Khamis, 29 November 2018

Skuad bola sepak perbaiki ranking dunia


ARKIB : 06/08/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Tidak sampai empat bulan selepas diamanah mengendalikan skuad kebangsaan, K. Rajagobal membuktikan sentuhannya memiliki bisa tersendiri apabila berjaya menaikkan ranking dunia skuad kebangsaan sebanyak lima anak tangga kepada kedudukan ke-152 untuk bulan ini.

Ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikeluarkan, semalam menyaksikan kedudukan terbaru itu menyamai kedudukan pada 2006.

Peningkatan lima anak tangga itu melonjakkan kedudukan kita berbanding tempat ke-157 bulan lalu, ke-159 pada Jun.

Ranking paling rendah Malaysia tahun ini ialah di tempat ke-163 pada Mei.

Kedudukan terendah dalam sejarah bola sepak tanah air ialah ke-170 pada April 2008.

Naik lima anak tangga merupakan peningkatan ranking paling tinggi setakat ini bagi pasukan yang pernah menduduki ke-75 FIFA pada Ogos 1993.

Peningkatan dalam ranking FIFA itu dibantu kejayaan skuad Rajagobal menumbangkan Zimbabwe dalam dua perlawanan persahabatan pada pertengahan bulan lalu.

Skuad kebangsaan menang 4-0 pada perlawanan pertama dan menang tipis 1-0 dalam perlawanan kedua, iaitu perlawanan pemanas badan untuk menentang kelab England, Manchester United.

Skuad Rajagobal, yang menggantikan B. Sathianathan, April lalu turut mendapat pujian apabila hampir mengejutkan United sebelum kalah 2-3 kepada dalam perlawanan pertama pada 18 Julai lalu dan mengelak daripada diaibkan pada perlawanan kedua dua hari kemudian apabila hanya tunduk 0-2 kepada skuad Alex Ferguson.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, peningkatan ranking FIFA itu satu petanda positif dalam kemajuan skuad bola sepak negara sejak ia dilatih oleh Rajagobal.

Menurutnya, ia satu pencapaian yang baik walaupun peningkatannya tidak begitu tinggi.

''Ya... Kita akan cuba meningkatkan ranking secara perlahan-lahan. Peningkatan ini sekurang-kurangnya membuktikan kita telah ada perubahan, tidak lagi di takuk lama.

''Saya percaya ranking kita dalam FIFA akan meningkatkan lagi selepas perlawanan persahabatan dengan Kenya dan China selepas ini.

''Apa yang lebih penting, peningkatan ranking ini merangsang semangat pemain dan persediaan kita untuk aksi di Sukan SEA

''Inilah kesan daripada sentuhan Rajagobal yang mula menampakkan impak.

''Saya pernah menjadi pengurusnya dan saya akui dia memiliki gaya tersendiri dalam membimbing skuad kebangsaan.

''Saya harap skuad kebangsaan di bawah Rajagobal akan terus meningkat,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YJHfNp5l
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan