Selasa, 2 Disember 2014

IMBASAN MALAYSIA JUARA AFF SUZUKI 2010

Kena bedil

 
NORSHAHRUL IDLAN TALAHA (kanan) membuka jaringan seawal minit ke-18, namun tidak cukup untuk menyekat Indonesia.
JAKARTA – Skuad bola sepak kebangsaan menerima tamparan hebat apabila tewas 1-5 di tangan Indonesia pada aksi pertama peringkat Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2010 semalam.
Turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang terpaksa diketepikan ekoran masalah kecederaan, skuad kendalian K. Rajagobal itu dilihat terlalu kerdil jika dibandingkan dengan Indonesia.
Bagaimanapun, pada aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno itu, anak-anak buah Rajagobal berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-18.
Namun, kegembiraan barisan pemain Malaysia yang diketuai Safiq Rahim tidak bertahan lama apabila Indonesia memperoleh gol penyamaan selepas tonggak pertahanan, Mohd. Asraruddin Putra Omar tertampan bola masuk ke gawang sendiri empat minit kemudian.
Dibantu dengan sokongan daripada ribuan penyokong yang hadir ke stadium, Indonesia terus menghukum kelekaan barisan benteng pertahanan Malaysia apabila meledak gol kedua menerusi Christian Gonzales pada minit ke-33.
Jaringan tersebut membolehkan Indonesia mendahului perlawanan 2-1 sehingga tamat babak pertama perlawanan.
Sebaik babak kedua bersambung, hasrat anak-anak buah Rajagobal untuk mendapatkan gol penyamaan terbantut apabila dikejutkan dengan gol ketiga daripada pasukan tuan rumah menerusi Muhammad Ridwan pada minit ke-52.
Pemain gantian Indonesia, Arif Suyono meledak gol keempat pada minit ke-77 sebelum Irfan Haarys Bachdim menambah derita Malaysia apabila menjaringkan gol kelima pada lewat babak perlawanan.
Kekalahan tersebut sekali gus menjadikan misi anak-anak buah Rajagobal untuk mara ke saingan peringkat separuh akhir tampak sukar apabila perlu mencatatkan kemenangan dalam dua baki perlawanan peringkat kumpulan.
Sudah pastinya pertemuan menentang Thailand Sabtu ini bakal menjadi penentu terhadap hala tuju Malaysia dalam saingan kali ini sebelum dijadual pula berdepan Loas pada aksi terakhir peringkat kumpulan Selasa depan. – Agensi
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3Khb54GkCHakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan