MOHD. ZAQUAN ADHA ABD. RAZAK cuba melepasi pemain Laos dalam aksi Piala AFF
di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Isnin lalu.
15 November 2018 3:00 AM
KUALA LUMPUR 14 Nov. – Sebarang kesilapan yang dilakukan Malaysia dalam
pertembungan menentang Vietnam bagi aksi Kumpulan A Piala AFF mampu meranapkan
peluang Harimau Malaya untuk mengutip mata berharga daripada perlawanan tersebut.
Menyedari perkara itu, kapten Harimau Malaya, Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak
memberi peringatan kepada rakan sepasukan untuk memperbaiki kelemahan yang
dilakukan mereka selepas beraksi dua perlawanan menentang Kemboja (8 November)
dan Laos pada Isnin lalu.
“Kami perlu mempelajari daripada kesilapan dan kekurangan selepas beraksi
dua perlawanan untuk berjumpa Vietnam. Dua tahun lalu kami tewas 0-1 kepada
mereka dan memang kami mengharapkan pertembungan kali ini akan membawa rezeki
kepada pasukan.
“Bagaimanapun, bukan mudah kerana kami bermain di tempat lawan. Kami perlu
menggandakan usaha selain fokus dan semangat untuk atasi mereka. Saya tidak
boleh komen tentang kelemahan pasukan kerana biar jurulatih (Tan Cheng Hoe)
yang memperbetulkannya.
“Setiap posisi ada kelemahan dan yang pasti kami akan memperbetulkannya.
Saya harap kami tidak membuat kesilapan ketika menentang Vietnam kerana
sedikit kesilapan kita akan habis,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru
ini.
Di atas kertas, Vietnam di label sebagai pasukan pilihan selepas skuad
kendalian Park Heong Seo itu menghuni tangga ke-102 dunia berbanding Malaysia
yang berada di kedudukan ke-169.
Meskipun Malaysia mengungguli tangga teratas Kumpulan A hasil dua
kemenangan ke atas Kemboja (1-0) dan Laos (3-1) namun Zaquan menegaskan
pencapaian tersebut tidak boleh dibanggakan.
“Bagi saya, masih terlalu awal untuk berbangga dengan keputusan hasil
daripada perlawanan sebelum ini kerana dua aksi pertama kami mesti mengutip
mata dan untuk melakukannya bukan mudah. Laos dan Kemboja semakin maju tetapi
kami tetap berusaha dan secara peribadi kami masih ada kekurangan,” katanya.
Seandainya Malaysia dapat mengutip tiga mata menentang Vietnam bermakna
mereka berjaya menempah tiket ke peringkat separuh akhir lebih awal namun jika
sebaliknya nasib Harimau Malaya akan ditentukan menerusi perlawanan menentang
Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-buat-silap-hadapi-vietnam-8211-zaquan-1.787572#ixzz5X1C0EvYy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan