Ahad, 25 November 2018

Giliran Ahmad Shakir


ARKIB : 13/06/2009
KUALA LUMPUR - Skuad Bawah 23 Malaysia menamakan penjaring terbanyak Harimau Muda, Ahmad Shakir Md. Ali sebagai penyerang terbarunya bagi menghadapi skuad sebaya Indonesia dalam perlawanan bola sepak persahabatan, hari ini.

Dia dipanggil daripada skuad Bawah 19 negara bagi menggantikan Norshahrul Idlan Talaha yang terpaksa direhatkan kerana kecederaan di samping Baddrol Bakhtiar, Syed Adney Syed Hussein dan Kamarul Afiq Kamaruddin.

Kemasukannya akan menambah sengat bahagian depan Bawah 23 yang bakal mempertaruhkan gandingan Zaquan Adha Radzak-Khyril Muhymeen Zambri tetapi jurulatih negara. K. Rajagobal tidak berhasrat menambah tiga lagi muka baru untuk menggantikan mereka yang tercedera.

Ahmad Shakir yang kini penjaring ketiga terbanyak Liga Perdana dengan sembilan gol, baru sahaja menimba serba sedikit tunjuk ajar pengurus Arsenal, Arsene Wenger sempena Sesi Kejurulatihan Castrol Asia di Dataran Merdeka, Selasa lalu.

Skuad Bawah 23 Malaysia diketuai abang kembar Zaquan, Aidil Zafuan Radzak yang sudah menyarung jersi skuad senior negara sejak Piala Asia 2007 ini, akan menentang Indonesia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pukul 5.30 petang ini.

Sebelum itu, Malaysia mengadakan siri persahabatan di China sebagai menggantikan Piala Antara Benua yang dibatalkan kerana wabak H1N1 dengan dikalahkan Nan Chang 81FC dan Shanghai Shenhua 3-2 dan 4-1 sebelum menumpaskan Shanghai Zhong Bang 2-1.

Anak buah Rajagobal juga mengikat Selangor tanpa jaringan dan menewaskan skuad Bawah 23 Singapura, Young Lions 3-0.

Kedua-dua pasukan menjadikan perlawanan ini sebagai medan persediaan awal menghadapi Sukan SEA Laos, Disember ini.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5XwXgM8N1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan