SKUAD Harimau Malaya terpaksa
berpuas hati sebagai naib juara Piala AFF Suzuki 2014 setelah tewas secara
agregat 3-4 kepada Thailand pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu
lalu.
BOLA sepak kadangkala tidak
adil malahan kejam, tetapi dalam konteks kejuaraan Piala AFF Suzuki 2014, hal
seperti itu tidak berlaku kerana pasukan yang menjadi juara ialah pasukan yang
terbaik iaitu Thailand.
Sepanjang kempen kali ini,
Thailand hanya tewas sekali iaitu pada perlawanan akhir kedua kepada Harimau
Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu pun dengan jaringan yang tipis 2-3.
Mereka menang semua perlawanan
peringkat kumpulan iaitu 2-1 ke atas Singapura, 3-2 ke atas Malaysia, dan 2-0
ke atas Myanmar; seri 0-0 dan menang 3-0 ke atas Filipina pada aksi separuh
akhir.
Bayangan kejuaraan kelihatan
apabila mereka unggul dengan kemenangan 2-0 di Stadium Rajamangala di Bangkok
dan terpatri apabila mereka mencuri dua gol daripada Malaysia dalam 10 minit
yang terakhir pada 20 Disember lalu.
Dari segi statistik, pencapaian
skuad Gajah Perang dianggap cemerlang apabila menang lima kali (71.4%), seri
sekali (14.3%) dan kalah sekali (14.3%) serta mengumpul 14 jaringan dan bolos
enam gol.
Kekejaman atau ketidakadilan
berlaku jika Malaysia menjadi juara kerana skuad negara menang tiga kali
(42.85%), seri sekali (14.30%) dan kalah tiga kali (42.85%) serta mengumpulkan
13 gol dan bolos 12 gol.
Pada aksi Kumpulan B, skuad
negara seri 0-0 dengan Myanmar, tewas 2-3 kepada Thailand dan menang 3-1 ke atas
Singapura; tewas 1-2 dan menang 4-2 ketika bertemu Vietman pada peringkat
separuh akhir timbal balas; tewas 0-2 dan menang 3-2 bertemu Thailand pada
perlawanan akhir kaedah yang sama.
Berdasarkan statistik, ternyata
bahawa skuad bimbingan Dollah Salleh itu tewas kepada Thailand dalam semua
aspek iaitu dari segi perbandingan jumlah kemenangan, kekalahan, jaringan dan
dibolosi lawan.
Semua itu menggambarkan bahawa
terdapat banyak perkara yang tidak kena dalam sistem bola sepak negara
sehinggakan mereka gagal mendominasi peringkat Asia, apatah lagi Olimpik
mahupun Piala Dunia.
Dengan perkataan yang lain,
para peminat perlu mengakui bahawa banyak liabiliti mengancam keutuhan skuad
Harimau Malaya dan perkara ini perlu dirincikan dengan minda yang terbuka!
Liabiliti
Apakah liabiliti yang
dimaksudkan itu?
Pertama, bebanan kepada Harimau
Malaya dapat dirasakan ekoran tindakan pihak pengurusan pasukan, khususnya
ketua jurulatih memilih pemain dalam skuad kali ini dan kesebelasan utama.
Tidak timbul niat memperlekeh
kredibiliti Dollah Salleh apatah lagi menafikan hak eksklusifnya kerana sebagai
jurulatih, beliau yang paling berhak membuat keputusan.
Mungkin Dollah akan berkata
bahawa ‘beliau lebih arif dan lebih mengenali pemainnya’, namun keputusannya
itu menjadi buah mulut sehingga ada peminat mengatakan beliau gagal dalam aspek
ini.
Pada pandangan saya sebagai
peminat dan pemerhati bola sepak di Malaysia, tidak keterlaluan jika saya
katakan bahawa masih ramai pemain yang mampu beraksi lebih menyerlah jika diberi
peluang.
Satu daripada beberapa nama
hebat yang mungkin boleh dianggap terlepas daripada perhatian Dollah dan panel
pemilihan pemain ialah pemain lincah Pahang iaitu R. Gopinathan.
Pemain ini mempunyai kawalan
bola yang baik biarpun bertubuh kecil. Dalam banyak aksi Liga Super, beliau
dapat melepasi pemain pertahanan import pasukan lawan yang bukan calang-calang.
Jika perkara ini diusulkan ke
tengah masyarakat terutamanya yang bermata tajam, tentu usul ini dipersetuju
tetapi malangnya, hal ini tidak berada dalam perkiraan panel pemilihan skuad
kebangsaan.
Dalam pada itu, ada beberapa
pemain yang sedikit berumur turut dipilih menganggotai skuad kebangsaan namun
mereka dibiarkan terperap di bangku simpanan.
Bukti yang jelas ialah apa-apa
yang berlaku kepada Indra Putra Mahayuddin dan Manaf Mamat!
Dalam semua perlawanan dalam
konteks yang kita bincangkan ini mereka tidak diberi peluang membarisi
kesebelasan utama tetapi lihatlah betapa besar impak yang mereka hasilkan
apabila beraksi.
Pada perlawanan menentang
Vietnam di Shah Alam, Indra Putra masuk pada minit ke-71 setelah Safee Sali
kelihatan hilang ilham untuk merobek gawang lawan pada perlawanan yang tegang.
Biarpun hanya beraksi 24 minit
termasuk lima minit waktu kecederaan, beliau membuktikan dirinya berbisa dan
tandukannya pada minit-minit akhir nyaris menghasilkan gol penyamaan.
Jelaslah bahawa Harimau Malaya
masih memerlukan pemain tulen seperti Indra Putra biarpun beliau dilabel kuda
tua sebagaimana Manaf Mamat yang masuk menggantikan Norshahrul Idlan Talaha.
Dalam hal ini, lebih baik kita
memperjudikan nasib kepada pemain “low profile” seperti mereka daripada
mengutamakan nama agung dan reputasi silam tetapi gagal memberi impak yang
besar.
Kegagalan Dollah dalam aspek
pemilihan dan penyenaraian pemain turut berlaku pada posisi lain, terutama
dalam aksi menentang Vietnam di Shah Alam dan menentang Thailand selepas itu.
Kesilapan
Peminat percaya bahawa Dollah
berbuat silap menyenaraikan S. Kunanlan pada posisi sayap kanan dan Hafiz
Kamal!
Dalam perlawanan itu, Kunanlan
ternyata banyak kali melakukan kesilapan ketika melakukan hantaran selain
kelihatan kebuntuan idea untuk bergerak memecahkan kubu Vietnam.
Hafiz Kamal pula kurang sesuai
disenaraikan ketika bertemu pasukan yang bermain agresif dan laju seperti
Vietnam sebaliknya sesuai jika disenaraikan bertemu pasukan seperti Filipina.
Jika bukan Hafiz Kamal, siapa
pula pemain yang sewajarnya dibawa masuk menggantikan Shukor Adan pada
perlawanan menentang Vietnam di Shah Alam?
Jawapannya ialah Baddrol
Bakhtiar! Pemain ini mempunyai keupayaan membina jalur serangan dan pada masa
yang sama memiliki sedikit keupayaan membantu bahagian pertahanan.
Kesilapan itu dibaiki oleh
Dollah apabila meletakkan Kunanlan pada posisi pertahanan kanan pada kedua-dua
aksi final dan memberi ruang kepada Indra Putra bermain dalam kesebelasan
utama.
Malangnya, Dollah masih memilih
Safee terutama pada 20 Disember lalu sedangkan bekas bintang itu banyak
melepaskan peluang termasuklah peluang keemasan pada separuh masa kedua.
Prestasi Safee mengecewakan
kerana seperti Norshahrul, dia hanya menjaringkan satu gol sepanjang kempen AFF
Suzuki kali ini dan dua perlawanan pemanas badan.
Sepatutnya, yang menggantikan
Azamuddin Akil yang tercedera ialah Baddrol kerana pemain itu lebih ‘versatile’
serta mempunyai daya opportunis pada saat-saat yang sangat diperlukan.
Kesilapan turut berlaku dalam
penyenaraian pemain bahagian belakang apabila Muslim Ahmad diberi tanggungjawab
menjadi “last man” sedangkan beliau agak lambat berpusing jika diserang balas.
Dalam konteks menentang Vietnam
di Shah Alam, tempat itu wajar diberi kepada Mohd. Afif Amiruddin yang
kelihatan lebih fokus dan lebih tangkas.
Tidakkah Dollah telah
menyaksikan kemampuan pemain PDRM itu pada perlawanan pertama Kumpulan B ketika
pasukan negara kita beraksi sepuluh orang menentang Myanmar?
Dalam perlawanan itu Afif bukan
setakat menyelamatkan banyak percubaan Myanmar, malahan turut mengancam gawang
lawan ketika pasukan negara memperoleh sepakan sudut pada minit akhir.
Dollah kembali menyenaraikan
Afif pada 20 Disember, tetapi apabila pemain itu cedera, Muslim sepatutnya
masuk bersama-sama seorang pemain pertahanan lain dan mengeluarkan Safee.
Langkah memasukkan lebih banyak
pertahanan wajib kerana ketika itu kita masih bermodal 3-0 tetapi hebat
diserang dan Muslim gagal beraksi sebaik Afif yang cepat membaca pergerakan
lawan.
Formasi
Liabiliti kedua berlaku dari
aspek pemilihan formasi. Dalam hal ini kita sedia maklum bahawa 4-4-2 merupakan
formasi standard untuk menyeimbangkan gerakan menyerang dan bertahan.
Sungguhpun demikian, dengan
menggunakan dua penyerang yang tumpul seperti yang berlaku sebelum ini, tentu
beban itu terpaksa dipikul oleh barisan tengah iaitu dua sayap dan dua
midfielder.
Apabila Safee dan Norshahrul
gagal menguasai bola dan memberi ancaman ke atas barisan tengah dan benteng
lawan maka kewujudan mereka seolah-olah tidak berlaku.
Pemain tengah terpaksa memikul
tugas sebagai penyerang secara berterusan dan hal ini pasti memberi impak besar
terhadap penggunaan tenaga kerana mereka beraksi dalam dua posisi.
Maka itu, penggunaan formasi
4-4-2 oleh Dollah Salleh seolah-olah hanyalah wujud atas kertas.
Yang berlaku di padang pula
formasi yang kita gunakan sebenarnya 4-4-0! Aneh bukan?
Hakikatnya dalam beberapa
perlawanan yang lalu kita hanya beraksi dengan sembilan pemain termasuk penjaga
gol dan lapan pemain sahaja ketika menentang Myanmar pada perlawanan pertama
Kumpulan B.
Ungkapan ini mungkin sinis;
mengguris hati pihak tertentu namun ubat yang baik tentulah yang pahit dan
pembedahan yang pastinya melukakan tubuh perlu dilakukan demi menyembuhkan
pesakit.
Lantaran itu, jika mahu terus
menggunakan formasi ini, pilihlah pemain serangan yang berfungsi dan sekiranya
mereka gagal memecahkan benteng lawan, tukarlah mereka tanpa teragak-agak lagi.
Satu lagi liabiliti pasukan
bola sepak negara kita dapat dinilai dari segi teknik dan strategi. Dalam hal
ini, strategi serangan dan bertahan pasukan kita sangat mudah dibaca; kata
orang, stereotaip. Tidak kelihatan corak permainan yang bervariasi kecuali pada
minit pertama hingga sekitar minit ke-30 ketika kita menentang Vietnam pada
perlawanan pertama saingan separuh akhir.
Pada 30 minit pertama, Vietnam
tenggelam tetapi mereka mula mempelbagaikan gerakan iaitu menyerang dalam
pelbagai kombinasi dari tengah, gerakan satu dua, dan hantaran terus yang
tepat. Mereka menggunakan hantaran terus jarak jauh, ground cross, float cross,
flank pass, spear head dan counter and re-counter attack sehingga membunuh
keyakinan Harimau Malaya.
Inilah kunci kemenangan mereka
dan inilah antara faktor besar kekalahan kita pada hari itu! Satu lagi
kebijaksanaan Vietnam yang perlu kita contohi ialah mereka tahu bahawa “untuk
mempertahankan kubu sendiri, mereka perlu menyerang kubu pihak lawan secara
berterusan”.
Atas kepintaran itu, Vitenam
menang di gelanggang lawan dan pulang ke negara mereka dengan bekalan yang
selesa serta moral yang tinggi namun keajaiban berlaku di Hanoi dan kita menang
4-2.
Begitu banyak liabiliti skuad
negara kita. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu buka mata. Aspek
kemahiran individu merupakan satu lagi liabiliti besar yang membelenggu skuad
Harimau Malaya pada masa kini yang memerlukan perhatian serius oleh sesiapapun
yang menjadi jurulatih.
Hingga kini tidak keterlaluan
jika kita katakan bahawa jurulatih masih lagi gagal memanfaatkan kemahiran
individu pemain tertentu yang memiliki sedikit kelebihan bakat berbanding
pemain yang lain.
Kemahiran individu
Pada dasarnya, ada dalam
kalangan pemain Malaysia yang bertanding dalam kempen AFF Suzuki 2014 ini memiliki
kemahiran individu seperti kebolehan melakukan jaringan melalui sepakan
percuma. Safiq Rahim, umpamanya, pernah memperlihatkan bisanya dari aspek ini
bukan setakat dalam liga bola
sepak domestik malahan dalam
perlawanan persahabatan dengan Liverpool pada 16 Julai 2011.
Mohd. Badri Radzi juga memiliki
kebolehan aspek yang sama namun sejauh manakah Dollah berusaha mempertajam
keupayaan individu dua pemain itu dalam saingan AFF Suzuki kali ini? Badri
bukan sahaja tidak berpeluang mengambil sepakan percuma malahan setakat aksi
separuh akhir pertama di Shah Alam 7 Disember lalu beliau hanya berada di
bangku simpanan.
Timbul tanda tanya, adakah
jurulatih mengekploitasi sepenuhnya kemahiran individu pemain-pemain pilihannya
seperti mempertajam kemahiran menggelecek yang dimiliki Gary Steven Robbat?
Juga, adakah jurulatih membuat latihan secukupnya dari segi setpiece sepakan
percuma terus, sepakan percuma tidak terus, sepakan penjuru, dan lontaran ke
dalam berhampiran gawang lawan?
Ketika Harimau Malaya
dikendalikan Datuk K. Rajagopal, Aidil Zafuan Radzak yang menjadi satu daripada
sumber kekuatan dianggap mempunyai kemampuan mengambil sepakan percuma terus.
Malangnya, kemampuan itu dibiarkan berterusan secara semula jadi iaitu tidak
diasah secara intensif dan hal yang demikian mungkin berlaku kepada Safiq serta
Badri Radzi pada kali ini. – ALIAS ISMAIL
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1224&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3Mp9dsHxsHakcipta
terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan