ARKIB : 12/07/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
PETALING JAYA - Mungkin Zimbabwe
akan berdepan tugas sukar dalam perlawanan persahabatan menentang skuad
kebangsaan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Ini kerana dua pemain pertahanan
yang merupakan di antara pemain berpengalaman dalam skuad bimbingan K.
Rajagobal, Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak sudah
bersedia untuk menyekat jentera serangan pasukan dari benua Afrika itu.
Norhafiz yang beraksi buat
pasukan KL PLUS berkata, dia akan sentiasa mengikut apa yang disarankan oleh
jurulatih dan bersedia untuk digandingkan dengan sesiapa sahaja walaupun dengan
pemain muda.
"Saya akan cuba untuk
memberi persembahan terbaik dalam perlawanan esok (hari ini) berdasarkan apa
yang diarahkan oleh jurulatih," katanya ketika ditemui selepas latihan di
Wisma FAM semalam.
Jelasnya, walaupun merasakan
tanggungjawab ini agak berat tetapi dia bersedia untuk memberikan persembahan
terbaik menjelang perlawanan menentang Manchester United minggu depan.
"Saya lihat skuad ini ada
potensi, pemain muda yang dipanggil pula kebanyakannya mempunyai bakat yang
tersendiri.
"Saya tidak menggangap
pemain lama dan baru mempunyai perbezaan yang banyak, dalam bola sepak pemain
yang sama-sama beraksi di atas padang adalah sama taraf," katanya.
Bagi Aidil pula, dia berasa
bersemangat dan bersedia untuk memberi persembahan 100 peratus dalam perlawanan
hari ini, berikutan ia adalah persiapan terbaik untuk bertemu United 18 Julai
ini.
"Saya berjanji akan
mempamerkan persembahan terbaik dan saya tidak ada masalah untuk bergandingan
dengan Norhafiz kerana kami sudah kerap kali digandingkan bersama.
"Pemain muda yang sedia ada
pula bukannya muka baru, ada di antara kami sebelum ini telah beraksi bersama
dalam skuad remaja," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5XxmsLjUZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan