Jumaat, 30 November 2018

Kenya 'asli' uji Malaysia


ARKIB : 11/08/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan bahawa lawan Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam esok, Kenya akan membawa skuad kebangsaan sebenar mereka.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, ia turut disahkan oleh persatuan bola sepak negara Afrika itu sekali gus menyangkal kemungkinan pihaknya 'diperdayakan lagi' seperti oleh sebuah kelab Manotapa yang mendakwa merekalah skuad Zimbabwe pada 12 dan 14 Julai lalu.

"Kami telah berhubung dan diberikan jaminan bahawa inilah skuad kebangsaan mereka. Tidak perlu untuk diselidik lagi," katanya kepada Utusan Malaysia mengenai skuad K. Rajagopal yang menentang Kenya jam 8.45 malam esok.

Kenya merupakan lawan sulung antarabangsa skuad negara yang kini dibarisi sebahagian besar pemain Harimau Muda dan pemain bawah 23 tahun yang dibentuk bagi menghadapi Sukan SEA XXV di Laos, Disember ini.

Selain Kenya yang berkedudukan ke-105 dunia, Malaysia (No. 152) turut akan menghadapi pasukan kebangsaan China pada 15 Ogos, juga di Shah Alam pada 5.30 petang dan mengunjungi Arab Saudi tanggal 30 Ogos.

Sebarang keputusan dalam ketiga-tiga perlawanan persahabatan ini akan turut mempengaruhi ranking dunia skuad negara memandangkan sudah tersenarai dalam jadual Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai perlawanan kelas 'A'.

Kali terakhir China menentang Malaysia berkesudahan mereka menang 5-1 pada perlawanan Kumpulan C pusingan akhir Piala Asia 2007 di Stadium Nasional, Bukit Jalil manakala Arab Saudi kini di tangga ke-64 dunia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YKCEMqZS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan