ARKIB : 18/07/2009
Dianggarkan 40,000 peminat
Manchester United di negara ini membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil,
semalam untuk menyaksikan skuad Malaysia dan United (gambar kecil) menjalani
latihan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan hari ini.
KUALA LUMPUR - Aksi persahabatan
dengan Manchester United hari ini mengimbas kembali pertembungan nostalgia 28
tahun lalu buat jurulatih kebangsaan K. Rajagobal.
Pada 1981, K. Rajagobal merupakan
antara pemain yang beraksi untuk skuad Pilihan Selangor menentang Manchester
United di Stadium Merdeka, di sini.
Ketika itu, United dibarisi
pemain seperti Gary Bailey, Steve Coppel dan ketua pasukan Martin Buchans.
Skuad Selangor turut diwakili
penyerang tersohor Allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R. Arumugam, Santokh
Singh, Reduan Abdullah serta beberapa pemain lain.
Keputusan perlawanan tersebut
memihak kepada United yang menang 3-0.
Namun, bagi Rajagobal, pertembungan
nostalgia hampir tiga dekad lalu masih segar dalam ingatannya.
''Kira-kira 28 tahun lalu, saya
beraksi sebagai pemain ketika menentang United, namun pada perlawanan esok,
saya merupakan jurulatih skuad kebangsaan.
''Ia akan menjadi pertembungan
berbeza berbanding 28 tahun lalu.
''Apa yang saya harapkan,
perlawanan esok berlangsung dengan menarik. Kami menghormati Manchester United.
''Biarlah para pemain saya
melaksanakan tugas mereka. Biarlah mereka menikmati perlawanan dengan pemain
bergelar bintang.
''Saya juga berharap para pemain
mengambil kesempatan dengan mempelajari sesuatu daripada perlawanan esok,"
katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Kali terakhir United mengadakan
perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan pada 2001 di mana United menang
6-0.
Mengenai perlawanan hari ini,
Rajagobal berkata, ini merupakan kali pertama pasukan negara menurunkan skuad
muda dalam persahabatan dengan United.
''Pada 2001, kita menurunkan
skuad senior dan kita kalah 0-6.
"Cuma saya berharap para pemain
beraksi dengan penuh yakin dan melaksanakan semua arahan yang berikan,"
katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Y2hwGQsj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan