Selasa, 16 Disember 2014

Cukuplah sekali – Fadhli

  SINGAPURA 26 NOVEMBER 2014 -

SINGAPURA 26 NOVEMBER 2014 - Mohamad Fadhli Shas.Gambar profile
Mohd. Fadhli Shas
BANGKOK – ‘Pisang tidak akan berbuah dua kali’, itu janji pertahanan tengah Harimau Malaya, Mohd. Fadhli Shas agar apa yang terjadi pada perlawanan peringkat kumpulan tidak akan berlaku lagi dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF hari ini.
Malaysia kalah 3-2 kepada Thailand dalam pertemuan peringkat Kumpulan B di Singapura pada 26 November lalu apabila pasukan lawan mendapat gol kemenangan pada penghujung perlawanan sedangkan Harimau Malaya dua kali mendahului.
Mohd. Fadhli mengakui kelekaan mereka menghancurkan hajat untuk mendapatkan sekurang-kurangnya keputusan seri dalam perlawanan itu, dan mengenangkan keadaan itu membuatkan dia serik.
“Hingga sekarang saya masih belum dapat melupakan kekalahan itu. Kekalahan kami gara-gara leka di minit-minit terakhir.
“Walaupun secara keseluruhan kami bermain baik namun itu tidak memberikan sebarang makna kera­na kami kalah. Mujur kita tidak tersingkir daripada pertandingan.
“Saya dan rakan-rakan akan memastikan apa yang berlaku sebelum ini di Singapura tidak akan berlaku lagi, saya sudah serik, apatah lagi ini perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui oleh Utusan Malaysia semalam.
Mohd. Fadhli adalah sebahagian daripada skuad negara yang membawa pulang satu-satunya kejayaan dalam Piala AFF iaitu pada 2010. Bersamanya ketika itu ialah Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Muslim Ahmad, S. Kunanlan dan Khairul Fahmi Che Mat yang semuanya masih ber­ada dalam skuad sekarang.
Pada peringkat kumpulan bulan lalu, kerapuhan benteng Harimau Malaya yang ketika itu diterajui Mohd. Fadhli dan Afif Amiruddin membuatkan mereka akhirnya menggigit jari.
Dua jaringan penyerang gantian Thailand, Adisak Kraisorn, hadir pada penghujung babak pertama dan kedua.
Menjelang perlawanan akhir pertama di Stadium Rajamangala malam ini, Fadhli berkata, dia bersedia digandingkan sekali lagi bersama ketua pasukan Shukor Adan seperti mana ketika berdepan Vietnam pada separuh akhir kedua di Hanoi.
“Siapa yang tidak mahu bermain dengan Shukor Adan, rasa bertuah dapat beraksi dengannya kerana dia kaya dengan pengalaman.
“Banyak tunjuk ajar dia berikan, bukan sahaja semasa berlatih tetapi dalam perlawanan sebenar. Dia juga banyak beri keyakinan kepada kami semasa dalam padang,” katanya. – UTUSAN
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/cukuplah-sekali-8211-fadhli-1.37290#sthash.XPMaScAS.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan