Selasa, 27 November 2018

Saya tahu gaya Van der Sar - Amri


ARKIB : 19/07/2009
KUALA LUMPUR - Tidak tidur lena ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah malam semalam selepas berjaya menjaringkan dua gol bertemu Manchester United dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Lebih membanggakan jaringan pertama yang dilakukannya pada minit ke-45 memang kelas dunia dan penjaga gol yang ditewaskannya bukan calang-calang pemain, Edwin van der Sar.

Bagi anak kelahiran Tanjung Karang itu ia merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang hidupnya terutama sekali selepas tiga tahun tidak beraksi untuk pasukan kebangsaan.

Menurut Amri, sebelum perlawanan lagi dia sudah sedar penjaga gol kebangsaan Belanda itu sering berada di luar posisi ketika beraksi di atas padang dan dia sudah menanam tekad dari awal untuk sekurang-kurangnya melakukan lebih banyak percubaan jauh.

"Saya tahu cara permainan Van der Sar, dia akan berada jauh pada gawang gol dalam satu-satu perlawanan," katanya.

Jelasnya, ketika menerima bola sepakan gol dari penjaga gol, Farizal Marlias, dia hanya menunggu bola tersebut melantun sekali dan melihat Van der Sar sudah berada di luar posisi.

"Selepas melihat dia berada di luar posisi saya tidak teragak-agak untuk melepaskan rembatan lambung dan ternyata ia membuahkan hasil.

"Saya begitu gembira dengan jaringan tersebut dan teruja dapat menewaskan penjaga gol yang sudah terkenal dengan kehebatannya itu," kata Amri.

Ditanya mengenai jaringan kedua yang dihasilkannya pada minit ke-52, Amri berkata, dia hanya bersabar dan bertindak tepat pada masanya sebelum mengambil peluang keemasan itu tanpa teragak-agak.

"Saya sedar dia (Ben Foster) masih lagi baru dan banyak sentuh bola, ketika Gibson melakukan hantaran ke belakang saya meluru untuk mendapatkan bola tersebut.

"Ketika itu penjaga gol tersebut tersilap langkah dan mengambil masa untuk mengejar semula bola hantaran pemainnya, saya tidak menunggu lama dan terus berlari pantas sebelum menolak masuk bola ke dalam gawang," katanya.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada jurulatih, K. Rajagobal kerana memberi peluang kepadanya untuk beraksi semula dalam skuad kebangsaan selepas tiga tahun tidak dipanggil bermain.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Y2juDE5n
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan