Jumaat, 30 November 2018

Skuad bawah 23 kebangsaan fokus aksi bola sepak persahabatan


ARKIB : 02/09/2009
PETALING JAYA - Skuad bawah 23 tahun kebangsaan akan memberi fokus kepada perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persiapan akhir bagi menghadapi Sukan SEA di Laos yang akan berlangsung dari 9 hingga 18 Disember ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, sehubungan itu, skuad itu tidak akan menyertai sebarang kejohanan berbentuk pertandingan dalam baki tiga bulan ini.

"Ia merupakan permintaan jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal setelah mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa teknikal untuk tidak mendedahkan keupayaan skuad itu seperti menyertai kejohanan pra-Sukan SEA di Laos pada bulan depan," katanya di sini, semalam.

Selain itu, situasi berkenaan juga berlaku kerana beberapa masalah teknikal seperti penularan wabak influenza A (H1N1) yang menyebabkan beberapa kejohanan yang dirancang terpaksa dibatalkan seperti Pestabola Merdeka dan Piala Antara Benua.

"Kita juga sebenarnya seboleh-bolehnya mahu memberikan pendedahan dalam kejohanan berbentuk pertandingan kerana ia merupakan satu pendedahan yang baik untuk menguji ketahanan dan kebolehan sebenar tapi terpaksa akur dengan situasi semasa," katanya.

Untuk rekod, sejak Rajagobal mengambil alih jawatan jurulatih kebangsaan pada April lepas, skuad bawah 23 tahun kebangsaan mahu pun skuad kebangsaan tidak pernah menyertai sebarang pertandingan dan hanya mengadakan perlawanan persahabatan.

Azzuddin bagaimanapun berkata, daripada beberapa perlawanan persahabatan yang telah diharungi kini telah terdapat tanda-tanda dan harapan untuk menebus maruah negara pada Sukan SEA.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan SEA ialah pada 1989.

"Cuma sekarang Rajagobal perlu diberi masa dan ruang yang cukup membentuk satu pasukan yang mantap sebab itu kita tidak meletakkan sebarang sasaran untuk beliau di Laos," katanya.

Mengenai kekalahan tipis 1-2 skuad bawah 23 tahun kebangsaan kepada Arab Saudi di Riyadh semalam, Azzuddin berkata, berdasarkan keputusan itu jurang defisit semakin kurang.

"Walaupun kita pada ranking ke-152 berbanding Arab Saudi yang berada di tangga ke-64, keputusan itu boleh mengukur keupayaan kita.

Lagi pun perlawanan itu merupakan 'pemanas badan' terakhir tuan rumah sebelum bertemu Bahrain pada kelayakan Piala Dunia 2010," katanya.

Skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu akan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan di Arab Saudi menentang kelab Al-Qadisyah awal pagi esok sebelum berangkat ke Jordan untuk menentang skuad kebangsaan negara itu pada Sabtu ini. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5YLB0e1va
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan