Jumaat, 30 November 2018

Malaysia mahu tebus aib menentang China hari ini


ARKIB : 15/08/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
PETALING JAYA - Dua tahun lalu, skuad kebangsaan dimalukan oleh China 1-5 pada perlawanan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mungkinkah memori hitam diaibkan China pada 2007 mampu ditebus oleh skuad bawah 23 kebangsaan bimbingan K. Rajagobal apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam hari ini?

Berdasarkan prestasi semasa yang memberangsangkan, misi menebus aib kepada China bukan mustahil walaupun ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), memihak kepada negara Tembok Besar itu.

China di ranking 108 manakala Malaysia pada kedudukan 152 ranking FIFA.

Apa yang pasti, keputusan dimalukan 5-1 dua tahun lalu tidak seharusnya berulang ketika China menghamburkan pujian terhadap kemampuan skuad muda negara.

Pengurus pasukan China, Wei Shao Hui berkata, Malaysia mencatat peningkatan ketara sejak kebelakangan ini khususnya dari segi taktikal dan teknikal permainan.

''Kami menghormati skuad Malaysia. Skuad Malaysia mencatat peningkatan ketara sejak kebelakangan ini, peningkatan yang seiring dengan trend bola sepak dunia, sama seperti pasukan China.

''Pertembungan terakhir dengan Malaysia (Piala Asia 2007), tuah menyebelahi kami.

''Dalam acara sukan, Malaysia mampu menyaingi China hanya dalam dua acara iaitu bola sepak dan badminton,'' katanya.

China mengekalkan tiga pemain dari skuad Piala Asia 2007 yang akan beraksi hari ini iaitu pemain pertahanan, Du Wei, pemain tengah, Qu Bo dan penyerang yang menjaringkan dua gol ketika menundukkan Malaysia 5-1 pada pusingan akhir Piala Asia pada 2007, Han Peng.

''Kami tidak menyenaraikan pemain yang beraksi di liga Eropah. Namun, inilah skuad terbaik kerana kami sedang dalam persediaan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2011,'' katanya.

Kelmarin, skuad Malaysia mengikat pasukan kebangsaan Kenya tanpa jaringan dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, Rajagobal berkata, dia kehilangan tiga pemain, Khyril Muhymeen Abd. Zambri, Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Shakir Mohd. Ali untuk perlawanan hari ini.

Menurutnya, mereka terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Kenya tempoh hari.

Namun, katanya, dia tidak bercadang untuk membuat rombakan drastik untuk aksi persahabatan hari ini.

''Kesebelasan utama akan saya tentukan selepas latihan hari ini namun saya mungkin akan menurunkan skuad yang hampir sama ketika menentang Kenya.

''Mengenai China, kita terpaksa akui mereka satu pasukan yang sangat baik.

''Berdasarkan pengalaman ketika melihat aksi mereka di luar negara baru-baru ini, China satu pasukan yang hebat, permainan mereka laju.

''Namun, saya harap peminat memberikan sokongan kepada pasukan muda negara yang telah mempamer peningkatan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YKbaCWFN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan