ARKIB : 01/09/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Ibarat dirangsang
semangat Hari Kebangsaan, skuad bawah 23 tahun negara mempamerkan kebangkitan dan
tentangan habis-habisan sebelum menyerah 1-2 kepada Arab Saudi dalam perlawanan
bola sepak persahabatan dekat Riyadh, kelmarin.
Anak buah K. Rajagopal itu yang
baru dihimpunkan sejak Jun lalu, beroleh gol sagu hati menerusi penyerang
Harimau Muda, Ahmad Shakir Ali, di sebalik penguasaan nama besar bintang tuan
rumah dan Asia di Stadium Putra Fahd, Dammam, Riyadh itu.
Gol tunggal Malaysia itu
dijaringkan pada minit ke-85 untuk membalas dua jaringan pasukan yang
berkedudukan ke-64 dunia ini masing-masing menerusi Malek Maaz (36) dan
Abdullatif Al Ghannam (52).
"Saya tidak boleh
mengharapkan lebih daripada persembahan pasukan kita itu kerana tuan rumah
jelas sudah berada di kelas tersendiri dari segi teknikal dan kemahiran
pemainnya.
"Bayangkan kami mampu
mengejar daripada ketinggalan 2-0 dan menentang lawan yang turut jauh lebih
baik fizikalnya hinggakan tiga pemain - Bunyamin Umar, Aidil Zafuan Radzak dan
Safiq Rahim tercedera.
"Yang jelas, perlawanan ini
cukup tepat sebagai sebahagian proses membina pasukan menjelang ke Sukan
SEA," katanya yang turut memuji kecekapan penjaga gol Farizal Marlias
menyelamatkan banyak percubaan berbahaya Saudi.
Pemain Perlis itu bagaimanapun
digantikan oleh penjaga gol UPB-MyTeam, Syed Adney Syed Hussein pada beberapa
minit terakhir perlawanan yang turut menguji kemampuan skuad negara bermain
pada sebelah malam di bulan puasa.
Skuad belia negara yang
menjadikan perlawanan ini sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA Ke-25 di
Laos, Disember ini, menentang kelab Al Qadisyah (kira-kira pukul 2 pagi esok
waktu Malaysia) dalam perlawanan kedua siri jelajah ke Asia Barat.
Mereka akan menamatkannya dengan
menentang Jordan di Amman pada Sabtu depan.
Siri persahabatan di tanah air
sebelum ini menyaksikan skuad belia negara menewaskan Zimbabwe 4-0 dan 1-0,
dikalahkan Manchester United 3-2 dan 2-0 serta mengikat Kenya dan China seri
tanpa jaringan.
Arab Saudi pula masih berjuang
merebut tiket ke pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan 2010 menerusi dua
perlawanan kelayakan penentuan timbal balik menentang Bahrain pada 5 dan 9
September ini dengan pemenangnya akan menghadapi juara Oceania, New Zealand.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YL9tgSqN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan