli Mohd. Shas turut meletakkan nama sebagai penjaring masing-masing pada minit ke-24 dan 82.

Ketika dihubungi, jurulatih negara, Ong Kin Swee berkata, Malaysia hanya perlu seri dengan Myanmar dalam perlawanan esok untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

''Keputusan seri sudah memadai kerana kita akan layak berdasarkan kelebihan jaringan. Namun bukan itu (seri) yang kita sasarkan apabila berdepan Myanmar nanti.

''Kita akan beraksi untuk menang. Namun ia tidak mudah kerana walaupun kalah kepada Vietnam Myanmar mempamerkan aksi amat bertenaga, permainan pantas.

''Walaupun mereka kehilangan tiga pemain kerana dilayangkan kad merah hari ini (ketika menentang Vietnam), kami tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka,'' katanya.

Mengenai pada perlawanan menentang Timor Leste semalam, Kin Swee menjelaskan dia hanya menurunkan skuad simpanan.

''Para pemain kita pada awalnya agak gugup walaupun beraksi menentang pasukan seperti Timor Leste, namun mereka akhirnya berjaya meningkatkan permainan untuk mencari gol,'' katanya.

Sementara itu, Vietnam menjadi pasukan pertama dari Kumpulan B yang layak ke separuh akhir selepas membenam Myanmar 3-1 dalam perlawanan tegang yang menyaksikan tiga pemain Myanmar dilayangkan kad merah.

Dalam Kumpulan A, saingan ke separuh akhir masih terbuka di antara Thailand, Australia dan Singapura selepas masing-masing meraih mata dalam perlawanan kedua semalam.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YJfl1Wfz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad bola sepak perbaiki ranking dunia


ARKIB : 06/08/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Tidak sampai empat bulan selepas diamanah mengendalikan skuad kebangsaan, K. Rajagobal membuktikan sentuhannya memiliki bisa tersendiri apabila berjaya menaikkan ranking dunia skuad kebangsaan sebanyak lima anak tangga kepada kedudukan ke-152 untuk bulan ini.

Ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikeluarkan, semalam menyaksikan kedudukan terbaru itu menyamai kedudukan pada 2006.

Peningkatan lima anak tangga itu melonjakkan kedudukan kita berbanding tempat ke-157 bulan lalu, ke-159 pada Jun.

Ranking paling rendah Malaysia tahun ini ialah di tempat ke-163 pada Mei.

Kedudukan terendah dalam sejarah bola sepak tanah air ialah ke-170 pada April 2008.

Naik lima anak tangga merupakan peningkatan ranking paling tinggi setakat ini bagi pasukan yang pernah menduduki ke-75 FIFA pada Ogos 1993.

Peningkatan dalam ranking FIFA itu dibantu kejayaan skuad Rajagobal menumbangkan Zimbabwe dalam dua perlawanan persahabatan pada pertengahan bulan lalu.

Skuad kebangsaan menang 4-0 pada perlawanan pertama dan menang tipis 1-0 dalam perlawanan kedua, iaitu perlawanan pemanas badan untuk menentang kelab England, Manchester United.

Skuad Rajagobal, yang menggantikan B. Sathianathan, April lalu turut mendapat pujian apabila hampir mengejutkan United sebelum kalah 2-3 kepada dalam perlawanan pertama pada 18 Julai lalu dan mengelak daripada diaibkan pada perlawanan kedua dua hari kemudian apabila hanya tunduk 0-2 kepada skuad Alex Ferguson.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, peningkatan ranking FIFA itu satu petanda positif dalam kemajuan skuad bola sepak negara sejak ia dilatih oleh Rajagobal.

Menurutnya, ia satu pencapaian yang baik walaupun peningkatannya tidak begitu tinggi.

''Ya... Kita akan cuba meningkatkan ranking secara perlahan-lahan. Peningkatan ini sekurang-kurangnya membuktikan kita telah ada perubahan, tidak lagi di takuk lama.

''Saya percaya ranking kita dalam FIFA akan meningkatkan lagi selepas perlawanan persahabatan dengan Kenya dan China selepas ini.

''Apa yang lebih penting, peningkatan ranking ini merangsang semangat pemain dan persediaan kita untuk aksi di Sukan SEA

''Inilah kesan daripada sentuhan Rajagobal yang mula menampakkan impak.

''Saya pernah menjadi pengurusnya dan saya akui dia memiliki gaya tersendiri dalam membimbing skuad kebangsaan.

''Saya harap skuad kebangsaan di bawah Rajagobal akan terus meningkat,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YJHfNp5l
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dah ada bayangan 11 pemain jumpa Thai...'

MyMetroArena
Saiful Affendy Sapran dan Zulfaizan Mansor
sukanteam@nstp.com.my
 
NILAI: Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sudah memiliki bayangan kesebelasan utama bagi mengharungi aksi separuh akhir pertama Piala AFF menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan mengekalkan kesebelasan utama ketika Harimau Malaya berjaya meraih kemenangan bergaya 3-0 ke atas Myanmar di gelanggang sama, Sabtu lalu.

Cheng Hoe yang menurunkan penjaga gol, Farizal Marlias buat kali pertama sepanjang kejohanan selain meletakkan Safawi Rasid di posisi sayap kiri berjaya meraih kemenangan penting sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Justeru, tidak mustahil Cheng Hoe meletakkan kepercayaan buat barisan kesebelasan yang sama untuk menjinakkan Thailand di laman sendiri.

Bekas pengendali Kedah itu bagaimanapun menjelaskan beliau masih mempunyai tempoh dua hari lagi untuk menilai prestasi semua pemain.

"Kemungkinan besar kita akan kekalkan kesebelasan utama ketika lawan Myanmar. Tapi kita masih ada dua hari lagi latihan dan saya akan buat penilaian terbaik.

"Cuma apa yang penting saya percaya semua pemain bersedia untuk diturunkan bila-bila masa," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Skuad negara perlu meraih kemenangan di Bukit Jalil nanti sebagai bekalan sebelum perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember ini.

Sementara itu, Cheng Hoe mengakui  80,000 tiket separuh akhir pertama yang habis dijual hari ini memberi petanda positif betapa pemainnya sekali lagi bakal mendapat semangat tambahan daripada sokongan padu penyokong Harimau Malaya.

"Saya rasa motivasi pemain cukup tinggi bermula lawan Myanmar. Saya sebagai rakyat Malaysia cukup bangga dengan suasana dan sambutan yang diberikan peminat terhadap pasukan kebangsaan.

"Malah, sokongan peminat penting buat kami dalam menaikkan motivasi pemain. Rata-rata pemain juga masih muda dan masa depan mereka masih panjang," katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 7:14 PM